Angka tersebut ternyata mendatangkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai terutamanya ibu bapa. Tambahan pula, gejala buli boleh mengakibatkan mangsa mengalami tekanan dan depresi.

Lebih parah apabila gejala buli boleh membawa kepada kes bunuh diri.

Atas dasar itu, sekumpulan pelajar Sekolah Rendah Islam Hira yang terletak di Klang, Selangor mengambil inisiatif untuk menghasilkan sistem antibuli dikenali sebagai Sistem Notifikasi Antibuli bagi mengelakkan gejala tersebut daripada terus berleluasa dalam kalangan pelajar.

Apa yang lebih membanggakan, sistem yang dihasilkan oleh murid-murid ini membolehkan mereka merangkul Anugerah Emas dan Anugerah Persembahan Terbaik di pameran dan pertandingan Olimpiad STEM (ISTEMO) 2018 peringkat antarabangsa di Universiti Putra Malaysia selain memenangi Anugerah Emas serta Anugerah Berlian bagi projek terbaik keseluruhan di pameran dan pertandingan Smart Selangor Young Innovator Challenges (YIPS) 2018 bagi kategori sekolah rendah di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam pada tahun lalu.

Menurut seorang pelajar tahun empat sekolah tersebut, Umar Wafi Zulkafri, 10, idea untuk membangunkan sistem tersebut muncul selepas dia tidak tahan melihat adik perempuannya sering menjadi mangsa buli di sekolah.

Keadaan tersebut menyebabkan dia bersama adiknya, Iman Hasya Zulkafri, 8, dan dua rakan yang lain, Muhammad Irfan Nazrin Mohd. Nizar, 12, serta Muhammad Waseem Zainol, 12, tekad mencipta sistem tersebut bagi membolehkan guru sentiasa peka dan segera ke tempat kejadian sekiranya terjadi kejadian buli.

“Saya tidak sanggup melihat adik sering menangis apabila dibuli rakan sebaya.

“Saya sedar mereka ini tidak memikirkan kesan buruk daripada perbuatan tersebut terhadap pembuli dan mangsa buli.

“Daripada situ, ibu dan ayah menyarankan saya untuk mencipta satu sistem yang boleh mengelakkan kejadian buli. Ia kemudian membawa kepada alat penggera ini,” jelasnya .

Dua butang

Menceritakan lebih lanjut, menurut Umar lagi, mereka mengambil masa lebih satu bulan untuk menyiapkan keseluruhan sistem tersebut.

“Biarpun idea asal untuk membangunkan sistem ini datang daripada saya, namun ia banyak dibantu oleh ibu, ayah dan guru penyelaras program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik kami, Muhammad Fadhil Mahmud Fakri.

“Mereka banyak membantu kami memahami dengan lebih mendalam tentang komponen yang diperlukan, selain fungsi-fungsinya.

“Sistem ini dihasilkan dengan menggunakan komponen-komponen elektronik asas yang boleh didapati di pasaran pada kos yang berpatutan,” jelasnya.

Sementara itu, menurut salah seorang murid, Muhammad Waseem Zainol, 12, Sistem Notifikasi Antibuli yang mempunyai dua butang itu sesuai ditempatkan di sekitar sekolah dan kawasan-kawasan sunyi termasuk di dalam kelas dan tandas.

“Sistem ini mempunyai dua butang yang mana, satu butang dikhaskan untuk kes-kes buli, manakala satu lagi bagi tujuan kecemasan.

“Menerusi butang-butang tersebut, pelajar boleh mendapatkan bantuan dengan mudah dan segera,” jelasnya.

Menceritakan dengan lebih lanjut mengenai cara sistem tersebut berfungsi, menurut Muhammad Wassem lagi, apabila berlakunya kejadian buli, pelajar yang berada di kawasan kejadian akan menekan butang tertera.

Sebaik butang ditekan, sistem penggera akan berbunyi dan satu notifikasi akan dihantar terus ke bilik guru dan telefon bimbit untuk tujuan pemakluman. Menerusi sistem notifikasi itu juga, lokasi kawasan antibuli akan dinyatakan secara spesifik untuk tindakan lanjut oleh guru bertugas.

Menceritakan lebih lanjut mengenai sistem tersebut, menurut salah seorang murid, Muhammad Irfan Nizar, 12, sebelum sistem itu dibangunkan, dia membuat kajian dan rujukan di internet mengenai kes-kes buli.

“Menerusi pembacaan di internet, saya sedar kes buli dalam kalangan murid dan pelajar sekolah hari ini begitu berleluasa.

“Amat memeranjatkan apabila kajian yang dilakukan mendapati, sebanyak 3,011 kes buli dilaporkan pada 2015 dan jumlah kes meningkat sehingga 3,488 kes pada 2016.

“Biarpun statistik menunjukkan penurunan kepada 1,795 kes pada tahun 2017, namun angka tersebut masih lagi membimbangkan,” jelasnya.

Ujar Muhammad Irfan lagi, justeru menerusi sistem yang dibangunkan oleh mereka, ia sekurang-kurangnya berjaya mengurangkan kes buli di sekolah.

Pendidikan STEM

Sementara itu menurut gurunya, Muhammad Fadhil, biarpun sistem ini pada awalnya dibangunkan untuk memberi pendedahan dan mengembangkan potensi pelajar terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain memperkenalkan mereka kepada teknologi revolusi industri 4.0 iaitu Internet of Things (IoT), namun, pihaknya menerima permintaan daripada beberapa buah institusi pendidikan seperti tadika dan sekolah rendah yang berminat dengan sistem tersebut.

“Sebenarnya, sistem ini wujud hasil pendedahan awal, pembelajaran dan praktikal tentang pengaturcaraan asas mikro-pengawal yang kini menjadi salah satu silibus pelajaran tingkatan 2. Melalui kaedah ini jugalah terhasilnya pengalaman yang bermakna sebagai modaliti kepada pelajar untuk terus meminati bidang STEM

“Biarpun masih kecil, namun saya berbangga dengan keupayaan mereka untuk membangunkan sistem yang masih belum difikirkan oleh kebanyakan individu iaitu untuk merealisasikan idea ini ke dalam bentuk yang nyata.

“Justeru, ini merupakan sistem pertama yang dibangunkan di negara ini.

“Insya-Allah, ini yang kita mahukan, kerana pelajar-pelajar ini kini mula berfikir untuk memberi khidmat bakti kepada komuniti di sekolah dan masyarakat,” jelasnya.

Menurut Muhammad Fadzil lagi, biarpun sistem tersebut kini dipasang di sekolah berkenaan, namun ia masih di peringkat ujian dan perlukan penambahbaikan dari segi sistem simpanan bekalan kuasa, reka bentuk dan sistem simpanan data.

Peningkatan kes buli di sekolah saban tahun menyebabkan sekumpulan pelajar Sekolah Rendah Islam Hira, Klang Selangor bangunkan Sistem Notifikasi Antibuli menggunakan Internet of Things (IoT) dengan bantuan guru dan ibu bapa.