Dengan penuh pengalaman, Azhar Aziz mengawal kamera utama yang berada di hadapannya bagi mendapatkan pergerakan-pergerakan menarik untuk perlawanan hoki sempena kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2019 yang berlangsung baru-baru ini.

Kejohanan itu disiarkan secara langsung di kaca televisyen pada 23 hingga 30 Mac lalu.

“Tugas sebagai jurukamera yang bertanggungjawab untuk membawa siaran langsung perlawanan hoki ini bukanlah sesuatu yang mudah.

“Setiap jurukamera perlu memberi fokus 100 peratus sepanjang perlawanan bagi memastikan tidak terlepas pergerakan-pergerakan menarik pemain hoki,” katanya yang berasal dari Kuala Lumpur ketika ditemui K2 di Ipoh pada kejohanan tersebut.

Tegasnya, penglihatan jurukamera yang menyiarkan perlawanan hoki secara langsung juga harus tajam dan tidak boleh leka.

Ini kerana jaringan gol bila-bila masa boleh berlaku dan mereka perlu fokus untuk mendapatkan adegan situasi tersebut.

“Mata jurukamera perlu tajam dan kami perlu ikut sahaja ke mana sahaja bola dan pemain itu pergi di padang.

“Bola hoki saiznya kecil dan kami perlu menumpukan perhatian untuk melihat pergerakan bola tersebut,” tuturnya.

Bola hoki secara umumnya bersaiz kecil iaitu kira-kira 7 sentimeter (sm) diameter berbanding bola sepak yang boleh mencecah 22sm diameternya.

Azhar menjelaskan, dia telah lima tahun terlibat menjadi jurukamera untuk penyiaran sukan. Sebelum ini dia bertugas sebagai jurukamera untuk penghasilan drama atau filem.

“Untuk kedua-dua ini amat berbeza sekali. Bagi drama atau filem sesuatu adegan itu boleh diulang jika tidak menjadi.

“Tetapi tidak untuk sukan, sesuatu adegan itu tidak boleh diulang. Jadi, jurukamera perlu bersedia untuk merakam pergerakan-pergerakan yang menarik,” katanya.

Kerjasama

Tambahnya, jurukamera untuk sukan perlu sentiasa di samping kameranya selagi sesuatu perlawanan itu berlangsung walaupun dalam keadaan cuaca panas atau hujan lebat.

Selalunya sesuatu perlawanan hoki akan berlangsung selama satu jam setengah atau dua jam.

Sebagai seorang jurukamera, Azhar perlu membuat persediaan dua atau tiga jam lebih awal sebelum perlawanan itu bermula.

Mental dan fizikal sebagai seorang jurukamera juga harus kuat kerana kebiasaannya untuk sukan hoki sehari mereka akan menyiarkan sehingga tiga siaran langsung.

Dalam pada itu, Azhar berkata, antara cabaran lain yang akan dihadapi jurukamera bertugas adalah apabila kamera yang mereka guna tiba-tiba tidak berfungsi ketika siaran langsung dilakukan.

“Pernah terjadi ketika siaran langsung salah satu kamera yang digunakan tidak berfungsi. Kamera ini satu benda elektronik dan kita tidak boleh duga bila akan rosak walaupun sebelum siaran langsung sudah diperiksa.

“Apabila berlaku situasi sebegitu kerjasama berpasukan amat penting dan pasukan teknikal akan melakukan tugas mereka bagi membolehkan perkara itu terselindung,” katanya.

Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2019 baru sahaja melabuhkan tirainya beberapa hari yang lalu.

Bagi peminat sukan hoki yang tidak berkesempatan untuk ke stadium melihat perlawanan hoki tersebut, Astro Arena menjadi penyiar rasmi yang membawakan siaran langsung kejohanan tersebut.

Pengarah Siaran Luar Sukan Astro Arena, Zaffarul Hadzrami Mohd. Zain menjadi orang penting bagi membolehkan siaran langsung kejohanan hoki itu berlangsung dengan jayanya.

Jelasnya, Astro Arena telah menjadi penyiar untuk kejohanan Piala Sultan Azlan Shah sejak tahun 2010 lagi.

“Untuk kejohanan kali ini seramai 45 orang tenaga kerja digunakan untuk menjayakan siaran langsung kali ini.

“Jumlah kamera yang digunakan untuk kejohanan ini adalah sebanyak 19 unit” katanya yang berusia 55 tahun.

Tambahnya, kerjasama sepasukan amat penting bagi memastikan siaran langsung tersebut berjalan lancar.

Sebelum datang ke Ipoh untuk menyiarkan siaran langsung, Zaffarul dan pasukannya akan melakukan persiapan dan perancangan secara teliti terlebih dahulu.

Mereka akan menentukan berapa banyak kamera yang akan digunakan dan berbincang dengan pihak pengurusan stadium bagi memastikan tidak ada masalah yang akan timbul pada hari kejadian.

Trak siaran luar

Untuk kejohanan tersebut, trak unit siaran luar (OB) dibawa bagi menjalankan tugas tersebut.

OB dilengkapi fungsi audio dan peralatan canggih lain dikhaskan untuk siaran langsung yang diibaratkan tempat kerja paling penting kerana segala atur cara dan gerak kerja diselaraskan melalui komunikasi antara Zaffarul dan pasukannya.

Tegas Zaffarul, persediaan adalah sesuatu yang penting dan taklimat sebelum perlawanan adalah satu yang wajib.

“Setiap sebelum perlawanan akan ada taklimat ringkas. Selain itu, hari pertama juga saya akan berikan taklimat tentang apa yang mereka harus lakukan.

“Hari kedua kita akan baiki apa kekurangan yang berlaku pada hari pertama,” katanya.

Tambahnya, kualiti siaran langsung perlulah mencapai satu standard yang tinggi berikutan ia ditonton di seluruh dunia.

Siaran langsung tersebut juga turut diambil oleh syarikat-syarikat penyiaran lain di negara lain untuk disiarkan di negara mereka.

Dalam pada itu, Zaffarul menjelaskan, mereka menggunakan 19 unit kamera bagi membolehkan siaran langsung itu menjadi lebih menarik untuk ditonton.

Sebanyak sembilan kamera utama dikawal oleh jurukamera berpengalaman.

Kamera-kamera lain akan diletakkan di beberapa sudut bagi membolehkan lebih banyak aksi dapat dirakam.

Bagi bahagian tiang gol tiga kamera diletakkan pada setiap gawang. Dron juga turut digunakan bagi merakam gambar dari sudut atas.

Sementara itu, Zaffarul menegaskan, antara cabaran utama yang dihadapi oleh pasukannya adalah apabila berlaku penundaan perlawanan hoki.

Tegasnya, sehari mereka akan menyiarkan sebanyak tiga perlawanan hoki sepanjang kejohanan tersebut.

“Disebabkan perlawanan hoki ini dilangsungkan di kawasan terbuka jadi banyak cabaran dan perkara yang tidak dijangka boleh berlaku.

“Jika perlawanan pertama ditunda selama 40 minit ia akan memberi kesan kepada perlawanan seterusnya,” jelasnya.

Montaj

Dalam pada itu, Khairul Azlan Mukhtar, 49, yang bertindak sebagai penerbit untuk siaran langsung tersebut berkata, sejak bulan Januari lagi dia sudah mula membuat persediaan untuk kejohanan itu.

Tegasnya, persediaan yang dilakukan termasuklah dari segi isi kandungan, montaj grafik dan sebagainya.

“Kita akan bekerjasama dengan bahagian grafik untuk menentukan berapa saat montaj grafik yang diperlukan.

“Saya juga akan bekerja rapat dengan pembantu pengarah untuk siaran langsung kejohanan ini. Pembantu pengarah akan memeriksa kembali isi kandungan seperti grafik senarai pasukan sebelum ia disiarkan,” katanya yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Khairul Azlan yang telah 10 tahun terlibat dalam penyiaran sukan hoki berkata, dia juga yang bertanggungjawab untuk menyampaikan maklumat kepada syarikat penyiaran luar jika sesuatu perlawanan ditangguhkan.

“Jika perlawanan ditangguhkan untuk satu tempoh masa sewaktu siaran, kami akan meletakkan info grafik mengapa perlawanan itu ditangguhkan dan berapa lama ia ditangguh.

“Sebagai contoh pada hari kedua kejohanan ini ada perlawanan yang ditangguhkan selama 50 minit kerana masalah teknikal, jadi kami akan menyediakan maklumat itu untuk pengetahuan syarikat penyiaran luar yang membawakan siaran langsung di negara mereka,” katanya.

Seramai 45 tenaga kerja dan 19 unit kamera digunakan untuk membawakan siaran langsung kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2019 di Ipoh, Perak ke kaca-kaca televisyen pada bulan lalu.