Ibu kepada dua cahaya mata itu lazimnya akan berkunjung ke Batas Ubi Deer Farm di Yan, Kedah yang khusus menyediakan hidangan rusa dengan bekalan daging haiwan tersebut diternak sendiri oleh pemilik premis tersebut.

“Daging rusa di sini segar kerana disembelih mengikut permintaan pelanggan. Rasanya lembut berjus dan mempunyai kelazatan tersendiri yang sukar diungkap dengan kata-kata.

“Boleh dikatakan setiap dua bulan sekali saya akan ke sana. Anak-anak turut teruja melihat cara kehidupan rusa dan tempat tinggalnya dari dekat yang tidak ubah seperti di zoo mini.

“Selain itu, selalu juga saya beli daging rusa mentah untuk dimasak di rumah. Biasanya saya perap dengan lada hitam dan panggang sahaja,” ujar anak jati Kedah itu ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Seorang lagi penggemar daging rusa, Rusman Darus berkongsi, tekstur daging rusa lebih halus berbanding lembu dan kambing.

“Bagi saya ia lebih enak jika dimasak ringkas seperti digoreng halia atau kunyit. Sudah puluhan tahun saya makan rusa sejak kanak-kanak dan menjadi antara hidangan kegemaran saya.

“Namun, apa yang lebih unik, konsep restoran dan ladang rusa seperti Batas Ubi Deer Farm jarang-jarang ditemui. Kali pertama saya ke sini ialah pada tahun lalu dengan membawa 50 kakitangan bersama ahli keluarga mereka,” tambahnya yang merupakan pengarah di sebuah syarikat konsultan seni bina.

Dibawa tidur

Bercerita lanjut, pengusaha Batas Ubi Deer Farm, Mazlan Jaafar menjelaskan, rusa peliharaannya merupakan spesies Cervus timorensis. Baka tersebut berasal dari Indonesia dan tidak memerlukan permit dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.

Bermula sebagai hobi untuk mengisi masa lapang Mazlan, 52, yang juga merupakan seorang arkitek membeli 10 ekor rusa secara online daripada penternak di Johor pada tahun 2012.

Ketika itu anak-anak rusa dijaga bagai menatang minyak yang penuh termasuk dibawa tidur di dalam rumah dan diberi minum susu kambing menggunakan botol bak si bayi.

Idea memelihara haiwan tersebut timbul apabila beliau dan isteri Asfaliza Ashaari, 43, bersama lima anak mereka berpindah ke Kampung Batas Ubi. sekitar tahun 2011.

“Pada tahun 2008, saya membeli sebidang tanah seluas dua hektar yang kini menjadi tapak rumah dan ladang kami. Ia merupakan tanah terbiar lebih 20 tahun yang ditumbuhi pokok keras seperti halban dan akasia.

“Jadi saya ambil masa kira-kira dua tahun melapangkan tanah tersebut dan merasakan ia cukup luas untuk aktiviti penternakan rusa,” imbaunya.

Kini, Batas Ubi Deer Farm mempunyai 60 ekor rusa dengan tiga ekor daripadanya ialah rusa jantan. Ini kerana nisbah yang disyorkan untuk penternakan rusa mengikut jantina ialah 1:25.

Rusa mencapai kematangan pada usia setahun hingga dua tahun. Dalam hal ini berat rusa boleh mencapai 80 hingga 120 kilogram (kg) bagi jantan, manakala 70 hingga 90kg untuk betina.

Secara peribadi beliau berpendapat rusa jenis tersebut begitu jinak, senang dijaga selain bersifat manja dan mudah didekati. Justeru, pada peringkat awal hingga kini, dirinya sendiri dengan bantuan anak-anak mampu menjaga keperluan haiwan itu.

Tanduk gugur

“Dapat membelai dan memberi makan rusa yang dilepas bebas di dalam ladang berpagar bagaikan satu terapi buat diri saya. Haiwan ini makan silaj iaitu campuran seperti jagung dan komposisi mikroorganisma efektif serta bekalan yang diperlukan ialah tiga tan sebulan.

“Aktiviti itu menjadi rutin setiap pagi usai solat Subuh sebelum saya bersiap-siap ke pejabat yang terletak di Alor Setar, Kedah. Sejujurnya sejak menternak rusa, saya berasa lebih cergas dan bersemangat,” katanya.

Berkongsi sifat unik rusa tersebut, Mazlan bercerita, pada musim mengawan, rusa jantan akan mengasah tanduknya pada pokok atau apa sahaja objek seperti tiang pagar. Bulunya akan berubah menjadi sedikit gelap dengan bulu di bahagian tengok tampak lebih kembang.

Rusa lepas

Setelah tamat tempoh mengawan antara bulan Jun dan Julai setiap tahun, tanduk rusa jantan akan gugur. Ia mengambil masa sebulan untuk tumbuh kembali dengan tempoh bunting rusa betina ialah tujuh bulan atau sekitar 210 hari.

Menurutnya, kawanan rusa juga akan menjadi tidak keruan dan gelisah jika ada ‘rakan’ rusa yang disembelih pada hari tersebut.

“Saya juga hairan kerana proses penyembelihan dilakukan di bahagian belakang ladang dan saya sekadar lalu di hadapan kandang tanpa membawa apa-apa peralatan seperti senjata dan sebagainya,” kongsinya.

Antara peristiwa yang sukar dilupakan ialah kesemua rusanya pernah terlepas dan lari ke merata ceruk kampung kerana pintu pagar utama tidak ditutup rapat dan beliau mengambil masa tiga bulan untuk menjejaki dan mengumpulkan semula ternakan itu.

Paling membekas di hatinya, pernah 15 ekor rusa bunting mati secara misteri dalam tempoh selang masa yang singkat pada tahun 2016 sehingga doktor Jabatan Veterinar Kedah datang dan melakukan bedah siasat.

Jumlah kerugian mencecah puluhan ribu ringgit kerana harga seekor rusa mampu melonjak antara RM4,000 hingga 5,000 seekor.

“Sebabnya masih tidak diketahui. Menurut mereka ia bukan simptom penyakit kuku dan mulut. Begitupun, selepas itu tiada lagi rusa mati selepas proses rawatan dan pemulihan dilakukan,” ujarnya.

Mazlan yang juga merupakan Setiausaha Persatuan Penternak Rusa Zon Utara turut memberitahu, pihak Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah banyak memberi bantuan dari segi kursus dan latihan kepada pihaknya serta ahli-ahli Persatuan Penternak Rusa Zon Utara.