Faizul Ghani, 39, juga berupaya melakukan panahan sambil menunggang kuda mengena pada papan sasar kadangkala menepati mata 10.

Ternyata, perkara-perkara yang dilakukan itu lazimnya memerlukan penglihatan mata yang tajam, namun Faizul membuktikan bahawa kecacatan penglihatannya tidak menghalang dia melakukan sesuatu yang memerlukan deria penglihatan.

Faizul yang dilahirkan ke dunia tanpa deria penglihatan tidak mengharapkan simpati sebaliknya sokongan daripada insan-insan lain khususnya manusia normal.

“Saya tidak ada mata, tetapi saya ada ‘mata hati’. Kerana mata fizikal saya tidak berfungsi, saya memanfaatkan deria sentuhan sepenuhnya dan menumpukan kepada gerak hati dalam melakukan banyak perkara,” katanya ketika ditemui K2 di sebuah pusat rawatan alternatif miliknya sendiri di Taman Pandan Cahaya, Ampang, Selangor baru-baru ini. Populariti mengenai keupayaan Faizul telah diperkatakan ramai sementelahan kebolehannya telah dilaporkan banyak media cetak dan elektronik sebelum ini.

Dakwah

Mempunyai lebih 70 sijil pengiktirafan perubatan alternatif termasuk dari Universiti Xiamen China, Faizul turut memiliki Diploma Sains Perubatan Homeopati daripada Persatuan Perubatan Homeopati Malaysia (PPHM) pada tahun 2003. Faizul juga telah mengikuti taklimat Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 oleh Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari Kementerian Kesihatan Malaysia di Kuala Lumpur tahun lalu.

Penulis berkesempatan berkomunikasi dan mendapatkan rawatan akupunktur daripadanya baru-baru ini. Pada mulanya, ada juga rasa gentar kerana perlu menyerahkan tubuh untuk dicucuk dengan jarum oleh seorang buta. Namun, perasaan itu reda sebaik sahaja mendengar dirinya berbicara.

Dengan keupayaannya memberi penerangan berteraskan ilmu dan pengetahuan yang tinggi disulami pesanan-pesanan berbentuk tarbiah, tidak semena-mena rasa gementar itu berkurangan dan terbit keyakinan.

“Pada mulanya memang pelanggan akan ragu-ragu untuk menerima rawatan seperti akupunktur atau bekam daripada saya. Tetapi, kebiasaannya, mereka mendapat sokongan daripada pelanggan-pelanggan terdahulu kerana kebanyakannya mengetahui mengenai rawatan yang saya kendalikan selepas direkomendasi pelanggan terdahulu,” katanya.

Memulakan kerjaya sebagai tukang urut iaitu sesuatu kerjaya yang lazim dikaitkan dengan golongan buta sejak tahun 1998, Faizul mengembangkan kebolehannya dengan menuntut ilmu rawatan alternatif seperti akupunktur, bekam, reiki, yomeiho dan sebagainya untuk merawat masalah kesihatan tertentu.

“Kerjaya sebagai tukang urut merupakan jalan terbaik, memandangkan saya cacat penglihatan sejak kecil dan persaingan untuk mendapat pekerjaan yang lain sukar.

“Selain itu, pekerjaan ini memberi banyak manfaat kepada orang ramai selain saya berkesempatan melakukan dakwah kepada pelanggan,” katanya yang turut mempunyai pelanggan dari Australia, China dan Thailand.

Dia sentiasa berfikir positif bahawa rezeki itu ada di mana-mana selagi berusaha dan tekad untuk meneruskan kehidupan.

Kini, dia bukan sahaja seorang tukang urut profesional yang berpengalaman selama dua dekad bahkan memiliki pusat rawatan yang dibuka sejak September 2013 iaitu Pusat Diagnosis dan Rawatan Holistik di Taman Pandan Cahaya, Ampang.

Pusat rawatan itu memiliki empat kakitangan dengan dua daripadanya adalah tukang urut buta.

Menurut Faizul, dia mula didedahkan mengenai urutan semasa di tingkatan lima kerana bergaul dengan rakan-rakan yang mempunyai kemahiran mengurut.

“Guru saya adalah seorang lelaki buta bernama Mr. Fong yang banyak mengajar teknik urutan yang betul dan dia juga memberi peluang kepada saya untuk bekerja sambilan di pusat rawatannya masa itu,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Titiwangsa, Kuala Lumpur itu.

Cabaran

Setelah menimba pengalaman awal dan memiliki kemahiran, dia mula menawarkan khidmat urut kaki dan refleksologi di Plaza Sungai Wang bersama rakannya.

Walau bagaimanapun, Faizul memberitahu, seperti kerjaya lain, perniagaan mengurut juga ada pasang surutnya apabila mengalami masalah sehingga terpaksa ditutup.

Tidak berputus asa dengan kegagalan, Faizul selepas itu, menambah ilmu pengetahuannya dalam bidang urutan sehingga memperoleh Diploma Sains Perubatan Homeopati. Tidak berhenti di situ, dia terus menuntut ilmu perubatan alternatif dari pelbagai institusi dari dalam dan luar negara dalam usaha meningkatkan kemahirannya. Dia memperoleh Sijil Lanjutan Akupuntur China dari Universiti Xiamen.

Menceritakan cabarannya dalam bidang itu, Faizul juga sering dijemput sebagai penceramah berkenaan rawatan alternatif memberitahu, pelanggannya terdiri daripada pelbagai kaum dan pelancong luar.

“Jadi banyak ragam yang perlu ditangani. Memang ada yang kurang yakin kerana saya buta.

“Namun, setelah datang dan membuat rawatan, persepsi itu semua hilang. Kebanyakan datang dengan masalah dan pulang dengan gembira,” tutur bapa kepada lima orang cahaya mata berusia antara dua hingga 15 tahun.

Ditanya mengenai cita-citanya dalam bidang berkenaan, katanya, dia mahu membuka hospital perubatan alternatif yang diintegrasikan dengan kaedah moden.

Selain melakukan rawatan akupunktur untuk manusia, dia turut melakukan rawatan akupunktur untuk haiwan seperti kuda dan kucing.

Berhubung rawatan untuk haiwan, Faizul menjelaskan, semuanya bermula daripada hobinya yang suka memanah sambil berkuda.

Kebolehannya memanah sambil berkuda turut pernah dipaparkan dalam program televisyen.

Faizul berkata, hobi memanah itu diperkenalkan oleh seorang rakan baiknya yang merupakan pengusaha alatan memanah.

“Bermula daripada memanah cara tradisional, saya cabar diri untuk memanah sambil berkuda biarpun agak mustahil orang yang tiada daya penglihatan seperti saya dapat melakukannya.

“Sejak itu, sekiranya ada masa terluang saya akan menghabiskan masa dengan aktiviti tersebut selain merawat kuda yang sakit dengan kaedah akupunktur,” katanya yang telah berjinak-jinak dalam sukan tersebut sejak dua tahun lalu.

Rawat kuda

Menurut Faizul berkata, dia mengambil masa dua bulan untuk mahir melakukan panahan sambil berkuda.

“Pencapaian panahan saya tidak menentu namun pernah juga tepat mengenai mata 10. Paling jauh saya melakukan panahan pula adalah pada jarak 10 meter,” katanya yang setakat ini tidak pernah menyertai apa-apa pertandingan.

Sebagai seorang buta, bukan mudah untuk memanah dengan tepat ke arah sasaran sambil mengawal imbangan badan di atas kuda serta peka dengan arahan orang sekeliling.

Faizul menyifatkan sukan tersebut juga memerlukan keserasian dan kemahiran memahami pergerakan kuda.