Boleh dikatakan seluruh kehidupannya dari kecil sehingga dewasa sudah sebati, saling berkait sangat rapat dengan kereta api.

Malah, selepas memiliki keluarga sendiri dan menetap di Kuala Lumpur, dia tetap akan memilih kereta api sebagai pengangkutan setiap kali mahu pulang ke kampung ibunya di Ipoh, Perak.

Bukan tiada pilihan untuk menaiki jenis pengangkutan lain.

Mungkin aneh bagi orang lain yang mahu cepat sampai ke setiap destinasi tetapi Zolkifli Ahmad, 64, sebaliknya mengakui, jika menaiki bas atau kereta, waktu perjalanan yang ditempuh lebih singkat berbanding kereta api.

Bagi Zolkifli atau lebih mesra disapa Zol, sukar hendak digambarkan dengan kata-kata betapa dirinya begitu obses dengan kereta api sejak daripada kecil sehinggalah selepas bergelar datuk kepada lima orang cucu.

Ini kerana cukup dengan mendengar bunyi roda kereta api, itu sahaja sudah membuatkan dirinya berasa begitu teruja dan gembira.

Peluang kru Panorama berkunjung ke rumah milik arwah ibunya yang terletak di flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Setapak, Kuala Lumpur yang kini dijadikan bengkel membaiki kereta api miniatur membuka pelbagai kisah menarik bekas jurutera Malaysia Airlines (MAS) itu.

Kenangan

Sudah suratan takdir, biarpun sangat obses dengan kereta api tetapi Zol sebaliknya telah mengabdikan dirinya selama 36 tahun berkhidmat dengan syarikat penerbangan nasional itu sejak tahun 1976.

Namun, ia tidak sedikit pun memudarkan minatnya terhadap kereta api, apatah lagi apabila ia dijadikan hobinya yang melibatkan pelaburan mencecah ribuan ringgit.

Bahkan selepas bersara pada 2013, dia semakin galak menumpukan perhatian terhadap minatnya itu di samping menjadi tukang baiki kereta api miniatur elektrik.

Mengimbas kembali kenangan lebih 50 tahun lalu, Zol memberitahu, setiap kali selepas menaiki kereta api semasa kecil untuk pulang ke kampung neneknya, arwah ibunya pasti akan mengelap mukanya menggunakan kain kecil sebaik sahaja turun daripada kenderaan terbabit.

“Ibu berbuat demikian kerana ingin membersihkan muka daripada jelaga asap kereta api kerana pada waktu itu perkhidmatan kereta api masih menggunakan kuasa arang batu,” ujarnya yang membesar di Kampung Baru, Kuala Lumpur itu.

Selepas menamatkan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP)di Sekolah Menengah Jalan Temerloh, Kuala Lumpur, Zol melanjutkan pelajarannya di Sekolah Vokasional di Setapak dalam bidang Radio TV (elektronik).

Di situlah segala ilmu dan pengalaman ditimba sehingga dia bergelar seorang jurutera kapal terbang bersama MAS. Ada cerita di sebaliknya.

Sebenarnya, Zol bercita-cita mahu menjadi pemandu kereta api tetapi ternyata takdir telah menentukan rezeki untuk kerjayanya adalah sebagai jurutera di MAS.

Bukan dia tidak cuba untuk meluangkan masa dengan hobi selain daripada kereta api.

Ketika masih dalam kerjaya sebagai jurutera kapal terbang, Zol pernah berjinak-jinak dengan permainan kereta kawalan jauh, motobot dan kapal terbang kawalan menggunakan kuasa bateri atau minyak.

Malah, dia juga telah mengumpul berpuluh-puluh koleksi permainan elektronik tersebut sejak sekitar penghujung tahun 1970-an.

Serupa kapal terbang

Namun, Zol terfikir bahawa kesemua permainan tersebut hanya boleh dimainkan di luar rumah, berbeza dengan kereta api yang tidak memerlukan kawasan khas.

“Daripada situ, saya berpendapat bahawa kereta api mempunyai keistimewaan kerana masih boleh dimainkan di dalam rumah ketika hujan,” ujarnya yang menganggap kereta api memiliki bentuk dan pergerakan menarik seperti lipan.

Kerjaya sebagai seorang jurutera juga telah membawa dia untuk menjejakkan kaki ke beberapa buah negara di seluruh dunia.

Menurut Zol, kebanyakan koleksi kereta api miniatur yang dimilikinya adalah produk buatan Jerman kerana ia menghasilkan bunyi dan pergerakan mirip kereta api sebenar.

Sejak itu, sedikit demi sedikit dia mula mengumpul koleksi kereta api miniatur sehingga jumlahnya kini mencecah ribuan buah.

Obsesi lelaki itu terhadap kereta api semakin bertambah apabila dia mendapati, sistem enjin pada kereta api dilihat lebih kurang sama dengan sistem enjin pada kapal terbang.

“Jadi, apabila berlaku kerosakan pada sistem pendawaian pada koleksi kereta api sendiri, saya cuba untuk membaikinya dan berjaya,” katanya.

Tidak akan berhenti

Dengan kemahiran yang dimiliki, maka tidak hairanlah terdapat beberapa pihak terutama dalam kalangan pengumpul lokomotif akan meminta bantuannya untuk membaiki kerosakan pada koleksi mereka.

Bahkan, terdapat peniaga yang menjual kereta api miniatur juga akan menghubungi Zol jika hendak melakukan sebarang pengubahsuaian seperti menukar fungsi kereta api daripada analog kepada digital.

Bayaran upah yang dikenakan juga tidak terlalu mahal sehingga mencecah ratusan ringgit bergantung pada kerosakan yang dibaiki dan bahan gantian yang digunakan.

“Saya hanya mengambil bayaran bermula serendah RM30 dan ke atas kerana ingin membantu dan memanfaatkan kemahiran yang dimiliki untuk pencinta kereta api miniatur lain,” kata Zol.

Mengakui aktiviti bermain kereta api miniatur merupakan suatu hobi yang mahal, ibarat kata pepatah alah membeli menang memakai, kereta api miniatur yang dibeli dengan harga yang tinggi sehingga mencecah ribuan ringgit itu mampu untuk bertahan sehingga berpuluh tahun jika ia dijaga dan diselenggara dengan baik.

Dalam nasihat yang dikongsikan, Zol mengingatkan pengumpul kereta api miniatur untuk selalu menggerakkan lokomotif mereka supaya enjinnya tidak tersangkut kerana ia boleh menyebabkan berlaku kerosakan.

Dalam meniti usia senja, Zol tidak mempunyai perancangan untuk berhenti daripada meluangkan masa dengan hobinya itu yang dianggap sebati dalam dirinya sehingga dia menutup mata.

“Anak-anak juga ada yang berminat mengumpul miniatur tetapi bukan kereta api seperti saya,” ujar Zol yang gemar mengelilingi Kuala Lumpur dengan menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) jika ada masa terluang.

Bagi pencinta kereta api miniatur lain yang ingin mendapatkan pandangan dan berkongsi pendapat dengan Zol yang turut di gelar Master dalam kalangan rakan-rakan boleh menghubunginya di talian 011-1035 0512.

Kecintaan terhadap kereta api tidak pernah luntur biarpun dia telah ditakdirkan untuk mengabdikan dirinya selama 36 tahun sebagai jurutera kapal terbang.