Sebagai sekolah terkemuka dan tertua di daerah itu, ia menjadi tumpuan pelajar daripada setiap golongan serta peringkat.

Sepanjang 100 tahun beroperasi, TMS berjaya melahirkan ramai individu cemerlang dalam pelbagai bidang antaranya, ahli perniagaan, tokoh politik, cendekiawan dan ahli akademik yang berbakti kepada negara.

Seorang bekas pelajar, Abd. Hadi Kudin, 42, mengakui, banyak momen indah dilakar ketika menuntut di sekolah itu pada 1989 hingga 1993.

“Banyak ilmu yang diperoleh sepanjang empat tahun belajar di sekolah itu. Semua kenangan itu masih kekal dalam ingatan saya.

“Nostalgia tinggal di asrama adalah satu pengalaman yang cukup manis. Meskipun terpaksa melalui minggu orientasi yang mencabar fizikal dan mental, akhirnya kami seperti adik-beradik.

“Hubungan pelajar-pelajar senior dan junior menjadi lebih erat terutamanya selepas bersama-sama menjayakan aktiviti sukan seperti bola sepak.

“Apa yang lebih membanggakan kami ialah pelajar TMS dikenali dan dihormati pelajar-pelajar sekolah lain di sekitar daerah Kuala Pilah,” katanya yang ketika ini sedang melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.

Abd. Hadi antara individu yang bergiat aktif di bawah persatuan bekas pelajar atau alumni batch 1991 yang dikenali sebagai D’Legend 91 di bawah pimpinan Raja Zuhari Raja Idris, 42.

Raja Zuhari berkata, mereka mengambil masa lebih daripada lima tahun untuk mengumpul bekas-bekas pelajar.

Menggunakan medium media sosial seperti Facebook, WeChat dan sumber-sumber lain, mereka kini berjaya mengesan lebih 100 ahli selepas bermula hanya dengan lima orang pada 2010.

Pada asalnya, kumpulan ini diwujudkan untuk mengumpul bekas-bekas pelajar TMS tidak kira kelompok sempena sambutan 100 tahun TMS yang dijadualkan pada 2014.

Idea

“Idea penubuhan kumpulan ini bermula pada pertengahan tahun 2014 menggunakan nama D’Legend TMS. Nama itu dipilih sendiri oleh ahli jawatankuasa yang dilantik setelah meneliti nama-nama yang dicadangkan.

“Oleh kerana terdapat ramai legenda TMS dalam kumpulan ini, maka nama D’Legend dipilih sebulat suara untuk digunakan,” katanya.

Bagaimanapun, kumpulan itu ditukar nama kepada D’Legend 91 dan dikhaskan kepada bekas pelajar batch 1987-1991 berkuat kuasa pada 1 Januari 2015 selepas kurang mendapat sambutan.

Antara aktiviti yang diadakan ialah menganjurkan acara sukan bola sepak, badminton dan sepak takraw tiga penjuru bersama bekas pelajar, murid serta guru pada November 2014.

D’Legend 91 yang bergerak sendiri pada awal 2015 melakukan beberapa lagi aktiviti seperti majlis tahlil dan doa selamat setelah 25 tahun terpisah serta mengenang beberapa orang rakan bekas pelajar batch 91 yang telah kembali ke rahmatullah.

Pada majlis pertemuan semula (reunion) itu, D’Legend 91 turut melancarkan Tabung Khairat D’Legend 91 untuk membantu bekas pelajar atau ahli keluarga yang memerlukan.

Mereka turut mengadakan program amal dengan melawat bekas pelajar yang sakit dan kurang bernasib baik. Selain itu, mereka juga sedang menyediakan kertas kerja untuk penubuhan Koperasi D’Legend TMS 91.

Sementara itu, Presiden Alumni TMS, Datuk Seri Hasan Malek yang juga bekas pelajar sekitar tahun 1963 berkata, beliau bersyukur dan gembira dengan usaha serta komitmen alumni, Yayasan Alumni dan setiap warga TMS yang menjayakan Majlis Pelancaran Mercu Tanda 100 Tahun TMS pada 16 April lalu.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan melancarkan mercu tanda yang dinamakan sebagai Knowledge Is Power sempena cogan kata TMS.

Ia dibina sebagai simbolik 100 tahun kecemerlangan sekolah itu dalam melahirkan pelajar-pelajar yang berjaya sejak ditubuhkan pada 1914.

Lebih istimewa, Tuanku Muhriz merupakan antara bekas pelajar yang mendapat pendidikan di TMS.

Keahlian

Bentuk mercu tanda 100 tahun itu diilhamkan oleh guru TMS, Mohammad Naquib Abd. Halim yang memperlihatkan sepasang tangan menjulang obor api melambangkan kejayaan dan kecemerlangan.

Warna biru pula merupakan simbol keharmonian dan ketenangan jiwa manakala putih membawa maksud kesucian dan kebersihan hati serta jasmani dalam kehidupan setiap warganya.

Hasan berkata, alumni TMS yang mempunyai keahlian seramai 100,000 telah menganjurkan pelbagai program sempena 100 tahun penubuhan TMS dalam usaha menjalinkan semula persahabatan dalam kalangan bekas penuntut.

“Persatuan Alumni juga menubuhkan Yayasan Alumni TMS pada 2013 bertujuan untuk mengutip dan mengumpul dana bagi membantu pihak sekolah melaksanakan aktiviti berkaitan kebajikan, pendidikan dan program pelajar serta guru.

“Sempena pelancaran mercu tanda ini, Yayasan Alumni menyeru kepada bekas pelajar TMS untuk menghulurkan sumbangan supaya lebih banyak aktiviti dapat dirancang oleh persatuan untuk manfaat bekas (pelajar) dan pelajar sedia ada,” kata Hasan selaku Ahli Parlimen Kuala Pilah yang kini menggalas tugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Kemboja. – NORZASRUDIN MOHAMED NOR