Sarah (bukan nama sebenar) sudah muak dengan janji manis suaminya, Rashid (nama samaran) yang sering menyatakan bahawa dia akan mengubah perangainya yang gemar berfoya-foya selepas berkahwin.

Begitu pun, selepas 15 tahun mendirikan rumah tangga, perangai Rashid sedikit pun tidak berubah, malah semakin menjadi-jadi apabila dia asyik berseronok tidak kira masa.

Mengimbau kembali kisahnya, Sarah memberitahu, perkenalannya dengan Rashid bermula sejak kedua-dua mereka menuntut di sebuah universiti swasta di ibu kota.

“Semasa mula-mula berkenalan dengan Rashid, saya tahu tentang gaya hidupnya yang gemar berparti, melepak sehingga lewat malam dan dia juga sudah meniduri beberapa orang wanita.

“Begitu pun, saya belajar untuk melupakan kisah silamnya kerana saya pun bukanlah baik mana. Rashid juga setuju untuk melupakan kisah silam saya dan kami mahu membina hidup baharu dan berubah menjadi lebih baik.

“Rashid berjanji akan mengubah perangainya sebaik sahaja kami berkahwin. Janjinya itu memikat saya lalu kami pun mendirikan rumah tangga pada awal tahun 2003,” jelas Sarah.

Cerita ibu kepada tiga orang cahaya mata perempuan itu, perkahwinan yang dibinanya cukup membahagiakan sehinggalah selepas dua tahun anak sulung mereka lahir.

Ketika itu, Rashid mula berani pulang lewat dan selepas diselidik, rupanya dia melepak bersama rakannya sehingga lewat malam.

Minta cerai

Kadang-kadang, dia melepak di kedai mamak dan ada kalanya dia akan berhibur di kelab-kelab malam, tidak ubah seperti zaman dia bujang dahulu.

“Rakan-rakan Rashid ada yang masih bujang dan ada juga yang sudah bergelar suami orang, namun masih juga gemar melepak sehingga lewat malam.

“Entah apa yang dibualkan oleh mereka sehingga berjam-jam lamanya di kedai mamak pun saya tidak tahu.

“Rashid seolah-olah lupa diri dan tidak mempedulikan saya serta anak-anak di rumah kerana melepak dan pergi ke kelab itu ternyata lebih menyeronokkan untuknya,” luah Sarah kesal.

Kecewa dengan perubahan sikap suaminya, Sarah mula memberanikan diri untuk menegur Rashid dan mereka mula bertengkar besar.

Akui Rashid, dia rindukan kehidupan bujangnya dan masih belum mampu untuk meninggalkan kehidupan menyeronokkan itu.

Dia juga tanpa rasa bersalah meminta Sarah agar jangan mencampuri urusannya.

Tidak boleh menerima tindakan suaminya itu, Sarah kemudian nekad meminta cerai.

Begitu pun, Rashid enggan melepaskan wanita itu kerana mengakui masih sayangkan Sarah serta tidak boleh menguruskan dirinya sendiri tanpa wanita itu di sisi.

“Oleh kerana tidak mahu menceraikan saya, Rashid mula berubah sikap dan jarang melepak tidak tentu hala bersama rakan-rakannya.

“Dia kemudian cuba mengambil hati saya dengan memenuhi semua permintaan saya dan anak-anak, menyebabkan saya lembut hati dan tidak mahu lagi menyebut perkataan cerai,” cerita Sarah.

Namun, panas yang diharapkan sehingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Tiduri wanita

Sarah sekali lagi diuji apabila dia mendapat tahu bahawa suaminya kini gemar bermain perempuan.

“Sudahlah dia kembali gemar melepak sehingg lewat malam, saya mendapat tahu bahawa Rashid mula berkenalan dengan ramai perempuan menerusi media sosial.

“Hubungan mereka pula hingga ke ranjang dan bukan seorang dua, malah dia sudah meniduri sehingga berpuluh-puluh orang wanita.

“Sama ada anak dara, janda atau berstatus isteri orang yang kesepian, semua ‘disapunya’,” luah Sarah dengan nada sedih.

Rashid juga kerap tidak pulang ke rumah kerana mahu memuaskan nafsunya bersama wanita-wanita tersebut.

Biarpun usianya sudah memasuki 40-an, Rashid semakin liar dan sudah tidak mempedulikan soal halal dan haram.

Sarah yang terlalu kecewa mula membawa diri bersama anak-anaknya ke rumah ibu yang terletak di selatan tanah air.

“Semasa di rumah ibu, Rashid datang dan memujuk saya serta menabur janji-janji manisnya semula.

“Begitu pun, saya nekad memfailkan fasakh dan saya berharap sangat agar suami melepaskan saya.

“Saya tidak sanggup lagi ditipu oleh Rashid serta menjadi orang bodoh kerana mengharapkan dia akan berubah kerana jauh di sudut hati, saya tahu manusia seperti Rashid tidak akan pernah berubah,” luah Sarah menutup bicara.