Sukar ku lalui, buat ku berduka

Kenangkanlah oh semalam

Walau cinta dikunci

Janji tak ku lupa

Demikian bait-bait lagu ciptaan Iman Wan, 52, yang bertajuk Cinta Tak Berganti dinyanyikan oleh penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Siapa sangka di sebalik keindahan lirik lagu itu tersimpan kisah hitam putih kehidupan Iman sekeluarga apabila anak keduanya, Adam, 17, disahkan menghidap autisme.

Adam juga turut mengalami masalah Attention Deficit and Hyperactivity Disorder (ADHD) yang menyebabkan dia menjadi hiperaktif dan sukar mengawal diri.

“Ketika doktor mengesahkan Adam mengalami autisme saya dan isteri tidak mempunyai apa-apa perasaan kerana ketika itu maklumat tentang masalah ini tidak banyak seperti sekarang.

“Sehinggalah kami diberitahu akan keseriusan gejala ini dan ia akan berterusan seumur hidup Adam,” ceritanya ketika ditemui Kosmo! di kediaman milik keluarga itu di Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sejak kelahiran puteranya itu, Iman terpaksa berhenti kerja dalam industri muzik dan mencari pekerjaan yang membolehkannya berada sepenuh masa bersama keluarga.

Lebih mencabar membesarkan anak autisme ialah ketika mereka mengalami meltdown iaitu kondisi mengamuk.

Meltdown boleh terjadi apabila penghidap autisme berasa tidak selesa dan terganggu dengan rangsangan deria yang berlebihan atau ada gangguan pada rutin mereka.

Sewaktu meltdown mereka boleh bertindak agresif dan mencederakan diri sendiri atau orang lain.

Sukar dijangka

Mengulas mengenai keadaan Adam, Iman berkata, ekoran kombinasi autisme dan ADHD tingkah lakunya sukar dikawal apatah lagi ketika meltdown.

“Adam seorang anak yang penyayang dan suka dibelai tetapi dia tidak tahu bagaimana hendak menyalurkan perasaan seperti sedih, marah dan gembira.

“Tambahan pula dia tidak boleh bercakap dan jika tidak diberi perhatian serta kasih sayang sebaiknya anak-anak seperti Adam akan membesar dalam keadaan tertekan,” ujar bekas komposer yang pernah menulis lagu untuk beberapa artis seperti Datuk Sheila Majid, Amy Mastura, kumpulan Kamikaze dan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Autisme sangat rumit dan sukar dijangka tidak seperti orang kelainan upaya (OKU) yang lain kerana kita tidak tahu bagaimana kaedah sesuai untuk membantu mereka untuk hidup berdikari.

Isteri Iman, Norhaida Hassan, 46, menjelaskan, selain cabaran emosi untuk membesarkannya, kami juga sukar mendapat sekolah sesuai dengan keadaan Adam.

“Negara kita masih kekurangan sekolah dan tenaga pengajar yang betul-betul pakar untuk menguruskan kanak-kanak autisme.

“Kita harus faham, autisme dan kelainan upaya seperti masalah pembelajaran serta sindrom Down tidak sama.

Intervensi awal

“Oleh itu, mereka tidak boleh diletakkan di dalam satu kelas malah memerlukan silibus berbeza,” terang wanita kelahiran Seberang Takir, Terengganu itu.

Katanya lagi, setiap anak autisme tidak sama dan mempunyai situasi berbeza maka, pendekatan yang perlu diambil juga berlainan.

Sehubungan itu, dia dan keluarga aktif di Instagram yang dikenali sebagai @adamsautismfamily bagi memupuk kesedaran kepada masyarakat awam mengenai autisme.

Ujarnya, Adam gemar keluar bersiar-siar. Dalam sehari, sekurang-Adam dibawa keluar sehingga lima kali kerana dia tidak suka berada di dalam rumah.

Pakar Psikiatri Universiti Teknologi Mara Private Specialist Centre, Sungai Buloh, Selangor, Dr. Nurul Azreen Hashim berkata, autisme merupakan masalah perkembangan neurologi yang cirinya merangkumi masalah interaksi sosial dan komunikasi, minat dan aktiviti yang terhad serta berulang-ulang.

“Tiada ubat yang boleh menyembuhkan autisme tetapi intervensi awal yang merangkumi terapi percakapan, terapi cara kerja dan tingkah laku sosial boleh membantu mengatasi gejala autisme.

“Intervensi awal penting dimulakan seawal umur dua tahun bagi mempersiapkan mereka ke sekolah,” kata wanita yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu.

Mengupas mengenai autisme, Nurul Azreen memberitahu, sejak tahun 2013, semua subkategori autisme kini dikenal pasti sebagai Autisme Spectrum Disorder. Ia dikelaskan mengikut tahap sokongan yang diperlukan iaitu satu hingga tiga.

Ujarnya, ketiga-tiga tahap itu memerlukan tahap sokongan yang berbeza dan paling kritikal ialah tahap tiga apabila anak-anak itu memerlukan sokongan sepenuhnya akibat masalah komunikasi serta tingkah laku yang lebih mencabar.

Nurul Azreen mencadangkan kepada ibu bapa agar membuat penceritaan bergambar kepada anak-anak untuk mereka memahami sesuatu situasi sosial.

Reaksi wajah

Terangnya, anak-anak autisme sukar memahami reaksi wajah dan intonasi serta gerak tubuh orang lain.

“Anak-anak autisme mempunyai perasaan sama seperti orang normal tetapi cara mereka menunjukkan kegembiraan atau kesedihan mungkin tidak sesuai dengan keadaan.

“Justeru, adalah penting ibu bapa membuat penceritaan bergambar agar anak-anak lebih mengerti dan ketika bercerita buat mimik muka seperti sedih, marah dan gembira untuk mereka lebih faham,” kata ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.

Akuinya, jika diberi sokongan berterusan dan latihan sewajarnya anak autisme boleh menunjukkan peningkatan dan hidup berdikari.

Mengulas secara umum ciri-ciri autisme, Nurul Azreen berkata, tanda-tanda paling utama ialah lambat bercakap, tiada hubungan mata, perlakuan berulang-ulang dan terlalu sensitif dengan keadaan sekeliling.

Selepas diagnosis dibuat, doktor akan merujuk mereka untuk sesi terapi pertuturan dan cara kerja serta mencadangkan ke pusat intervensi awal seperti di Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), pusat-pusat swasta atau Permata Kurnia.

Sementara itu, seorang lagi ibu yang turut mempunyai anak autisme berusia 15 tahun, Nadia Mat Yasir, 45, memberitahu, anak-anak autisme tidak pandai menyimpan perasaan macam orang normal.

Sekiranya tidak puas hati atau marah mereka akan tunjuk terus dan salah satunya ialah mengamuk.

“Anak saya, Mikhail Mohamad Qabid seorang yang sangat pemalu dan hubungan sosialnya sangat terbatas.

“Mikhail hanya mahu ikut caranya sahaja dan berasa hanya dia yang betul lantas menyukarkannya berkawan serta bekerjasama dalam kumpulan,” tutur ibu kepada empat orang cahaya mata itu.

Justeru, Nadia selalu mendidik anaknya itu agar lebih bertolerasi dan menerima pandangan orang lain.

Mikhail katanya, sangat sensitif dan suka melakukan aktiviti secara rutin tetapi dia seorang yang matang serta penyayang.

Menurut Nadia, anak ketiga daripada empat beradik itu seperti remaja lain. Dia juga ada menyimpan perasaan cinta dengan seorang rakan perempuan di sekolahnya.

Selain itu, Mikhail sangat menyukai aktiviti kecergasan dan bersukan.

Intervensi awal yang merangkumi terapi percakapan, terapi cara kerja dan tingkah laku sosial dapat membantu mengatasi gejala autisme.

Otak kanak-kanak normal

Otak kanak-kanak autisme

KUALA LUMPUR 12 Oktober 2018 - Mikhail Mohamad Qabil dalam temuramah mengenai anak autisme di Nexus International School, Persint 15, Putrajaya, dekat sini hari ini.
Gambar - ABDUL NAZIR MOHAMED
Pemberita - ZUBAIDAH (rencana kosmo)

KUALA LUMPUR 12 Oktober 2018 - Nadia Mat Yusof dan anaknya, Mikhail Mohamad Qabil dalam temuramah mengenai anak autisme di Nexus International School, Persint 15, Putrajaya, dekat sini hari ini.
Gambar - ABDUL NAZIR MOHAMED
Pemberita - ZUBAIDAH (rencana kosmo)

KUALA LUMPUR 12 Oktober 2018 - Nadia Mat Yusof dan anaknya, Mikhail Mohamad Qabil dalam temuramah mengenai anak autisme di Nexus International School, Persint 15, Putrajaya, dekat sini hari ini.
Gambar - ABDUL NAZIR MOHAMED
Pemberita - ZUBAIDAH (rencana kosmo)

KUALA LUMPUR 19 OKT 2018 - Wawancara dengan Iman Wan dan isterinya Norhaida Hassan tentang anaknya Mohd Adam yang Autiesem di sini hari ini .
Gambar:Zakaria Idris/Pemberita:Zubaidah-Ren Kosmo.

KUALA LUMPUR 19 OKT 2018 - Wawancara dengan Iman Wan dan isterinya Norhaida Hassan tentang anaknya Mohd Adam yang Autiesem di sini hari ini .
Gambar:Zakaria Idris/Pemberita:Zubaidah-Ren Kosmo.