Setelah beberapa minit, langit ce­rah yang dihiasi awan biru mula dipenuhi anggota payung terjun yang keluar satu persatu dari pintu pesawat-pesawat tersebut.

Semakin lama, jumlah anggota payung terjun itu semakin banyak dan memenuhi ruang angkasa di Felcra Changkat Lada.

Anggota payung terjun yang memakai baju celoreng dan lengkap bersenjata kemudian mendarat di kawasan bendang untuk menawan kawasan tersebut. Kea­daan sekeliling seakan-akan bertukar menjadi medan pertempuran yang menggemparkan penduduk kampung. 

Situasi itu adalah sebahagian daripada latihan mass drop dalam Eksesais Cope Taufan 2018 antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) dengan penglibatan bersama 10 Briged Para yang berlangsung pada 14 hingga 20 Julai lalu. 

Semasa latihan mass drop itu, sebanyak dua pesawat CN-235 dan dua pesawat Hercules C130H (Charlie) milik TUDM serta satu pesawat Hercules C-130J USAF ditugaskan untuk membawa 330 anggota tentera elit daripada 10 Briged Para yang berpengkalan di Kem Terendak, Melaka untuk dibawa ke zon gugur di Changkat Lada, Perak.

Mereka bertolak dari Pengkalan TUDM Subang, Selangor dan terbang kira-kira 40 minit sebelum melakukan penerjunan. 

Kru Panorama turut berpeluang menaiki salah sebuah pesawat dan melihat sendiri penerjunan anggota tentera dari dalam pesawat.

Operasi Sebenar 

Secara keseluruhannya, aset-aset TUDM terlibat ialah tiga pesawat Hercules C-130H, pesawat CN235 (tiga) dan helikopter Eurocopter EC725 (tiga), manakala aset USAF pula ialah dua pesawat Hercules C-130J.

Eksesais membabitkan 600 anggota dari TUDM, USAF dan Tentera Darat di zon gugur Penor dan Lepar di  Pahang serta Seberang Perak, Perak.

Pengarah Eksesais Cope Taufan, Leftenan Kolonel Syed Faisal Syed Abdul Kadir yang mengendalikan eksesais berkenaan bagi pihak TUDM, manakala pihak USAF diketuai oleh Leftenan Kolonel King Berry.

Berbeza dengan edisi 2014 yang menyaksikan kehadiran pesawat tempur F-22 Raptor dan SU-30MKM Sukhoi, eksesais dwitahunan itu pada tahun 2018 tidak me­­libatkan sebarang pesawat tempur.

Menurut Syed Faisal, Cope Taufan kali ini melibatkan latihan la­pangan yang memberi penekanan kepada operasi hantaran udara, atur gerak tentera dan keupayaan saling kendali kedua-dua pasukan selain menguji kemahiran juruterbang.

“Terdapat tiga jenis penggu­guran udara yang kita laksanakan iaitu container delivery system (CDS), heavy equipment (HE) dan large force employment (LFE).

“CDS ialah operasi penggugu­ran peralatan bantuan kurang da­ri­pada 997.9 kilogram (kg) seperti bekalan makanan, peluru tambahan dan peluru mortar.

“HE pula ialah operasi penguguran peralatan berat melebihi 997.9kg seperti kende­raan, meriam dan bot untuk operasi mencari dan menyelamat Pasukan Khas Udara (Paskau),” ujar beliau.

Jelasnya, LFE ialah operasi membawa anggota tentera untuk operasi penerjunan.

Ketiga-tiga mempunyai aspek teknikal yang berbeza seperti dimensi, standard prosedur operasi dan jenis payung yang digunakan. 

Antara kepentingan lain ialah bagi TUDM dan USAF untuk mempelajari aspek-aspek operasi daripada satu sama lain.

“Mereka (USAF) terlibat de­ngan banyak operasi sebenar, jadi TUDM boleh belajar mengenai prosedur, peralatan, teknologi dan keberkesanan pengguguran udara untuk memperbaiki kekurangan.

“USAF pula boleh belajar mengenai aspek teknikal asas seperti navigasi,” tambah beliau. 

Sebanyak 16 penerbangan sehari dilakukan sepanjang Eksesais Cope Taufan dengan mencapai 89 peratus penerbangan daripada jumlah yang dirancang. 

Valley flying 

Menceritakan pengalamannya menyertai eksesais itu, salah seorang juruterbang pesawat CN235 yang terlibat, Mejar Anuar Ahmad berkata, latihan sebegitu memberi simulasi keadaan sebenar semasa peperangan.

“Simulasi ini menggunakan peralatan dan operasi yang sebenar yang mana jalan darat sudah dikuasai musuh dan kita menghantar bekalan makanan dan perubatan kepada anggota tentera yang beroperasi di perbatasan melalui pengguguran udara. 

“Kita transit semasa penerbangan aras rendah, kira-kira 250 kaki (76.2 meter) dari paras bumi, bertujuan mengelakkan daripada dikesan radar musuh. Jadi kita terbang serendah mungkin yang
dipanggil valley flying atau penerbangan paras lembah bukit. 

“Kita juga melakukan manuver yang agak agresif untuk mengelak radar musuh,” katanya kepada kru Panorama semasa latihan Cope Taufan baru-baru ini. 

Katanya, latihan itu sedi­kit-sebanyak akan memantapkan anak-anak kapal TUDM sebagai perse­­diaan untuk menghadapi  keadaan perang sebenar.