Antara tradisi yang masih kekal diamalkan dan terkenal sehingga kini adalah Debus iaitu satu tradisi yang diamalkan oleh masyarakat di wilayah Banten, Jawa Barat.

Sejak dahulu lagi, tradisi Debus telah menjadi amalan masyarakat di Banten walaupun ia memaparkan sisi ngeri dan menakutkan bagi sesetengah orang.

Kesenian tradisional yang turut dikenali sebagai tradisi Debus Banten itu mempamerkan aksi dan pertunjukan yang menakutkan terhadap diri seseorang.

Dalam erti kata lain, tradisi Debus sebenarnya adalah satu bentuk persembahan seni mempertahankan diri untuk menentukan tahap kekebalan tubuh seseorang melalui pelbagai jenis seksaan menggunakan objek-objek tajam dan berbahaya seperti keris, pedang, lembing, bara api, besi dan paku.

Penyebaran agama

Mengikut sejarah tradisi Debus, kesenian itu berkait rapat dengan penyebaran agama Islam di Indonesia sewaktu zaman pemerintahan Sultan Maulana Hasanuddin pada sekitar tahun 1532 hingga 1570.

Debus digunakan sebagai seni untuk memikat masyarakat Banten yang ketika itu masih memeluk agama Hindu dan Buddha dalam rangka penyebaran agama Islam.

Ketika zaman pemerintahan Sultan Ageng Tirtayasa pada abad ke-17 (1651-1652), tradisi Debus difokuskan sebagai alat untuk membangkitkan semangat para pejuang untuk melawan penjajah Belanda.

Meniti peredaran zaman, Debus seterusnya menjadi salah satu ra­gam seni budaya masyarakat Banten sehingga ia begitu digemari dan menjadi salah satu bentuk persembahan hiburan umum yang dipertontonkan kepada orang ramai.

Menurut seorang pengkaji Debus, Dr. H. Imron Arifin, nama Debus berasal dari bahasa Arab yang bermaksud jarum atau alat yang mempunyai hujung yang runcing.

“Tradisi ini menggunakan peralatan tajam yang ditusuk ke pipi, leher, dada dan tangan bagi menentukan kekebalan tubuh seseorang,” ujar H. Imron.

Individu yang mengambil baha­gian dalam tradisi Debus mengatakan bahawa mereka tidak pernah merasa sakit walaupun tubuhnya telah dicucuk dengan senjata tajam sehingga menembusi bahagian kulit.

Senjata yang lazim digunakan mestilah tajam dan berbentuk tirus. Semasa aksi Debus dilakukan, pemain akan ditusuk dengan senjata tajam sepanjang 50 sentimeter (cm) hingga 60cm sehingga menembusi bahagian kulitnya.

Aksi ngeri

Sesudah itu, pemain Debus itu akan menunjukkan kepada penonton bahagian tubuhnya yang tidak mempunyai sedikit pun luka selepas melakukan aksi ngeri itu.

Berikutan itu, ramai yang mengatakan bahawa amalan tersebut hanya sebahagian daripada pertunjukan silap mata dan sekadar satu bentuk hiburan kepada penonton.

Sama seperti amalan tradisi lain yang dikaitkan dengan unsur-unsur tertentu, upacara Debus tidak terkecuali apabila ia dikaitkan dengan nilai keagamaan yang telah diadun bersama unsur kesenian.

Terdapat beberapa peraturan adat yang harus dipenuhi ketika tradisi Debus dilakukan, antaranya ialah, sewaktu persembahan dilakukan, ia mesti diiringi dengan muzik yang dipimpin oleh ahli muzik dipanggil Syeh.

Selain diiringi dengan pemuzik, persembahan Debus juga perlu di­sertai dengan alunan zikir yang ditugaskan kepada beberapa orang bagi memastikan permainan tersebut berjalan dengan baik.

Busana yang digunakan semasa permainan Debus adalah pakaian tradisional Kampret dengan seluar pangsi dan memakai ikat kepala yang dinamakan lomar berwarna hitam.

Seperti kebanyakan tradisi dan kesenian lain, Debus juga memiliki makna dan tujuan tersendiri bermula dari upa­cara adat hingga tradisi menyambut tetamu.

Kepelbagaian tradisi yang terdapat di Nusantara sebenarnya memiliki erti tersendiri berdasarkan kepercayaan dan adat sesuatu kaum itu.

Tradisi Debus yang popular di Banten, Jawa Barat, Indonesia merupakan satu bentuk persembahan bela diri yang mempamerkan aksi-aksi mengerikan menggunakan peralatan berbahaya.