Bibit cinta pasangan diraja itu mula mekar ketika mereka bertemu dalam satu kejohanan tenis musim panas pada tahun 1957 yang digelar sebagai ‘perlawanan cinta’.

Pada ketika itu, Michiko telah dipelawa untuk bermain menentang Akihito yang pada masa itu merupakan Putera Mahkota.

Kekalahan Akihito dalam perlawanan tenis di tangan gadis jelita itu membuatkan hidup si putera tidak keruan kerana sudah dilamun cinta.

Michiko merupakan anak gadis sulung pasangan Hidesabuto Shoda dan Fumiko Soejima.

Michiko bukan berdarah keturunan diraja, namun dilahirkan dalam keluarga kaya dan berpendidikan tinggi.

Sejak kecil, ibu bapanya membentuk Michiko menjadi golongan sosialit dan belajar di sekolah Inggeris aliran Kristian.

Michiko berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Kesusasteraan Inggeris di University of the Sacred Heart, Tokyo, Jepun.

Ekoran sentiasa bergaul dengan golongan atasan, Michiko sering ke Villa Karuizawa di Nagano untuk belajar bermain tenis dan di situlah menjadi titik pertemuan cinta dua darjat itu.

Pewaris takhta

Yakin dengan cintanya, Maharaja Akihito telah mengahwini Michiko pada 10 April 1959.

Ia sekali gus mencipta sejarah apabila Michiko menjadi rakyat biasa pertama mengahwini kerabat diraja Jepun yang juga merupakan pewaris takhta negara itu.

Sementara itu, Dr. Shinzo Koizumi yang menjadi tutor Akihito pada masa itu turut mengulas perkahwinan tersebut dengan menyifatkan Putera Mahkota bukan sahaja telah memilih puterinya tetapi juga seluruh rakyat Jepun.

“Putera Mahkota memilihnya dan begitulah juga kita semua,” kata Koizumi yang menandakan pilihan Akihito itu direstui rakyat.

Lebih 500,000 orang membanjiri jalan untuk meraikan hari bersejarah itu dengan pasangan tersebut diarak menaiki kereta kuda.

Walaupun perkahwinan itu melanggar peraturan tradisi keluarga imperial Jepun sejak berabad lamanya tetapi ia dianggap sebagai hari bahagia dalam sejarah selepas perang di Jepun.

“Memecahkan tradisi di Jepun adalah perkara yang sangat sukar,” kata Kazuo Oda yang merupakan rakan sepermainan tenis pasangan diraja itu.

Perkara itu diakui oleh Michiko yang memberitahu, hidup sebagai Puteri Mahkota dan kemudian Maharani bukan satu yang mudah bagi dirinya.

Bagaimanapun, Michiko yang dilahirkan dalam keluarga elit berjaya menyesuaikan diri dengan adat istiadat dan protokol keluarga diraja yang akhirnya menjadi kesayangan rakyat Jepun.

Michiko memenangi hati dan jiwa orang Jepun dengan gaya hidup yang sederhana.

Pasangan itu menyambut ulang tahun perkahwinan ke-60 pada 10 April lalu dengan pelbagai acara menarik yang dihadiri kira-kira 1,800 tetamu di Istana Diraja di Tokyo.

Pasangan diraja itu turut dihiburkan dengan lagu yang digubah berdasarkan hasil nukilan puisi Maharaja Akihito dan Maharani Michiko.

“60 tahun lalu, saya menikahinya dan mengikat kepercayaan yang mendalam serta menjadi teman sepanjang perjalanan sehingga ke hari ini.

“Saya sangat berterima kasih kepada permaisuri yang memilih perjalanan ini dan setia berkhidmat dengan keluarga diraja serta rakyat Jepun,” ucap Akihito dengan penuh emosi.

Mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Putera Mahkota Naruhito, 59; Putera Akishino, 53, dan Puteri Sayako, 49.

Perpaduan

Akihito sering melahirkan penghargaan terhadap Michiko dan ketika ulang tahun perkahwinan ke-50 sedekad lalu, baginda mengakui bukan sentiasa dapat ‘bertimbang rasa’ terhadap Michiko disebabkan latar belakang mereka yang berbeza.

Akihito dan Michiko memecah tradisi terutamanya dalam cara membesarkan anak-anak mereka, bercakap lebih kerap di hadapan orang ramai serta membantu mangsa perang di dalam dan luar negara.

Michiko memilih membesarkan ketiga-tiga anak mereka sendiri termasuk menyediakan bekalan makan tengah hari walaupun mengikut tradisi diraja, permaisuri atau Maharani tidak dibenarkan berada di dapur.

Mengikut tradisi, anak raja dibesarkan jururawat dan pengasuh diraja sebaliknya permaisuri menunjukkan pengabadian yang hebat dengan membesarkan tiga anaknya dengan kasih sayang yang mendalam.

Akihito menaiki takhta bagi menggantikan bapanya, Hirohito yang meninggal dunia pada tahun 1989. Hirohito yang merupakan Maharaja Jepun ke-124 dan merupakan maharaja paling lama memerintah Jepun iaitu 64 tahun.

Sejak menaiki takhta, Akihito dan Michiko telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik dan menjadi lambang perpaduan negara.

Mereka juga berjaya merapatkan jurang antara keluarga diraja dan rakyat.

Tidak seperti pemerintah terdahulu, Akihito dan Michiko akan bercakap lebih dekat dengan mangsa bencana alam di pusat pemindahan.

Kedua-duanya banyak mengubah sistem monarki Jepun yang berusia 1,500 tahun.

Interaksi mesra pasangan romantis itu telah memenangi hati rakyat Jepun.

Sepanjang memerintah Jepun, Maharaja Akihito dan Maharani Michiko telah mengadakan lawatan diraja secara rasmi di 36 buah negara.

Pasangan diraja Jepun itu juga telah melawat kesemua 47 buah bandar dan wilayah termasuk kawasan pedalaman sehingga pulau-pulau terpencil di Jepun.

Jejak diikuti

Bercakap dalam satu temu bual, Michiko berkata, baginda sentiasa mendapatkan nasihat daripada Maharaja Akihito dalam setiap perkara.

“Saya sangat berterima kasih atas nasihat Maharaja dan ia sangat berguna,” tuturnya.

Di istana, Maharaja dan Maharani menjadi tuan rumah kepada beratus-ratus upacara, pesta teh dan mesyuarat sepanjang tahun.

Mereka berpeluang bertemu dengan ramai orang daripada semua lapisan masyarakat termasuk pegawai kerajaan, pemimpin tempatan, ahli perniagaan, petani, nelayan, pegawai sosial dan artis.

Akihito dan Michiko juga aktif mengambil bahagian dalam aktiviti sosial untuk melindungi alam sekitar, menolong orang miskin dan menjalankan aktiviti kebajikan untuk kanak-kanak, warga emas serta orang kelainan upaya di seluruh Jepun.

Merpati dua sejoli itu selalu bangun awal pagi untuk berjalan-jalan di hutan dan taman diraja bagi menyaksikan perubahan musim dan mendampingi alam.

Pada hujung minggu pula, mereka meluangkan masa lapang untuk bermain tenis yang merupakan permainan kegemaran pasangan diraja itu.

Menariknya, mengikuti jejak langkah pasangan itu, Putera Mahkota Naruhito dan Putera Akishino juga telah berkahwin dengan rakyat biasa.

Begitu juga dengan Puteri Sayako yang telah kehilangan status puteri kerana berkahwin dengan lelaki bukan berdarah raja.

Melihatkan kepada cinta dan kasih sayang ayahanda serta bonda, menyebabkan mereka juga memilih perkahwinan berdasarkan rasa cinta, bukan darah dan darjat.

Anakanda sulungnya, Putera Mahkota Naruhito bakal menaiki takhta pada 1 Mei ini menggantikan ayahandanya.

Kisah cinta mereka berdua ternyata menjadi inspirasi buat rakyat Jepun yang tidak pudar oleh masa, malah menjadi kisah cinta ala ‘dongeng’ paling indah pada zaman moden.

Bagai kisah cinta dongeng di alam realiti, Maharaja Akihito dan Maharani Michiko yang pernah memecah tradisi diraja Jepun menerusi perkahwinan anak raja dengan rakyat biasa meraikan enam dekad perkahwinan mereka baru-baru ini.