Hampir kesemua cawangan restoran makanan segera itu mempunyai dekorasi serta hiasan dalaman yang sama daripada perabot, hiasan dalaman hingga ke kaunter penyediaan makanan.

Begitu pun, sebuah restoran McDonald’s terletak di Freeport, Maine, Amerika Syarikat memiliki dekorasi lain daripada lain dan dikatakan antara restoran makanan segera itu yang paling cantik di dunia.

Berbeza daripada cawangan-cawangan lain, bangunan restoran makanan segera itu berwarna putih bersih dengan seni bina klasik.

Ia pada asalnya merupakan sebuah rumah agam milik seorang usahawan terkenal di Maine iaitu William Gore yang dibina pada tahun 1850.

Ia diubah suai menjadi restoran McDonald’s pada tahun 1984. Memandangkan ia merupakan sebuah rumah agam, penduduknya tidak setuju sekiranya ia diubah suai sepenuhnya.

Cawangan istimewa

Ketika itu, Stephen Leroy yang merupakan Pengurus Media McDonald’s Illinois berkata, pihaknya mengambil kira kegusaran penduduk di situ dan mengambil keputusan untuk mengekalkan seni binanya.

McDonald’s juga menganggapnya sebagai sebuah cawangan istimewa dan unik.

“Dekorasi dan kelainan yang ditonjolkan pada cawangan ini merupakan sesuatu yang tidak ada pada cawangan-cawangan lain.

“Kami sanggup menghabiskan masa serta tenaga bagi menghasilkan sebuah restoran McDonald’s yang berbeza dan cantik,” katanya.

Ujar Leroy, mereka juga tidak kisah berbelanja besar bagi mewujudkan sebuah restoran yang sesuai dengan komuniti di kawasan itu.

“Masyarakat di kawasan ini cukup sukakan konsep yang kami tonjolkan,” jelasnya.

Udang kara

Merupakan satu-satunya restoran McDonald’s yang terletak di Maine, ia cukup mudah menjadi tarikan pengunjung sementelah menampilkan dekorasi zaman kolonial yang memukau.

Tidak hairanlah, pengunjung suka berkunjung ke cawangan itu dan ada yang sanggup memandu sehingga 150 kilometer semata-mata untuk melihat sendiri dekorasinya.

Bagi yang tidak tahu, mereka mungkin menyangka bangunan tersebut merupakan sebuah restoran bertaraf lima bintang.

Pemilihan perabot di restoran tersebut cukup sepadan dengan seni bina klasiknya.

Kerusi kayu dengan ukiran kerawang yang dipadankan dengan meja putih polos sememangnya memberikan satu pengalaman menarik saat menjamu hidangan makanan segera.

Selain menawarkan suasana menjamu selera yang berbeza, menu di cawangan tersebut juga unik dan tidak terdapat di cawangan lain.

Ia menawarkan menu roti gulung dengan inti udang kara.

Ia menjadi kegilaan penduduk di situ khususnya penggemar-penggemar menu udang kara yang menyifatkan ia enak, selain harganya juga berpatutan.

Menu tersebut dijual pada harga AS$8.99 (RM35) dan boleh didapati sepanjang hari.

Selepas kewujudan McDonald’s di Freeport, dua buah lagi restoran makanan segera itu yang menampilkan konsep kolonial dibina di New Hyde Park, New York dan Independence, Ohio.