Ia digunakan secara tradisional dengan mengunyah atau minum air rebusannya. Ketum terbukti sebagai minuman pemulih tenaga, mengeluarkan angin dalam badan dan juga merawat sakit belakang.

Namun, mengapa Malaysia mengharamkan penggunaan daun ketum sedangkan ia terbukti mendatangkan manfaat terhadap kesihatan.

Baru-baru ini Kosmo! turut melaporkan, kerajaan sedia mengadakan perbincangan serta pertimbangan semula terhadap cadangan penanaman pokok ketum sebagai tanaman komersial untuk menjana pendapatan rakyat selain mempunyai nilai perubatan tinggi.

Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, pihaknya sedia bertemu bagi mendapatkan pendapat daripada pelbagai pihak termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) mengenai perkara itu.

“Tiada masalah untuk dibawa ke peringkat Kabinet tetapi kita mahukan ia dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan tanaman herba seperti ketum dapat memberikan manfaat dalam perubatan, sekali gus kepada orang ramai,” katanya.

Pokok ketum mula menjadi terkenal pada awal tahun 2003 kerana ia dikatakan berupaya menjadikan seseorang itu ketagihan disebabkan ia mengandungi mitraginin.

Oleh itu, pokok ketum telah diisytiharkan sebagai bahan larangan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pada asalnya, hukum menanam pokok ketum adalah harus seperti mana pokok-pokok yang lain.

“Tidak ada nas yang melarangnya, bahkan ia termasuk di dalam perkara-perkara mubahat (yang dibolehkan) untuk kegunaannya.

“Namun, meskipun hukum asalnya harus tetapi ianya boleh membawa kepada hukum yang haram jika terdapat faktor-faktor luar yang boleh membawa kepada sesuatu yang lebih mudarat,” katanya menerusi satu kenyataan.

 

Mencegah

Sama seperti pokok anggur, pada asalnya adalah diharuskan kerana ia adalah dari jenis-jenis tumbuhan yang manusia boleh memperoleh manfaat daripadanya. Namun, penanaman anggur bagi tujuan komersial untuk dijadikan sebagai arak adalah diharamkan.

Tambah Zulkifli, begitu juga dengan pokok ketum.

“Tidak dinafikan bahawa daun ketum mempunyai khasiatnya yang tersendiri dan telah terbukti secara tradisional bagi mengubati beberapa jenis penyakit.

“Namun, di sebalik manfaat yang diperoleh melalui aktiviti pengkomersialannya itu terpalit juga mafsadah (kerosakan) yang bakal berlaku bahkan sehingga kini ia telah pun berlaku di Malaysia,” terangnya.

Pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Luqman Makhtar pula memberitahu, Nabi Muhammad SAW berpesan supaya menjauhi perkara syubhat (ragu, was-was atau syak).

“Dalam bahasa moden hari ini, syubhat ialah sebarang perkara yang tidak jelas hukumnya sama ada halal atau haram. Dalam erti lebih mudah, mencegah lebih baik daripada mengubati.

“Kalau orang Islam budayakan pesan Nabi, mereka sepatutnya sudah celik dengan perkara-perkara seperti ini,” katanya.

Oleh itu, sepertimana yang termaktub di dalam seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, daun ketum masih diharamkan dan boleh dikenakan penalti kompaun maksimum sebanyak RM 10,000 dan penjara tidak melebihi empat tahun.

Pada 1 Ogos 2016, Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak telah memutuskan bahawa cadangan penanaman pokok ketum adalah diharamkan.

Ini kerana, masih banyak lagi jenis tanaman yang boleh dikomersialkan bagi tujuan perubatan dan juga menambahkan pendapatan yang lumayan bagi menggantikan daun ketum.