Membesar di estet membuatkan Prof. Dr. P. Agamuthu, 69, sangat mencintai alam sekitar dan tumbuh-tumbuhan.

“Sejak kecil saya sangat suka menikmati pemandangan di dalam estet, apatah lagi rumah kami memang terletak di dalam ladang getah.

“Udara di situ sangat nyaman, segar, bersih dan tidak terlalu panas kerana terlindung di bawah redupan pokok-pokok getah,” ceritanya ketika ditemui Kosmo! di Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut bapa kepada dua orang cahaya mata itu, kehidupan beliau sekeluarga sangat sederhana. Mendiang bapanya, A. Periatamby bekerja sebagai mandur ladang dan pada masa sama menoreh getah.

Mendiang ibunya, A. Marie juga seorang penoreh getah.

“Mendiang bapa mahu masa hadapan anak-anaknya lebih baik maka, beliau tekad memberikan pendidikan kerana hanya itu sahaja cara untuk mengubah nasib kami sekeluarga.

“Justeru, saya belajar bersungguh-sungguh sehingga dapat menggenggam Ijazah Sarjana Muda Fisiologi Tumbuhan, UM,” tutur anak kelahiran Mentakab, Pahang itu.

Beliau yang kini merupakan Pakar Pengurusan Sisa Pepejal dan bertugas sebagai Profesor di Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, UM tidak pernah melupakan perit-jerih perjalanan hidup untuk mengejar cita-cita itu.

Berpengalaman lebih tiga dekad dalam bidang tersebut, beliau telah menerima 21 anugerah termasuk tujuh pingat emas berprestij dari luar negara atas penghargaan hasil kerja kerasnya selama ini.

Minatnya mula bercambah dalam bidang tersebut apabila menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda serta Doktor Falsafah dalam jurusan Penggunaan dan Pengurusan Sisa Pertanian, UM.

Kepakarannya ditagih apabila sering dijemput ke persidangan atau kerjasama penyelidikan peringkat antarabangsa di seluruh dunia seperti Jepun, India, Britain, Jerman, Switzerland dan Sepanyol.

Agamuthu kini merupakan Panel Pakar bagi pemilihan Tapak Sisa Ke Tenaga dan penasihat kepada Jabatan Pengurusan Sisa, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Panel Pakar

Mengimbau kembali kenangannya ketika bersekolah, Agamuthu memberitahu, beliau hanya membawa wang saku sebanyak 10 sen.

“Sejak sekolah rendah hingga menengah ibu hanya mampu memberikan wang saku sebanyak 10 sen tetapi ia sudah cukup untuk membeli air dan kuih.

“Pada waktu malam saya belajar ditemani cahaya lampu kerosin memandangkan pukul 10 malam elektrik di kawasan estet akan dipadamkan,” katanya yang pernah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Abu Bakar dan Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar, Pahang.

Memandangkan beliau cemerlang dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, ibu bapa di estet itu memintanya mengajar kelas tuisyen untuk anak-anak mereka.

Pengajaran kelas tuisyen itu dilakukan ketika beliau di tingkatan empat dan lima dengan mendapat bayaran RM50 sebulan.

Ternyata kesusahan hidup tidak melunturkan semangat anak kedua daripada empat beradik itu.

Melihat kesusahan pekerja-pekerja ladang membanting tulang empat kerat membuatkan Pengasas dan Presiden Persatuan Pengurusan Sisa dan Persekitaran Malaysia itu semakin bersemangat untuk berjaya dalam hidup.

Berbekalkan keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia yang cemerlang, Agamuthu mendapat biasiswa untuk membiayai pengajiannya di universiti.

Sedekad lalu, beliau dan pelajarnya berjaya membuat kajian yang menukar sisa pepejal kepada bahan bernilai termasuklah sisa berbahaya untuk dijadikan baja, tenaga dan cenderamata.

“Kajian ini mendapat pingat emas semasa dibentang di Geneva, Switzerland.

“Pengiktirafan tersebut merupakan salah satu penghormatan tertinggi di peringkat antarabangsa,” tuturnya yang menganggap penganugerahan itu sebagai kenangan paling manis.

Ujar Agamuthu, antara cabaran yang perlu ditempuhi ialah mendapatkan dana untuk menjalankan kajian.

Setiap kajian menelan kos sebanyak RM100,000 hingga RM1 juta.

Selain itu, cabaran kedua ialah memasarkan produk hasil kajian tersebut kerana perlu melalui banyak prosedur yang ketat daripada pelbagai pihak.

“Kami telah merawat air sisa pelupusan sampah dengan membuang kandungan logam berat untuk dijadikan baja dengan membuat ujian kepada 10 jenis tumbuhan.

“Baja dengan rawatan seumpama ini telah diaplikasikan di China dan India tetapi Malaysia belum menggunakannya lagi,” jelas Ketua Editor Pengurusan Sisa dan Penyelidikan, UM itu.

Cabaran

Meskipun begitu, beliau berasa sangat puas apabila kaedah penyelidikannya diaplikasikan oleh penyelidik-penyelidik di luar negara.

Terang suami kepada S. Jodhy, 66, itu, pengurusan sisa pepejal sangat penting kerana dapat membantu menyelamatkan bumi daripada pencemaran dan menjimatkan tenaga sedia ada.

Besar harapannya agar negara kita mencapai tahap sifar pengeluaran sisa pepejal apabila bahan buangan itu dikitar dan diguna semula.

Sisa pepejal merupakan salah satu punca pencemaran alam sekitar yang memberi kesan kepada tanah, air dan udara.

Sebagai contoh, sisa pepejal organik terdiri daripada bahan pertanian, kertas serta makanan yang dibuang di tapak pelupusan sampah yang akan melepaskan gas metana dan mengakibatkan pemanasan global.

Sehingga kini terdapat kira-kira 170 tapak pelupusan sampah di negara ini dan hanya 10 peratus yang menggunakan kaedah pelupusan sampah secara sanitari dan terurus.

“Sejajar dengan seruan kerajaan yang ingin menukar sisa pepejal kepada tenaga maka, rakyat Malaysia perlu menyokong pengasingan sisa pepejal.

“Apa jua teknologi tidak dapat dilaksanakan sekiranya pengasingan sisa pepejal tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

“Jika sisa ini bercampur, ia akan menurunkan nilainya,” jelasnya yang gemar mendengar muzik dan menonton wayang pada masa lapang.

Malangnya, sikap masyarakat di negara ini masih kurang memuaskan dalam hal berkaitan dengan pengasingan sisa pepejal.

Keadaan tersebut berbeza dengan orang Jepun yang sangat menyokong penuh usaha berkenaan dan sedar betapa pentingnya tindakan tersebut dalam melestarikan alam sekitar.

“Jepun mengambil masa 15 tahun untuk mengubah sikap rakyatnya terhadap pengasingan sisa pepejal.

“Oleh itu, kita memerlukan pendidikan yang terperinci untuk menukar mentaliti orang Malaysia,” ulasnya yang telah menulis 450 jurnal dan 17 buku saintifik serta sisa pepejal.

Sehubungan itu, Agamuthu menyarankan agar kita meniru kaedah yang digunakan di Jepun dan negara maju seperti Denmark.

Beliau juga yakin pelaksanaan undang-undang khas bagi menguatkuasakan pengasingan sisa merupakan langkah terbaik untuk mendidik masyarakat.

Prof. Dr. P. Agamuthu yang dibesarkan di estet kini merupakan pakar pengurusan sisa pepejal dan mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa serta banyak berkongsi hasil penyelidikannya di seluruh dunia.