Mengakui pekerjaan yang dilakukannya hari ini pada awalnya bukanlah berlandaskan rasa minat, namun atas usaha dan cita-cita tinggi untuk berjaya akhirnya memberi peluang pemilik nama Nabila Khalid, 32, itu bergelar seorang usahawan kecil.

Berdiri di bawah jenama Sarang Craft by Abby, Nabila atau lebih mesra disapa Abby kini aktif menghasilkan beg buatan tangan pelbagai bentuk dan saiz selain turut mengadakan kelas jahitan untuk individu yang berminat bagi mendalami ilmu membuat beg.

Bertempat di studio miliknya yang dibuka di The Craftsical Studio, Bandar Baru Bangi, Selangor, Abby kini mampu tersenyum bangga selepas apa yang diusahakan pada hari ini mula menampakkan hasil.

Bercerita lebih lanjut, wanita berasal dari Johor Bahru, Johor itu sendiri tidak percaya dia akhirnya bergelar seorang pembuat kraf berupa beg sedangkan dia mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan kimia daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

“Sudah tertulis rezeki saya dalam bidang perniagaan kraf walaupun mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan kimia,” jelas Abby.

Hobi

Menurut ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, selepas menamatkan pengajian di UTM, dia pernah bekerja sebagai ketua seksyen di salah sebuah pusat beli-belah terkenal selama lebih dua tahun sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerja selepas melahirkan anak pertama.

Selama setahun, Abby hanya menjadi seorang suri rumah sepenuh masa sebelum mula mencari hobi bagi mengisi masa lapang.

“Antara perkara yang saya lakukan termasuklah membuat kek, namun mendapati ia bukan jiwa saya.

“Kemudian saya cuba pula bidang jahitan walaupun tidak tahu menjahit,” ujarnya.

Dari situ, timbul rasa minat untuk mendalami ilmu jahitan lebih-lebih lagi selepas dia dihadiahkan sebuah mesin jahit oleh ibunya.

Percubaan pertamanya menghasilkan permainan berupa anak patung yang dijahit untuk anaknya membuahkan hasil selain turut mendapat permintaan daripada saudara-mara.

Berbekalkan azam dan impian menggunung, Abby juga mengikuti kelas menjahit untuk mendalami lagi seni jahitan sebelum mula serius untuk menghasilkan produk sendiri.

Mengetengahkan beg sebagai produk utama, Abby menitikberatkan aspek kualiti dan kemasan dalam setiap sentuhan yang dihasilkan.

Tampil dalam pelbagai bentuk rekaan dan saiz, beg yang dihasilkan adalah 100 peratus dijahit sendiri mengikut rekaan yang diinspirasikan daripada produk jenama antarabangsa atau rekaan yang dibeli dari luar negara.

Kelas jahitan

Untuk pemilihan fabrik pula, Abby lebih mengutamakan pemilihan material daripada kapas dan kanvas kerana sifatnya lebih ringan dan memiliki kepelbagaian corak yang lebih cantik dan menarik.

Abby hanya akan membuat beg berdasarkan tempahan yang diterima dan menolak jika ia melibatkan tempahan dalam kuantiti yang banyak kerana ingin menjaga mutu dan kualiti yang dihasilkan.

Melihat pada permintaan pelanggan yang kian memberangsangkan, selain mendapat permintaan untuk mengajar menjahit, bermula September 2016, Abby telah membuka sebuah studio, The Craftsical Studio bersama seorang rakan kongsi untuk mengajar menjahit.

Abby bagaimanapun hanya menetapkan sejumlah 10 orang pelajar dalam satu-satu masa untuk memudahkan sesi pembelajaran.

“Kelas ini terbuka untuk semua golongan yang berminat walaupun mereka langsung tidak mempunyai asas dalam bidang jahitan,” kata Abby.

Dalam kelas tersebut, pelajar akan didedahkan dengan pengenalan pada mesin menjahit terlebih dahulu sebelum mempelajari teknik-teknik jahitan.

Dalam tempoh sehari sahaja, pelajar boleh menghasilkan sebuah beg yang siap dijahit atas bantuan dan tunjuk ajar yang diberikan.

Bercakap tentang kelebihan dan keistimewaan produk yang dihasilkan di bawah jenama Sarang Craft by Abby, wanita itu pantas memberitahu, beg-beg yang dihasilkan adalah eksklusif dan tidak boleh diperoleh di mana-mana kedai.

Apa yang penting, beg yang dihasilkan juga 100 peratus dihasilkan sendiri bermula daripada proses memotong kain sehingga menjahit.

Mengakui terdapat beberapa kekangan yang perlu dilalui untuk berada pada tahap hari ini, Abby mendakwa, masalah utama yang dihadapinya adalah untuk mencari modal bagi membuka studio.

Mujur katanya, terdapat seorang kenalan yang juga berminat dalam bidang jahitan, namun terikat dengan komitmen kerja telah sama-sama mengeluarkan modal untuk membuka sebuah studio.

“Tidak ramai yang minat dalam bidang jahitan sementelah ia memerlukan komitmen yang tinggi jika ingin serius dalam bidang ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abby tidak menolak harga sebuah beg yang dijual agak mahal, namun bagi mereka yang menghargai hasil seni kreatif tangan, ia dianggap berbaloi berikutan kualiti dan hasil terbaik yang diberikan.