Apabila dijengah, kuali besar berisi ketulan daging yang kelihatan seperti masakan sup itu sudah menggelegak. Aromanya agak unik bersebati dengan bau daun pepijat atau turut dikenali sebagai daun kesing di sesetengah tempat.

Tidak menunjukkan tanda-tanda ingin berhenti, lelaki dari Kampung Orang Asli Labuhan Dagang, Dengkil, Selangor itu sesekali menukar tangan yang lenguh sambil sebelah lagi tangannya menyeka peluh menggunakan tuala yang dililit pada lehernya.

Bapa kepada enam cahaya mata berusia 18 hingga 23 tahun itu berpendapat, para suami dan anak-anak lelaki wajar tahu memasak dan turut serta membantu tugas di dapur.

“Ini daging monyet. Masakan ini dipanggil lempak. Antara bahan-bahannya ialah bawang putih, bawang merah, halia, daun pepijat yang kami panggil daun kemomok, garam dan ubi kentang. Ia perlu dimasak bersama air yang banyak sehingga kering kira-kira tiga jam.

“Selain lempak monyet, kita juga boleh masak lempak tupai. Tidak susah membuatnya. Kaedah dan bahan-bahannya sama sahaja,” ujarnya ramah ketika ditemui Kosmo! pada Festival Seni Orang Asal Antarabangsa di Taman Botani Negara Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Menurut Rashid, daging monyet yang dimasaknya itu ialah monyet daun. Mamalia itu mudah dikenali dengan ciri-ciri seperti mempunyai bulu berwarna hitam dan lingkaran mata berwarna putih.

Selain monyet jenis tersebut, lotong, kera dan cikah turut menjadi santapan istimewa komuniti Orang Asli suku Temuan sepertinya.

Katanya, rasa daging haiwan itu agak istimewa berbanding ayam kerana dagingnya bersifat menyerap ramuan herba atau rempah ratus yang dimasak bersama.

Bercerita lanjut, seekor monyet daun yang sudah siap dilapah menghasilkan daging seberat sekitar dua hingga empat kilogram dan kuantiti itu sudah memadai untuk dinikmati seisi keluarga.

Ia bukanlah hidangan yang mudah diperoleh walaupun sebulan sekali sementelah Rashid yang bekerja sebagai pengawal keselamatan bekerja syif dan jarang mempunyai masa memburu di hutan.

Memburu di hutan

Katanya, kebanyakan resipi masakan Orang Asli termasuk suku kaumnya dimasukkan daun kemomok. Daun herba itu selalunya digunakan untuk masakan daging atau ikan.

Selain dijadikan bahan masakan, tumbuhan tersebut juga terdapat kegunaan dalam perubatan tradisional seperti pembalut tungku atau dijadikan ramuan mandian kaum ibu selepas bersalin.

Sementara itu, Mohamad Haikal Abdullah, 45, dari Kampung Orang Asli Sungai Buah, Dengkil, Selangor menjelaskan, rasa haiwan yang disumpit lebih enak berbanding ditembak menggunakan senapang yang mempunyai bau belerang.

Tambah sub kontraktor syarikat swasta itu, persediaan menyediakan damak yang diperbuat daripada batang bertam atau batang langkap untuk dijadikan peluru sumpit mengambil masa sehari suntuk. Antara bahan-bahannya ialah kulit batang pokok keroi, akar pokok ipoh dan akar pokok getah yang dikikis.

Budaya

Ia kemudiannya dimasak lama dan ditapis beberapa kali sehingga mengeluarkan pati pekat yang tidak menitis. Begitupun, haiwan yang mati akibat pati yang disapu pada damak itu tidak memudaratkan manusia.

Kongsinya, menjadi budaya masyarakat Orang Asli termasuk di kampungnya akan berganding bahu menjayakan kenduri-kendara sekali gus memasak makanan yang jarang dinikmati pada hari-hari biasa. Antaranya kancil panggang.

Uniknya, keluarga tuan rumah lazimnya turut membuat tempahan katering untuk jemputan dari luar di samping pilihan lauk-pauk tradisi yang dimasak secara bergotong-royong.

Dia yang memeluk agama Islam sejak tahun 2006 dan dikurniakan tujuh anak berkata, biarpun ada yang menganut agama dan kepercayaan yang berbeza, suku kaumnya hidup harmoni dan menghormati antara satu sama lain.

“Semasa zaman kanak-kanak saya membesar di persekitaran hutan. Tetapi kini, sudah jarang dapat melakukannya lagi. Jika ada kelapangan saya akan menahan jerat ayam hutan. Biasanya, kami pasang jerat sekitar pukul 5 atau 6 petang dan akan periksa keesokan pagi.

“Tetapi sebenarnya, ayam hutan agak susah nak dapat sekarang kerana hutan kian mengecil. Kalau tidak bernasib baik, ayam hutan yang terperangkap itu dilarikan musang,” tuturnya.

Menurut Mohamad Haikal, bagi masyarakatnya yang bukan beragama Islam, mereka turut menjadikan ular seperti ular sawa dan ular guni yang dikenali masyarakatnya sebagai ular gipong sebagai makanan.

“Cara penyediaan ular ini ialah perutnya akan dibelah dan digantung terlebih dahulu untuk mengeluarkan bisanya. Kemudian dibuang sisik serta kulitnya dipotong. Ia boleh dimasak goreng kunyit mengikut cita rasa masing-masing.

Bagi, Mizan Gemok, 60, dari Kampung Orang Asli Bakok, Sepang gaya masakan panggang paling digemarinya kerana ia ringkas dan menyelerakan.

Dia yang ditemui ketika sedang sibuk memanggang ikan tengas berkata, ikan itu diperap seketika dengan kunyit, garam, bawang putih, bawang merah, halia, garam halus dan dimasukkan ke dalam buluh yang dibalut daun pisang seperti lemang.

Ikan itu kemudiannya dibakar di atas bara api bersama kancil, tupai, ayam hutan yang disepit menggunakan buluh. Sambil itu, dia turut membakar ubi kayu untuk dijadikan kudapan sementara menunggu juadah tersebut siap dimasak.

“Ini paling mudah (bakar) boleh campur macam-macam lauk, dalam tiga jam sudah boleh makan,” katanya

Berbeza pula dengan Silah Gompel, 43, yang tampak bertungkus lumus memarut halus setimbun ubi kayu yang sudah dikupas kulit menggunakan buluh. Ia kemudiannya ditampi sebelum digoreng selama 30 minit.

Penduduk Kampung Orang Asli Kelingsing, Sepang, Selangor itu berkata, ubi kayu tersebut direndam di dalam air sungai atau air selama tiga hari dan dibiar kering sebelum ditekan di dalam buluh yang dibelah dua sehingga menjadi halus.

“Masakan ini dipanggil ubi kacau. Kalau warnanya kuning maknanya ia sudah masak. Tak perlu letak garam atau gula. Nanti sudah siap ia boleh dimakan bersama sup ayam atau daging rebus macam makan dengan nasi,” ujarnya sambil tersenyum.