Wanita berusia 28 tahun itu tidak menyangka kehidupannya berubah dan dia tidak bahagia biarpun bersuamikan lelaki kacak dan berada.

Menurut Dila, ramai saudara-mara dan rakan-rakan yang mencemburuinya kerana berjaya memikat hati Bahari (bukan nama sebenar) yang merupakan lelaki pujaan ramai.

Ujar Dila, ramai gadis sepejabat Bahari yang cukup sukakan lelaki itu dan mengimpikan untuk menjadi isterinya apatah lagi dia berjaya menyandang jawatan yang hebat pada usia yang muda.

Sambil tersenyum kelat, wanita berkulit sawo matang itu mencapai telefon bimbitnya dan menunjukkan foto suaminya, Bahari yang dinikahi kira-kira empat tahun lalu.

Tertekan

Mengimbau kembali, Dila berkata, perkenalannya dengan Bahari bermula empat tahun lalu dalam sebuah majlis perkahwinan seorang rakan.

“Saya merupakan pengapit kepada pengantin perempuan yang juga teman baik saya sejak di bangku sekolah lagi.

“Selepas selesai majlis persandingan, teman baik saya itu memperkenalkan saya dengan Bahari yang merupakan sepupu kepada suaminya. Saya akui, kali pertama melihat Bahari, ada debar di dada kerana orangnya cukup kacak selain bijak berbual dengan orang yang baru dikenalinya.

“Begitu pun, kami tidak bertukar nombor telefon dan pertemuan itu berakhir setakat di situ sahaja,” tutur Dila.

Begitu pun, Bahari rupanya turut terpaut dengan Dila dan menelefon wanita itu seminggu selepas mereka bertemu.

Salam perkenalan yang dihulur Bahari disambut Dila dengan baik dan mereka mula berpacaran selama tiga bulan.

Bahari yang serius mahu memperisterikan Dila kemudiannya meminang gadis idamannya itu dan mereka bernikah hanya selepas empat bulan berkenalan.

“Pada awalnya, saya bahagia dan cukup sukakan konsep bercinta selepas bernikah. Begitu pun, saya mula diuji apabila Bahari mula menunjukkan sikap sebenarnya,” dedah Dila.

Menurut wanita kelahiran sebuah negeri di selatan tanah air itu, Bahari amat kedekut dan memaksa dia tinggal di rumah ibunya yang jauh dari pejabatnya.

“Bahari enggan menyewa rumah lain dan memaksa kami tinggal di rumah ibu saya yang terletak kira-kira 50 kilometer dari pejabat.

“Kami bukan tidak mampu untuk menyewa rumah lain yang lebih dekat dengan pejabat saya tetapi Bahari enggan berbuat demikian dan menganggap ia satu pembaziran.

“Sudahnya, saya terpaksalah berulang jauh untuk ke tempat kerja,” keluh Dila.

Bertutur lanjut, wanita itu memberitahu bahawa Bahari juga mengambil kesempatan ke atas ibu Dila kerana sekiranya mereka terus tinggal di situ, Bahari tidak perlu mengeluarkan wang untuk mengupah pengasuh kerana ibu mertuanya itu boleh menjaga dua orang anak kembar mereka.

“Sejujurnya, saya malu dengan ibu, namun ibu menyuruh saya untuk bersabar dan jangan membantah cakap suami. Ibu juga rela menjaga dua orang cucunya itu, namun saya tahu dia letih.

“Dia sudah tua, kudratnya juga tidak seberapa. Saya pernah terfikir untuk berhenti kerja tetapi Bahari melarang keras,” ujar Dila.

Selepas usia perkahwinan mereka memasuki tahun ketiga, sikap kedekut Bahari semakin melampau apabila dia jarang sekali mahu membawa Dila atau anak-anak bercuti.

“Bercuti di dalam negara pun dibantahnya, apatah lagi bercuti ke luar negara. Sudahnya, kami terperuk sahaja di rumah dan saya cukup tertekan.

“Bahari juga akan mengamuk apabila mendapat tahu saya membawa anak-anak makan di luar. Kadangkala, anak-anak teringin juga mahu makan makanan yang enak-enak di restoran yang bagus.

“Biarpun saya berkali-kali memberitahu bahawa saya menggunakan wang gaji sendiri untuk belanja anak-anak, Bahari tetap marah dan mengugut untuk ‘menyimpan’ wang gaji saya.

“Katanya, saya suka membazir dan membeli perkara-perkara yang tidak penting untuk anak-anak,” keluh Dila.

Tiada hadiah

Sepanjang tempoh perkahwinan, lelaki itu juga tidak pernah memberikan hadiah atau menyambut ulang tahun kelahiran mahupun ulang tahun perkahwinan mereka berdua.

“Kononnya, semua itu merupakan satu pembaziran. Bahari terus-terusan berpesan kepada saya supaya duit yang ada itu disimpan.

“Bukanlah saya ini tiada simpanan langsung, tetapi bagi saya, apalah salahnya berbelanja sedikit sekali sekala untuk meraikan majlis penting,” cerita Dila.

Kini, Dila hanya berharap agar suaminya itu berubah kerana sikap kedekutnya itu sudah melampau dan menyusahkan orang lain.

“Biarpun saya sudah menasihati dan memujuk Bahari, dia masih belum berubah dan tetap bersikap kedekut sehingga menyusahkan saya dan juga ibu.

“Kasihan orang tua itu terpaksa menjaga anak kami. Mungkin silap saya juga kerana terburu-buru berkahwin dengan Bahari tanpa benar-benar mengenali lelaki itu,” ujar Dila menutup bicara.

Dila terpaksa menahan malu dan terus tinggal di rumah ibunya kerana Bahari enggan menyewa rumah lain biarpun mereka lebih daripada mampu.