Daripada teman biasa, hubungan mereka semakin erat ekoran mempunyai minat yang sama iaitu melakukan aktiviti berlari dan berbasikal.

“Pada mulanya saya tidak mempunyai perasaan kepadanya. Apabila sering bersama ketika menyertai aktiviti larian dan berbasikal rasa sayang kepadanya hadir.

“Tambahan pula, dia pandai bermain kata-kata dan akhirnya kami menjalinkan hubungan lebih daripada teman biasa. Saya tahu itu adalah sesuatu yang salah memandangkan kami berdua mempunyai keluarga,” katanya.

Lebih memburukkan keadaan, suaminya sering bekerja di luar kawasan dan mereka masih belum dikurniakan cahaya mata menyebabkan dia berasa bosan terutamanya ketika pulang ke rumah selepas waktu bekerja.

Bagaimanapun, hubungan tersebut diketahui suami Liana apabila dia terlupa untuk memadamkan perbualan bersama teman mesranya di aplikasi WhatsApp.

“Suami saya kecewa dengan perbuatan yang dilakukan oleh saya dan dia hampir untuk melepaskan saya. Namun saya mengakui kesilapan yang dilakukan itu dan memohon maaf kepadanya untuk memberikan satu peluang kepada saya,” jelasnya.

Masalah hubungan gelap bagi mereka yang telah berkahwin dan mempunyai keluarga bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini.

Dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat, kemungkinan untuk seseorang itu berlaku curang kepada pasangannya juga amat tinggi.

Kewujudan media-media sosial membolehkan seseorang itu kembali bertemu dengan rakan-rakan ataupun kekasih lama, sekali gua ada yang menjalinkan hubungan.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan, gara-gara mengesyaki isterinya menjalinkan hubungan dengan lelaki lain, seorang buruh tergamak membelasah isterinya sehingga wanita malang berkenaan mati.

Dalam pada itu, Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Zaid Ahmad berkata, peri laku tersebut bercanggah dengan norma kehidupan masyarakat kita.

Faktor

Tegasnya, mereka yang sudah berumah tangga dan mempunyai pasangan harus mengelakkan daripada melakukan perkara sedemikian.

“Mungkin pada mulanya mereka hanya suka-suka untuk menjalinkan hubungan gelap itu. Namun ia akan bertukar menjadi satu masalah besar jika pasangan masing-masing mengetahui akan perhubungan tersebut.

“Elak daripada terjerumus dengan perhubungan tersebut. Bak kata pepatah bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi, sebaliknya hubungan gelap ini akan terjalin jika kedua-dua pihak bersetuju untuk berbuat demikian,” katanya.

Dalam pada itu, Zaid menjelaskan banyak faktor yang mendorong kepada berlakunya hubungan antara rakan sekerja atau sebagainya.

Tegasnya, interaksi setiap hari di pejabat melebihi lapan jam sehari dan banyak hal kerja dilakukan bersama kadangkala boleh memupuk rasa suka atau sayang tanpa sedar.

“Mungkin ketika bersama melakukan kerja itu, masing-masing menceritakan tentang hal masalah rumah tangga. Dari situ mungkin akan timbul bibit-bibit yang mendorong mereka untuk berlaku curang kepada pasangan apabila sering berkongsi masalah antara satu sama lain.

“Selain itu, menjadi kebiasaan untuk wanita dan lelaki untuk berpakaian cantik serta bergaya untuk ke tempat kerja berbanding ketika berada di rumah membuatkan orang lain boleh terpikat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Kesejahteraan Manusia dan Kemasyarakatan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Suzana Mohd. Hoesni berkata, perasaan cinta merupakan satu emosi positif yang patut digunakan secara betul dan ia juga boleh disalah guna.

Jelasnya, tidak dapat dinafikan rasa cinta itu boleh dipupuk apabila dua individu sering menghabiskan masa bersama.

“Perasaan cinta ini mula dari rasa suka dan apabila dua individu sering berhubung antara satu sama lain ia akan menjadi titik permulaan untuk mereka terus menjalinkan hubungan yang lebih daripada sekadar teman biasa.

“Kurang menghargai dan tidak bersyukur dengan pasangan juga menjadi punca kepada seseorang individu itu untuk berlaku curang. Mungkin pandangan matanya teman baharunya itu lebih hebat daripada pasangannya,”katanya.

Dalam pada itu, Suzana menjelaskan, perkembangan dalam teknologi terutamanya media sosial juga menjadi penyumbang kepada permasalahan ini.

“Melalui media sosial kita semua boleh mendapatkan kawan baharu. Malah kawan-kawan atau kekasih yang sudah lama terpisah juga boleh dicari melalui laman tersebut,”jelasnya.

Suzana menambah, bagi mereka yang sedang melalui situasi sedemikian perlu bermuhasabah diri dan bersyukur dengan pasangan sedia ada.

“Jika hubungan gelap ini diteruskan pelbagai kemungkinan boleh terjadi jika pasangan sah anda dapat menghidunya,” tegasnya.