Mengimbau kembali, Hariz berkata, perkenalannya dengan bekas isteri, Tila (bukan nama sebenar) bermula sejak di bangku sekolah lagi.

Namun mereka berdua terputus hubungan sehinggalah dipertemukan semula enam tahun lalu.

Hariz dan Tila terserempak di sebuah kedai makan di Shah Alam, Selangor dan Hariz mengakui terpesona melihat perubahan dan kecantikan Tila.

“Mana tidaknya, semasa zaman persekolahan, masing-masing kurang menjaga penampilan dan selekeh dan Tila pula tidak bertudung.

“Kini, Tila yang saya kenali sudah bertudung litup dan penampilan baharunya itu membuatkan saya jatuh hati,” jelas Hariz.

Selepas pertemuan tersebut, Hariz kemudiannya memberanikan diri menghantar pesanan ringkas kepada Tila dan mereka mula menjadi rapat.

Hariz yang pada ketika itu sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga pula tidak menunggu lama dan terus meminang gadis pilihannya itu.

Mereka berdua mendirikan rumah tangga pada Jun 2014.

Bahtera perkahwinan yang dibina menyebabkan Hariz berasa cukup bahagia kerana baginya, Tila mempunyai pakej yang lengkap sebagai seorang isteri yang menjadi idamannya selama ini.

Sisi kasar

Selain pandai memasak, perwatakan Tila yang lemah lembut benar-benar memikat hati Hariz.

Begitu pun, hari demi hari, Hariz mula perasan sisi kasar yang ada pada isterinya itu, menyebabkan dia berasa kurang selesa.

“Pernah suatu hari, semasa di rumah mertua, saya ternampak Tila memarahi adik lelakinya dan dia tiba-tiba menendang kaki adik lelakinya itu dengan kuat.

“Adik lelaki Tila tidak membantah dan memaklumkan kepada saya dia sudah ‘masak’ dengan perangai kakak sulungnya itu.

“Sejujurnya, saya terkedu dengan tindakan itu kerana menganggap tindakan menendang kaki seseorang itu adalah amat kasar,” dedah Hariz.

Hariz kemudian menegur tindakan Tila namun wanita itu sebaliknya mula melenting sambil menyatakan itu sudah menjadi kebiasaannya.

Tila menganggap suaminya itu cuba untuk mengubah dirinya dan mula mempersoalkan janji Hariz yang kononnya mahu menerima segala baik dan buruk apa yang ada pada dirinya.

Hariz hanya mampu mendiamkan diri dan berharap agar isteri kesayangannya itu berubah sikap kelak.

Begitu pun, sikap kasar Tila semakin menjadi-jadi apabila dia gemar memaki hamun serta berani menendang dan menampar Hariz biarpun untuk hal-hal kecil dan remeh.

“Pernah satu ketika, saya perlu menghadiri sebuah seminar pada hujung minggu dan meminta Tila supaya mengejutkan saya.

“Saya tidak menyangka, Tila menendang perut saya dengan cukup kasar selama beberapa kali sehingga saya terjaga,” ujar Hariz lagi.

Hariz yang terkejut dengan tindakan itu kemudian meninggikan suara terhadap isterinya namun pipinya pula menjadi sasaran tamparan Tila.

Kesabaran Hariz mula susut memandangkan dia benar-benar tidak boleh menerima sikap kasar Tila.

Lebih buruk lagi, wanita itu tidak boleh ditegur kerana setiap kali ditegur, sikap kasarnya makin menjadi-jadi malah mulutnya pula laju sahaja mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Hariz.

Kemuncak

Insiden lain yang menyebabkan Hariz semakin hilang sabar terhadap isterinya itu adalah ketika Tila tergamak memijak tubuh Hariz yang ketika itu sedang tidur hanya kerana lelaki tersebut terlupa membuang sampah sebelum keluar bekerja.

“Sebelum keluar rumah, Tila ada berpesan kepada saya supaya membuang satu plastik sampah besar yang ada di dapur kerana dia perlu tiba di pejabat agak awal.

“Saya terlupa dan menerima padahnya apabila Tila memijak tubuh saya,” jelas Hariz.

Sikap dan kelakuan Tila benar-benar menjadikan Hariz marah dan dia sudah mula terfikir untuk menceraikan wanita itu.

Begitu pun, atas nasihat keluarganya, Hariz memilih untuk bersabar dan masih cuba memujuk isterinya itu. Tila bagaimanapun masih belum berubah.

Kemuncak pertengkaran mereka adalah apabila Tila membaling sebuah meja kecil di rumah mereka selepas Hariz tanpa sengaja terlanggar wayar komputer riba Tila hingga ia terpadam.

“Saya tahu itu merupakan salah saya, namun dia betul-betul hilang pertimbangan lalu membaling sebuah meja kecil tepat ke arah muka saya.

“Saya lantas menceraikannya malam itu juga kerana saya benar-benar tidak tahan,” ujar Hariz.

Keluarga Tila tidak menyangka wanita itu enggan berubah sikap biarpun selepas berumah tangga.

Kini, Hariz mengakui berasa lebih tenang dan tidak akan sesekali kembali kepada bekas isterinya itu.

“Cukup-cukuplah saya didera. Siapa sangka, wanita yang cukup disayangi sanggup mendera saya sebegitu rupa,” tutur Hariz menutup bicara.

Hariz makan hati selama bertahun-tahun lamanya akibat kelakuan isteri yang cukup kasar sehingga sanggup memijak tubuhnya hanya kerana kesalahan kecil.