SEHINGGA kini Tetsuya telah mempunyai lebih 99,000 orang pengikut dalam laman Instagram.

Hal tersebut berikutan gaya pemakaiannya kelihatan begitu unik dan tersendiri gara-gara sentuhan cucu lelakinya yang cuba memberi kelainan kepada lelaki tua tersebut.

Lelaki warga emas itu, Tetsuya yang juga merupakan seorang pesara guru kimia pada hakikatnya bukanlah seorang penggemar fesyen.

Kehidupan Tetsuya sebelum ini sama seperti lelaki biasa yang lain dengan berpakaian ala kadar sahaja. Namun, semuanya berubah selepas cucu lelakinya mengubah penampilan datuknya dan mengambil beberapa keping gambar lelaki itu pada bulan lalu.

Pada ketika itu, cucunya, Naoya Kudo telah menziarahinya di daerah Akita semasa cuti hujung minggu sempena perayaan Jubli Emas Jepun.

Semasa bertemu datuknya, Kudo telah bertanyakan kepada lelaki itu sama ada dia sudi untuk menjadi model dan menggayakan pakaian-pakaian miliknya.

Kehendak cucu

Tanpa banyak bertanya, Tetsuya bersetuju dan mengikut sahaja kehendak cucunya itu untuk menggayakan beberapa rekaan fesyen dan bergambar.

Sepanjang sesi fotografi itu dibuat, kedua-dua mereka kelihatan begitu gembira selain dapat meluangkan masa bersama. Pada masa sama, mereka tidak tahu bahawa gambar yang diambil itu bakal menjadi bualan hangat dalam laman sosial.

Dalam satu temu bual bersama agensi berita BuzzFeed News, Kudo memberitahu bahawa datuknya kelihatan begitu berminat semasa sesi bergambar itu dibuat.

“Malah dia (datuk) sendiri yang mencari lokasi sesuai untuk sesi bergambar dan beberapa perkara lain lagi,” ujar Kudo.

Kudo yang meminati bidang fotografi telah disarankan datuknya untuk menjalankan sesi bergambar di beberapa lokasi pilihan seperti di kawasan padang, tepi pantai serta sekolah yang pernah menjadi tempat datuknya bertugas sebagai seorang guru.

Beberapa keping gambar datuknya yang dimuat naik dalam laman sosial Twitter telah mendapat perhatian pengguna laman sosial tersebut yang rata-rata memuji hasil kerja yang dia lakukan.

Instagram rasmi

Pujian bukan sahaja diberikan kepada hasil gambar yang diambil, malah orang ramai juga sangat menggemari fesyen yang digayakan oleh Tetsuya.

“Dia (Tetsuya) datuk paling bergaya yang pernah saya lihat dan apabila tua nanti saya ingin menjadi sepertinya,” kata seorang peminatnya.

Melihat pada komen-komen positif yang diberikan, Kudo kemudiannya telah membuka satu akaun Instagram rasmi datuknya dan memuat naik banyak gambar datuknya yang menggayakan pelbagai fesyen.

Dalam sekelip mata, akaun Instagram datuknya, SLVR.TETSUYA telah meraih lebih 99,000 pengikut yang rata-ratanya menggelar lelaki tua itu sebagai ikon fesyen.

“Anda dan cucu anda membuat sesuatu yang menyeronokkan dan kreatif bersama-sama,” ujar salah seorang pengikutnya dalam laman Instagram.

Kudo yang mengendalikan akaun Instagram datuknya kini dalam merangka perancangan satu projek sesi fotografi bergambar dan akan memuat naiknya dalam laman sosial tersebut secepat mungkin.

Seorang warga emas berusia 84 tahun dari Jepun, Tetsuya raih populariti dalam laman sosial selepas diminta untuk menggayakan fesyen dan bergambar secara suka-suka oleh cucunya.