Lelaki berumur 25 tahun yang berasal dari Klang, Selangor itu menekankan, asal usul kejadian manusia adalah daripada tanah dan air.

Kedua-duanya merupakan sumber untuk kelangsungan hidup manusia.

Ahmad Nazrin yang merupakan salah seorang fasilitator di NIC. Kerjaya yang disandang sejak tiga tahun lalu itu banyak mengubah hidupnya.

Dia bertekad mahu menjadi seorang pendakwah alam sekitar yang berjuang demi masa depan negara.

“Bekerja di Taman Wetland adalah satu bentuk terapi kepada saya. Pekerjaan ini banyak mengubah diri saya supaya lebih dekat kepada Pencipta.

“Lokasi ini juga menjadi medan untuk berdakwah dan ejen perubahan betapa pentingnya alam sekitar,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Taman dan Ameniti, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu.

Katanya, jika pengunjung pulang dengan kesedaran tentang alam sekitar, ia merupakan satu kepuasan pada dirinya.

NIC terletak di dalam kawasan Taman Wetland berkeluasan 197 hektar yang menyediakan pelbagai kemudahan dan tarikan kepada pengunjung. Ia lokasi sesuai untuk menjalankan pelbagai aktiviti seperti perkhemahan, hari keluarga, eksplorasi alam dan sebagainya.

Taman ini dikelilingi tanah lembap binaan air tawar terbesar di kawasan tropika dan menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna. Wetland terdiri daripada dua komponen iaitu sebuah tasik terbuka dengan keluasan 400 hektar. Sebanyak 24 siri sel wetland bertindak sebagai penapis air semula jadi yang turut dikenali sebagai Tasik Putrajaya.

Definisi Wetland menurut Konvensyen Ramsar 1971 ialah kawasan-kawasan rawang, paya, tanah gambut yang mengandungi air sama ada secara semula jadi atau buatan, tetap atau sementara dengan air yang statik atau yang mengalir.

Ia terdiri daripada air tawar, air payau atau masin termasuk air laut yang dalamnya tidak lebih 6 meter ketika air surut.

Secara amnya, wetland merupakan penapis air bumi dan benteng terhadap kemusnahan alam sekitar. Taman Wetland dibangunkan selaras dengan matlamat untuk mengekalkan kehijauan serta mewujudkan Green Lung di Putrajaya.

Wetland terbesar

Ia merupakan wetland buatan pertama di Malaysia dan merupakan salah satu wetland buatan terbesar di kawasan tropika.

Asal usul Taman Wetland ialah sebuah ladang kelapa sawit yang dikenali sebagai Ladang Prang Besar. Ia dibuka kepada orang ramai sejak tahun 1999 sempena Hari Wetland Sedunia.

Perasmian Grandmother NIC telah disempurnakan oleh bekas Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman. Beliau turut menerajui konsep dan pembinaan Kompleks NIC pada 17 Julai 2012 yang dibuka kepada orang ramai pada Ogos 2012.

Sel wetland ini ditanam dengan 27 spesies tumbuhan rawang antaranya rumput kercut (Lepironia articulata) dan rumput Gedabong (Phragmites karka), rumput bakong (Hanguana Malayana), rumput purun (Lepironia Artculata) yang berfungsi sebagai penapis semula jadi bagi air yang mengalir masuk dari Sungai Chuah, Sungai Bisa dan tiga batang anak sungai lain ke dalam Tasik Putrajaya.

NIC diuruskan sepenuhnya oleh Perbadanan Putrajaya melalui Bahagian Interpretif dan Pendidikan Taman, Jabatan Landskap dan Taman. Ia beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 5 petang kecuali hari Isnin.

Maklumat

Buat masa ini masuk ke Taman Wetland adalah percuma, cuma pengunjung hanya dicaj untuk perkhidmatan trem, basikal, Pakej Wonders Of Wetland (WOW), Modul Pendidikan seperti Jejak Si Cilik, Wetland Scavenger ataupun Wetland Hunt.

Matlamat utama NIC ialah menyediakan suatu pengalaman yang mempesonakan kepada pengunjung dan orang awam berkaitan flora dan fauna serta ekosistem Wetland Putrajaya di samping mempamerkan maklumat wetland yang terdapat di seluruh dunia.

Konsep yang dibawakan adalah berteraskan interaktif paparan mural tiga dimensi yang disokong dengan audio dan visual.

Melalui cara ini, pengunjung akan merasa keberadaan mereka dengan ekosistem wetland.

Kompleks bangunan NIC dan ruang pameran mempunyai tiga tingkat utama dengan keluasan 1,630 meter persegi. Ia menempatkan bahan pameran berkonsepkan interaktif serta penggunaan teknologi yang memaparkan maklumat berkaitan Putrajaya dan wetland.

Ia merangkumi Bangunan NIC 1 yang dikenali sebagai Baby NIC, Bangunan NIC 2 iaitu Mother NIC dan Bangunan NIC 3 (Grandmother NIC).

Selain lobi utama, aras lantai menempatkan kafe dan pendaftaran sementara aras bawah terdapat Cineplex 240 degree, Hidden Depth dan ekologi paya bakau. Sementara di aras 1 menempatkan ruang informasi, ruang edu-tainment, lukisan mural 3 dimensi dan perpustakaan mini.

Dalam pada itu, Pegawai Khidmat Pelanggan NIC, Noor Zulaini Dzulkifli, 35, berkata, dia cukup teruja untuk memberi perkhidmatan kepada pengunjung daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang.

“Saya berpeluang bertemu pengunjung dari negara-negara luar dan menjadi duta pelancongan di Putrajaya. Bagi saya NIC adalah saluran pendidikan kurikulum sekolah yang berkesinambungan dengan pendidikan luar bilik darjah,” katanya.

Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab Noor Zulaini untuk menyampaikan mesej pentingnya menghargai alam sekitar.

Manfaat

Sementara itu, Penolong Jurutera NIC, Kamaruddin Sohor, 56, pula bertanggunjawab mengendalikan operasi audio visual dan teknologi interaktif di pusat ini mengenai ekosistem wetland.

“Ia dipersembahkan melalui ruang pameran interaktif yang lengkap dengan audio visual, imej tiga dimensi dan model ekosistem,” ujar beliau yang berkhidmat sejak enam tahun lalu.

Sementara itu, seorang pengunjung, Azhar Ismail, 41, berpendapat, dia tidak menyangka NIC adalah sebuah pusat pembelajaran mengenai alam yang sangat interaktif dan menarik minat golongan muda dan dewasa.

“Walaupun tempat ini telah tular dalam media sosial tetapi realitinya ia jauh lebih baik kerana NIC memberi manfaat pembelajaran kepada empat orang anak saya dan saya sendiri,” kata pegawai teknologi maklumat dari Cyberjaya itu.

Pusat Penghayatan Alam di Taman Wetland Putrajaya (NIC) memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali dan menghargai ekositem alam secara interaktif selain dikelilingi dengan persekitaran semula jadi.