Sesekali mamalia tersebut berpusing mengelilingi pemukul gendang tersebut sambil terkinja-kinja mengepakkan kedua-dua tangannya.

Melihat keletah mamalia beruang berbulu lebat menari di hadapan khalayak itu begitu mencuit hati.

Pasangan beruang Rangeela dan Sridevi diibaratkan sebagai wadah hiburan buat masyarakat setempat.

Meskipun begitu, penasihat hidupan liar global pertubuhan kebajikan haiwan, Perlindungan Haiwan Antarabangsa (WAP), Dr. Neil D’Cruze mempunyai pandangan berbeza.

Beliau menyelar tradisi tarian beruang itu dengan menyifatkannya sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Katanya, khalayak mungkin melihat sebagai sesuatu yang lucu tetapi realitinya beruang tersebut mengalami trauma akibat penderitaan yang dialami setiap hari.

“Beruang ini dicucuk dengan besi panas pada mulut dan kemudian diikat menggunakan tali bagi memudahkan untuk dikawal.

“Gigi taring dan kuku haiwan ini juga dicabut bagi mengelakkan sebarang kecederaan berlaku malah ia hanya diberi makan nasi bersama susu sahaja.

“Ia sebenarnya dipaksa untuk menari dan sekiranya ia berdegil, pasti akan mengundang kesakitan,” katanya kesayuan.

Tambahnya, beruang tersebut mengalami kesan daripada trauma psikologi yang dihadapi sehingga tingkah laku mereka bertukar pasif.

Seringkali melihat beruang tersebut dalam keadaan tertekan seperti menghisap jari tapak tangan, mengelak apabila dihampiri dan keluh kesah.

Kegiatan mengeksploitasi haiwan sebagai wadah hiburan bukan suatu perkara yang asing lagi di Nepal. Tarian beruang dipercayai telah wujud di benua kecil India sejak abad ke-13 lagi.

Tradisi

Ketika itu, puak Qalandar mempersembahkan tarian tersebut sebagai wadah hiburan di hadapan golongan pemerintah dan raja-raja.

Amalan tersebut berterusan sehingga akhirnya diberhentikan pada tahun 1972 namun, penguatkuasaan sekatan tersebut diamalkan beberapa dekad kemudian mulai tahun 2012.

Beruang Melursus ursinus merupakan mamalia diancam kepupusan di India, Nepal, Sri Lanka dan Bhutan. Lapor Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN), beruang tersebut menduduki senarai merah haiwan diancam kepupusan dengan jumlah populasi keseluruhan hanya 20,000 ekor di seluruh dunia.

Bahkan, kemusnahan habitat asal dan kerakusan aktiviti penangkapan haram spesies tersebut bagai menabur garam di atas luka.

Secara purata, haiwan mamalia tersebut boleh membesar setinggi 1.8 meter dengan berat melebihi 140 kilogram. Melatih pelbagai spesies beruang untuk menari di hadapan khalayak sebagai mata pencarian turut popular pada Zaman Pertengahan di pelosok Eropah dan Asia lagi.

Menurut penyelidikan WAP, amalan tersebut berlanjutan sehingga penghujung abad ke-20 di Timur Eropah dan sebahagian Asia.

Hiburan

Ia diamalkan di negara seperti Albania, Bulgaria, Greece, India, Serbia, dan Turki suatu masa dahulu namun, amalan tersebut kini ditolak oleh kebanyakan masyarakat setempat.

Pengarah Eksekutif Institut Jane Goodall Nepal, Manoj Gautam berkata, realitinya sehingga kini masih terdapat lagi amalan penderaan hidupan liar atas tiket hiburan khalayak setempat.

Kebanyakan beruang yang dipaksa untuk menari itu ditangkap sedari usia kecil dari habitat asal dan kemudian dijual di pasaran gelap.

“Mamalia pemakan serangga itu dikenali sebagai haiwan yang bersifat agresif.

“Memaksa beruang menyerah dan menurut setiap kata termasuk menari semestinya merupakan proses penuh trauma lebih-lebih lagi dengan cara kekerasan seperti memukul dengan kayu.

“Pasti haiwan ini terpaksa berhadapan dengan ketakutan, kesakitan dan kekerasan setiap hari,” jelasnya.

Tambah Gautam, apabila ia sudah cukup terlatih, barulah beruang tersebut dibawa ke hulu ke hilir di jalanan untuk menari bagi mendapatkan duit.

Rentetan itu, Institut Jane Goodall Nepal dan WAP telah bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengakhiri tradisi tarian beruang dengan menyelamatkanRangeela dan Sridevi yang dipercayai merupakan generasi terakhir di Nepal.

Kedua-dua beruang berkenaan bersama pemiliknya Mohammad Salman dan Mohammad Momtaz telah diekori oleh pihak tersebut selama lebih setahun sambil menanti masa yang sesuai untuk menyelamatkan mamalia itu.

Jelas Ketua Polis Daerah Rastauhat, Yagya Binod Pokharel, pelan asal dalam misi menyelamat itu ialah dengan mendekati pemilik tersebut dan meyakinkan mereka untuk menyerahkan beruang tersebut secara aman.

Namun, tidak semua yang dirancang berjalan lancar.

Setibanya di lokasi yang telah dikenal pasti, kelibat pemilik termasuk beruang itu sendiri tidak kelihatan.

Mujur ketika itu mereka bernasib baik kerana dibantu oleh anggota polis dengan kepakaran teknologi tinggi berjaya mengesan lokasi pemilik beruang menerusi panggilan telefon.

“Kedua-dua beruang berkenaan berjaya ditemui di bandar Iharbari yang terletak di selatan Nepal.

“Hasil operasi itu, empat individu dibawa ke balai polis wilayah berdekatan untuk siasatan lanjut.

“Meskipun begitu, tiada sebarang bentuk denda atau penahanan dilakukan. Mereka hanya diberi arahan keras untuk tidak mengulanginya,” jelasnya yang mengetuai operasi berkenaan.

Kedua-dua mamalia itu kini sedang menunggu hari untuk ditempatkan di salah sebuah santuari di India.

Buat sementara waktu, ia tinggal di Taman Negara Nepal bersama dua penjaga asal yang diupah untuk menjaga kedua-dua beruang berkenaan secara sambilan.

Jelas Gautam, kedua-dua bekas penjaga itu sedar bahawa profesion sebagai penghibur jalanan menggunakan haiwan semakin dilupakan.

Derita

“Justeru, dengan mengambil bekerja secara sementara, mereka tidak perlu lagi mendera haiwan semata-mata untuk mendapatkan mata pencarian.

“Pada masa sama, bekas penjaga itu turut diarah untuk menandatangani dokumen perjanjian bagi menghalang sebarang bentuk penindasan terhadap hidupan liar ketika bertugas,” tegasnya.

Sekiranya mereka ditangkap melakukan keganasan terhadap haiwan mamalia itu, mereka juga akan dikenakan hukuman yang lebih berat.

Beberapa organisasi lain turut memuji usaha menyelamat hidupan liar yang tertindas itu. Ketua Komunikasi pertubuhan hidupan liar Four Paws Amerika Syarikat, Claire LaFrance berpendapat, kegiatan eksploitasi hidupan liar sebagai medium hiburan kebanyakannya berselindung di sebalik budaya.

Walaupun beruang tersebut digunakan sebagai tarikan pelancong asing termasuk swafoto kumpulan, mamalia berdarah panas itu realitinya semakin menderita.

Bahkan, ia kini tidak lagi relevan dan disifatkan sebagai ketinggalan zaman.

“Negara-negara seperti India, Nepal dan Vietnam kini sedang serius menjurus ke arah status negara moden.

“Bahkan, amalan tersebut juga tidak lagi diterima dalam masyarakat kontemporari.

“Oleh yang demikian, praktis itu seharusnya dihentikan segera menerusi penguatkuasaan undang-undang yang tegas oleh pihak berkuasa,” tegasnya.