Walaupun aksi tersebut dilakukannya sejak satu jam yang lalu, namun Farnworth langsung tidak menunjukkan tanda-tanda letih ataupun mahu berehat.

Biarpun pada waktu itu cuaca sejuk di sekitar Gunung Everest di Banjaran Himalaya sedikit mengganggu konsentrasinya, namun Farnworth langsung tidak mengendahkan keadaan itu.

Semuanya dilakukan demi mencipta rekod baharu iaitu mendaki Gunung Everest sambil melakukan timbangan bola pada satu masa yang sama.

Ternyata, usaha yang dilakukan oleh Farnworth tidak sia-sia apabila dia akhirnya berjaya tiba pada ketinggian 6,000 meter dari aras laut pada 11 Mac lalu.

“Saya sendiri tidak percaya mampu melakukan aksi timbang bola sambil mendaki Gunung Eve­rest.

“Ketika tiba pada ketinggian 6,000 meter, saya tiba-tiba menangis kerana terlalu terharu,” jelasnya memulakan bicara.

Menurut Farnworth, biarpun sebelum ini dia mendakwa mahu mencipta rekod baharu dalam sukan bola sepak, namun sebenarnya misi utama pendakian tersebut adalah untuk mendedikasikan usaha itu terhadap mendiang datuknya yang meninggal dunia akibat penyakit Alzheimer awal tahun lalu.

Inspirasi

“Datuk merupakan inspirasi utama yang mendorong saya mendaki gunung ini sambil menimbang bola.

“Dahulu, datuk pernah menanam impian untuk bermain bola di atas Gunung Everest tetapi hasratnya itu tidak kesampaian.

“Justeru sebagai cucu yang me­rupakan pemain bola, saya mengambil kesempatan tersebut untuk menukar impiannya menjadi realiti,” jelasnya.

Menurut Farnworth, bagi mencipta rekod tersebut, dia mengambil masa selama enam bulan untuk melakukan persiapan.

“Sepanjang tempoh tersebut, saya melakukan pelbagai jenis latihan baik dari segi timbangan bola mahupun pendakian gunung di sekitar United Kingdom.

“Biarpun begitu, saya akui latihan yang dilakukan tidak sama de­ngan pendakian sebenar,” jelasnya.

Menceritakan lebih lanjut me­ngenai kejayaan misi tersebut, Farnworth berkata, dia mengambil masa selama 10 hari untuk tiba pada ketinggian 6,000 meter.

“Setiap hari, saya hanya menggunakan 10 jam masa yang ada untuk membuat pendakian sambil menimbang bola. Baki waktu yang lain, saya gunakan untuk berehat, makan dan tidur.

“Sebenarnya, sasaran awal saya hanyalah untuk mendaki sehingga ke Base Camp Gunung Everest dan itu sahaja.

“Bagaimanapun, siapa sangka, saya mampu mendaki lebih daripada sasaran awal dan menamatkan misi tersebut pada ketinggian 6,000 meter iaitu kira-kira 500 meter lebih tinggi daripada Base Camp,” jelasnya.

Kurang oksigen

Ternyata, bukan mudah bagi Farnworth untuk tiba pada ketinggian 6,000 meter.

Selain struktur jalan dan kekurangan oksigen, cuaca sejuk di kawasan tersebut membuatkan dirinya hampir berputus asa dan ingin menamatkan misi lebih awal.

“Ketika berada pada ketinggian 4,000 meter, badan saya menjadi letih dan banyak waktu digunakan untuk tidur.

“Saya juga mengambil tempoh yang panjang untuk mendaki pada dua hari terakhir. Sehingga ke satu tahap, saya mengambil keputusan untuk menamatkan sahaja misi tersebut,” jelasnya.

Bagaimanapun, sebaik teringatkan mendiang datuknya, Farnworth bangkit meneruskan misi tersebut sehingga tiba pada ketinggian 6,000 meter.

“Saya bangga apabila berjaya menyempurnakan misi ini.

“Secara tidak langsung, saya berjaya tunjukkan kepada dunia bahawa sukan bola sepak juga boleh dimainkan di mana-mana sahaja,” ceritanya.

Lelaki yang berasal dari Longridge, United Kingdom, John Farnworth cabar diri daki Gunung Everest sehingga 6,000 meter sambil menimbang sebiji bola demi meralisasikan impian mendiang datuknya bermain bola di gunung tersebut.