Bagaimanapun, semua perasaan itu hilang dan ‘berbalas’ sebaik tiba di Chalet Dusun, Kampung Kuala Mu. Suhu yang nyaman dan kesejukan air sungai yang mengalir seakan melenyapkan rasa penat itu.

Lebih menyejukkan hati apabila kedatangan sesiapa saja ke lokasi itu mendapat sambutan mesra daripada kakitangan calet berkenaan.

Diuruskan oleh anak muda Orang Asli tempatan, calet yang pada awalnya hanya menyediakan tujuh pondok pada bulan Februari 2018 kini bertambah menjadi 16 buah pondok.

Salah seorang kakitangan di calet itu, Ali Pandak, 30, berkata, idea untuk membina tempat percutian di Kampung Kuala Mu itu tercetus sebaik jalan raya menuju ke kampung itu berturap sepenuhnya pada tahun 2017.

Ali yang pernah bekerja di Pasar Pudu, Kuala Lumpur selama dua tahun menambah, sebelum ini penduduk di kampung itu tidak pernah terlintas mahu menjadikan kawasan tersebut sebagai lokasi tumpuan pelancong walaupun pernah dikunjungi pendaki yang mahu ke Bukit Kapit yang terletak berhampiran.

Bagaimanapun katanya, setelah bilangan pendaki dilihat berkurangan, penduduk di kampung itu menjadikan topik berkenaan sebagai perbincangan sebelum timbul idea untuk membina pondok-pondok bagi membolehkan pendaki bermalam.

“Kami fikir, apabila orang mahu mendaki, mereka mesti mahu berehat dan tidur kerana untuk sampai ke kampung ini menggunakan jalan balak. Ia memakan masa yang lama.

“Kebetulan apabila kami bercadang mahu membina pondok-pondok seperti ini untuk pendaki, jalan raya ke kampung ini juga sudah berturap sepenuhnya. Ia menjadikan tempat ini semakin dikenali dan mula dikunjungi orang ramai setiap minggu terutama mereka yang datang dari Pulau Pinang dan Kedah,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

Objektif

Chalet Dusun yang diusahakan oleh masyarakat Orang Asli daripada suku Temiar di Kampung Kuala Mu dan boleh menempatkan kira-kira 50 orang dalam satu-satu masa.

Selain tinggal di pondok-pondok yang disediakan, pengunjung juga boleh memilih untuk tidur di dalam khemah atau buaian rajut yang diikat pada batang pokok.

Ali bersama dua lagi rakannya, Ari Jaafar, 33, dan Aris Karim, 34, merupakan antara generasi muda yang sama-sama terlibat aktif dalam membangunkan sektor pelancongan di kampung itu dengan menubuhkan Chalet Dusun.

Kata Aris, objektif mereka mudah. Selain mahu mempromosikan cara hidup masyarakat Orang Asli di kampung itu kepada orang luar, ia secara tidak langsung dapat menjana pendapatan buat masyarakat setempat.

“Sejak mula dibuka, kami berkongsi rezeki dengan masyarakat di sini. Kami pernah didatangi oleh beberapa individu luar yang mahu melabur dan menjadikan tempat ini semakin dikenali tetapi kami menolak secara baik kerana bimbang ia boleh memberi kesan tidak baik buat penduduk di sini.

“Pada masa ini, kami turut berkongsi rezeki dengan penduduk kampung. Misalnya, jika bulan itu kami mendapat keuntungan RM4,000, separuh daripada jumlah itu akan dibahagikan bersama semua 42 pasangan berkeluarga di kampung ini,” ujarnya.

Melihat kesungguhan anak muda kampung itu yang berusaha memajukan kehidupan masyarakat Orang Asli turut menerbitkan rasa kagum buat pengunjung calet berkenaan.

Syahmi Bazli Mat Yasin, 26, yang kali pertama tiba ke lokasi itu berkata, kesanggupan Ali bersama rakan-rakannya untuk menaikkan imej kampung itu memberikan inspirasi kepada dirinya.

“Kita biasa lihat, generasi muda akan berhijrah ke kota dan bandar-bandar besar untuk mendapatkan pekerjaan yang selesa dan lebih baik.

“Kita tidak salahkan mereka tetapi apabila melihat calet di kampung ini diuruskan oleh orang muda setempat, ia sebenarnya memberikan inspirasi buat kami,” ujarnya.

Mesra

Syahmi Bazli yang turut mencuba aktiviti menyumpit serta memancing yang disediakan di calet itu berkata, rasa seronok dan teruja itu lebih dirasai apabila dapat menginap dalam pondok beratapkan daun bertam serta berdinding dan berlantaikan buluh.

“Sambil bercuti, saya dan rakan-rakan dapat merasai kehidupan masyarakat Orang Asli dan perasaan itu bertambah seronok apabila dapat tinggal dalam pondok yang sama seperti rumah Orang Asli,” ujarnya.

Dengan layanan mesra kepada orang luar, kakitangan calet tersebut juga dilihat sentiasa bersedia memberi bantuan sekiranya ada barangan yang diperlukan pengunjung.

Perkara itu turut diakui oleh seorang lagi pengunjung yang datang dari Sungai Buloh, Selangor, Mohd. Salem Mohd. Ali, 34, apabila kakitangan calet itu membantu mencarikan petai, daun kari serta serai yang diperlukan oleh dia bersama 40 ahli kumpulannya yang mahu memasak juadah makan tengah hari pada hari itu.

“Saya datang ke sini bersama 40 ahli Kelab Permotoran dan Rekreasi Pondok D’ Rumbia dan The Pangkin dari Sungai Buloh, Selangor dan dengan bilangan yang ramai, kami bersetuju untuk memasak bagi menyediakan hidangan sepanjang penginapan di sini.

“Kakitangan di sini sangat membantu dan kami juga gembira apabila bukan sahaja dapat menikmati ikan tengas yang terdapat di sungai di kawasan ini tetapi paling utama, layanan diberikan mereka sangat memuaskan hati,” ujarnya pula.

Kegigihan anak-anak muda masyarakat Orang Asli di Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak membangunkan sektor pelancongan di kampung sendiri bukan sahaja membuatkan lokasi itu semakin dikenali ramai bahkan menjadi sumber agihan pendapatan buat penduduk Orang Asli setempat.