Badan Hazwan bergoyang-goyang saat kenderaan lasak yang dipandu itu memasuki laluan ladang yang berlubang, tetapi tangannya tetap memegang erat kertas yang boleh dianggap peta perlumbaan.

Lebih mencabar lagi, dengan kelajuan yang mencecah 170 kilometer sejam, dia perlu memberi arahan dan membaca nota pandu arah kepada pemandu.

Menurut Hazwan, 34, itu adalah gambaran tanggungjawab seorang juruarah yang merupakan antara individu terpenting dalam pemanduan sukan rali.

“Jika mahu menjadi seorang juruarah, syarat pertama yang wajib dimiliki ialah kebolehan membaca dalam kereta pada kelajuan yang tinggi.

“Ini kerana seorang juruarah perlu memberikan arahan yang jelas dan tepat kepada pemandu tanpa leka sesaat pun,” katanya kepada K2 usai menyertai Kejohanan Rali Malaysia (MRC) pusingan dua di Perlis baru-baru ini.

Sukan rali hakikatnya sejenis sukan permotoran lasak yang telah wujud di Malaysia sekitar tahun 1960-an. Di peringkat serantau atau antarabangsa pula, sukan rali dipertandingkan dalam Kejohanan Rali Asia Pasifik dan Kejohanan Rali Dunia.

Malaysia turut mempunyai pemandu rali terkemuka seperti legenda sukan rali, Karamjit Singh selain Datuk Mohzani Wahab dan Saladin Mazlan.

Secara amnya, sukan rali merupakan satu perlumbaan kereta yang dilepaskan secara berasingan dan dinilai berdasarkan kepantasan ujian masa untuk sampai ke sesuatu lokasi yang ditetapkan.

Disiplin

Perlumbaan biasanya diadakan selama dua hari dengan treknya meliputi ladang, tanah merah berbatu, jalan raya dan kawasan berlumpur.

Hazwan menambah, untuk menjadi juruarah yang profesional dan berjaya memerlukan daya ingatan yang kuat dan penglihatan yang tajam.

“Ia berikutan kelajuan sesebuah kereta rali ketika dalam perlumbaan turut bergantung atas arahan juruarah. Pemandu pula bertugas memandu,” katanya.

Sementara itu, seorang pemandu rali terkenal, Faidzal Alang Abdul Rahman memberitahu, konsep sukan rali adalah berbeza dengan perlumbaan di litar.

“Perlumbaan di litar bersifat persaingan sesama sendiri untuk mendapat tempat di depan. Tetapi sukan rali lebih menekankan disiplin dan catatan masa.

“Sejurus pelepasan, setiap saat sepanjang kejohanan itu diambil kira. Maka, masa amat berharga bagi setiap pasukan rali,” ujarnya yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam sukan rali.

Bekas juara program realiti televisyen saluran Astro, Malaysia’s Next Rally Champion Zero2Hero 2008 itu berkata, jarak keseluruhan setiap perlumbaan yang dipertandingkan biasanya berjumlah 150 kilometer ke atas bergantung atas ketetapan penganjur.

Menurutnya, kategori dipertandingkan pula adalah mengikut kapasiti enjin kereta seperti P9 iaitu meliputi 1.3cc hingga 1.5cc, P10 (1.6-1.8) P11 (1.8-2.0) dan P12 (terbuka).

“Biasanya setiap pasukan akan membuat tinjauan awal pada trek perlumbaan untuk mengenal pasti jalan yang bakal dilalui atau dalam perlumbaan dikenali sebagai special stage (SS).

“Dari situ, mereka akan mengenal pasti laluan, tahap kerataan permukaan jalan serta selekoh-selekoh berbahaya untuk mengimbangi tahap kelajuan semasa perlumbaan sebenar nanti,” terangnya yang merupakan juara kategori P10(1600cc) MRC itu.

Tambahnya lagi, untuk trek yang melibatkan jalan raya, setiap pasukan juga perlu mengambil tahu tentang keadaan jalan.

“Semua itu perlu kerana cuaca di Malaysia yang sentiasa hujan dan panas akan menyebabkan permukaan jalan raya tidak menentu serta keadaan jalan yang bermacam-macam bentuk selekoh.

“Malah, di jalan raya terdapat orang awam yang melalui laluan tersebut dan pemandu perlu mengikut peraturan sedia ada berhubung kadar kelajuan dan undang-undang lampu isyarat,” tuturnya yang berumur 38 tahun.

Kemalangan

Juara rali kategori 2-wheel drive pada tahun 2009 itu menjelaskan, setiap pasukan perlu memastikan setiap kenderaan melalui proses scrutineering.

Ia adalah proses untuk memastikan setiap kereta rali itu selamat untuk dipandu.

“Kenderaan mestilah lengkap dengan pelbagai ciri keselamatan. Keadaan kenderaan mestilah dalam status yang ‘sihat’ dari segi keadaan brek, tayar, tempat duduk, lampu brek dan sebagainya.

“Melalui proses ini, sekiranya kenderaan tersebut tidak ‘memenuhi sifat’ atau ‘kurang sihat’ maka kenderaan tersebut tidak akan dibenarkan untuk berlumba,” jelasnya.

Berkongsi pengalamannya dalam bidang rali, Faidzal Alang berkata pasukannya pernah mengalami kemalangan pada tahun 2010 di MRC pusingan keempat di Terengganu.

“Lokasinya ialah di Tasik Kenyir. Semasa memasuki selekoh yang pertama, saya telah menekan brek terlalu lewat di atas permukaan jalan yang sangat licin dibasahi hujan.

“Saya terbabas dan nyaris merempuh kawasan penonton. Alhamdulillah tiada apa-apa berlaku hanya kecederaan ringan,” katanya.

Sementara itu seorang pemandu rali muda yang sedang menempa nama, Datuk Mohd. Haniff Borhan, 32, berkata, minatnya dalam dunia permotoran adalah disebabkan galakan daripada bapanya.

“Sejak berumur 18 tahun lagi, saya giat dalam sukan tetapi pada masa itu saya aktif dalam sukan motosikal speedway iaitu perlumbaan motor tanpa brek.

“Selepas mengalami kecelakaan, saya tetap tidak putus asa dalam dunia permotoran bahkan mula menceburi sukan kereta rali pula,” katanya yang mula menyertai sukan rali sejak tahun 2013.

“Bagi saya untuk menjadi seorang pemandu rali, hati mesti kental dan paling penting otak harus bijak kerana ia bukan soal memecut semata-mata.

“Ini kerana, setiap laluan SS yang diberikan mempunyai masa dan jarak dengan halangan yang berbeza,” katanya yang sudah 18 tahun berpengalaman dalam sukan permotoran.

Berdebar

Mohd. Haniff akui, setiap kali perlumbaan memang akan timbul rasa berdebar kerana tidak mengetahui apa yang bakal berlaku.

“Pelumba terpaksa meredah laluan bengkang-bengkok dan berlubang selain lopak air serta selut yang kadang-kadang tidak dapat dijangka” ujarnya yang menggunakan jentera Satria Neo dalam perlumbaan rali pertamanya.

“Tidak sekadar memikirkan untuk memecut laju, aspek sistem kerangka, suspensi, enjin dan brek juga perlu diambil perhatian.

“Sepanjang pengalaman bersaing dalam sukan rali hampir enam tahun, saya sudah melihat banyak kenderaan yang berada di posisi untuk menang gagal naik ke podium gara-gara masalah kerosakan di hujung perlumbaan.

“Itu adalah suatu yang sangat mengecewakan kepada mana-mana pelumba pun. Dalam perlumbaan lasak seperti rali, anda sememangnya memerlukan jentera yang boleh dioperasikan ke tahap maksimum,” ujarnya.

Kejayaan pemanduan kereta rali melibatkan gandingan kerjasama antara pemandu dan juruarah yang merupakan dua individu penting dalam sukan permotoran lasak itu.