“Ini kena dijaga betul-betul. Ini bukti kemerdekaan negara. Ia ibarat ‘sijil’ kemerdekaan negara dan tidak ada galang gantinya,” kata Timbalan Ketua Pengarah Sektor Penyelidikan dan Pengembangan Arkib Negara Malaysia, Yatimah Rimun kepada K2 sambil menunjukkan hamparan watikah yang tersimpan di dalam peti tersebut di Arkib Negara Malaysia baru-baru ini.

Jelasnya, Watikah Pemasyhuran Kemerdekaan negara ini hanya terdapat dalam dua versi iaitu versi bahasa Melayu bertulisan jawi dan versi bahasa Inggeris. Tiada tulisan bahasa Melayu rumi, sekali gus mengingatkan kita bahawa semasa negara mencapai kemerdekaan tulisan jawilah yang banyak mewarnai dan menunjangi hari bersejarah itu.

“Banyak dokumen semasa kemerdekaan dalam tulisan jawi. Surat jemputan mohon perkenan sultan-sultan untuk menghadiri upacara kemerdekaan negara juga dalam tulisan jawi. Kalau kita perhati pada watikah versi jawi ini, tandatangan Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj juga dalam tulisan jawi,” ujarnya.

Penulis terkesima apabila menyaksikan watikah itu yang selama ini hanya dilihat di dalam internet. Apa tidaknya, di depan mata adalah watikah asli sebagai bukti bertulis kemerdekaan negara pada 62 tahun lalu.

Watikah tersebut berukuran 50 sentimeter (sm) lebar dan 73sm panjang yang diperbuat daripada kulit kambing.

Meluas

Yatimah kemudian menunjukkan pula dokumen-dokumen berkaitan kemerdekaan yang lain termasuk skrip asal bacaan doa kemerdekaan, majalah Malaya Merdeka yang diterbitkan sempena kemerdekaan dan laporan akhbar Utusan Melayu yang semuanya bertulisan jawi.

“Bukan sahaja dokumen berkaitan kemerdekaan, kebanyakan manuskrip lama juga memang dalam tulisan jawi,” ujarnya.

Sejarawan terkenal, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam menjelaskan, Watikah Pemasyhuran Kemerdekaan itu ditulis dalam tulisan jawi sebagai menunjukkan kelangsungan daripada tradisi kerajaan awal Melayu apabila fail-fail pentadbiran negeri-negeri di Tanah Melayu semuanya ditulis dengan tulisan jawi.

“Tulisan jawi begitu penting dan masih dipraktikkan secara meluas semasa kemerdekaan. Ia adalah tulisan asal bagi bahasa Melayu yang telah digunakan berkurun-kurun di seluruh Kepulauan Melayu dari Lautan Pasifik ke Atlantik selaras dengan era perkembangan Islam di rantau ini.

“Jika di Melaka misalnya, tulisan ini berkembang selaras dengan perkembangan Islam pada tahun 1414 di situ, manakala di Terengganu ia telah digunakan lebih awal lagi dengan penemuan Batu Bersurat bertulisan jawi pada 1303.

“Tulisan rumi bahasa Melayu hanya diperkenalkan setelah kedatangan penjajah iaitu British ke negara ini iaitu oleh RJ Wilkinson pada 1905. Sejak itu tulisan jawi yang merupakan tulisan teras tamadun Melayu semakin terancam. Semasa kemerdekaan, jawi masih lagi digunakan secara meluas sehingga mula pudar penggunaannya bermula 1960-an,” katanya.

Penjajahan minda

Tegas Ramlah, tulisan jawi ialah tulisan asal bagi bahasa Melayu yang semakin hilang ekoran strategi penjajah British yang mahu memisahkan orang Melayu daripada tamadunnya.

“Sebelum jawi, bahasa Melayu menggunakan tulisan palava tetapi ia terlalu lama sehinggalah kedatangan Islam apabila orang Melayu mengambil pengaruh Arab untuk membentuk penulisannya yang digunakan begitu meluas dalam kehidupan.

“Bahasa Melayu bukan bahasa orang Melayu, ia bahasa antarabangsa. Di seluruh dunia yang bertuturkan bahasa Melayu pula, jawilah tulisannya. Orang Cina, India atau orang dari pelosok mana pun yang berdagang ke Kepulauan Melayu mempelajari bahasa Melayu dengan tulisan jawi. Penjajah, Francis Light dan Stamford Raffles juga tahu membaca jawi.

“Sebab itu, jika anda pergi ke Lisbon, Portugal atau London, Britain, dokumen-dokumen dan hikayat-hikayat bahasa Melayu yang masih tersimpan di sana semuanya dalam tulisan jawi,” katanya.

Ramlah berkata, penjajahan British telah menyebabkan tulisan jawi dianggap sebagai tulisan berkaitan agama apabila mereka memperkenalkan rumi dan hanya meneruskan jawi di sekolah-sekolah agama, madrasah dan pondok.

“Akibatnya, ramai antara kita sehingga hari ini mengaitkan jawi dengan agama walhal itulah tulisan asal bagi bahasa Melayu sebelum rumi diperkenalkan British. Ini cara British memaksa kita meninggalkan tamadun bangsa kita yang pernah gemilang memainkan peranan besar di dunia.

“Ia satu bentuk penjajahan minda, justeru hari ini, mencintai atau menghidupkan jawi juga merupakan salah satu cara untuk kita memerdekakan diri daripada belenggu penjajahan dengan mengembalikan jati diri. Ini bukan kupasan politik, sebaliknya ilmu berteraskan fakta,” katanya.

Ramlah berkata, semua rakyat di negara ini perlu mengetahui tulisan jawi kerana hanya dengan mengetahuinya kita dapat mengkaji sejarah negara ini.

“Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan negara ini, justeru semua orang perlu mempelajarinya termasuk mempelajari jawi yang merupakan tulisan asalnya. Bagaimana anda ingin mengkaji sejarah bangsa Malaysia jika tidak tahu jawi?” soalnya.

Seorang pejuang seni khat jawi, Muhammad Anis Ab. Ghani yang perkongsiannya tular baru-baru ini apabila memuat naik status tulisan khat jawi nukilan para pelajar bukan Melayu yang berpendapat, khat tulisan jawi itu merupakan suatu seni universal.

Muhammad Anis, 40, yang merupakan tenaga pengajar sambilan kokurikulum bagi kelas kaligrafi seni khat Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang sejak 2012 memberitahu, kumpulan pertama bukan Melayu yang menyertainya ialah lima orang pelajar Cina dari China.

“Mula-mula saya terkejut dan tidak menjangkanya, tetapi saya fikir ia sebagai satu cabaran memandangkan mereka menunjukkan minat untuk mengikutinya. Lagipun, saya berasal dari Machang, Kelantan dan kenal ada orang-orang tua Cina yang boleh menulis jawi.

“Dari tahun ke tahun saya lihat ada pertambahan penglibatan orang bukan Melayu melibatkan pelajar Cina dari Malaysia. Tahun ini paling ramai dengan 10 pelajar,” katanya sambil memberitahu tidak menggunakan penulisan ayat al-Quran dalam pengajarannya, sebaliknya kata-kata bahasa Melayu seperti peribahasa dan kata-kata hikmat.

Tambahnya, khat ialah satu cabang seni yang juga khazanah seni Malaysia, justeru siapa sahaja boleh mempelajarinya.

Semasa negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, tulisan jawi gah menghiasi hari bersejarah itu termasuk pada dokumen paling penting yang menjadi bukti bertulis kemerdekaan negara iaitu Watikah Pemasyhuran Kemerdekaan.