Lebih menyedihkan apabila kelakuannya itu turut menyebabkan adiknya, Minah, 27, mengalami kemurungan sehingga ke hari ini.

“Sungguh saya menyesal. Tetapi apakan daya, semuanya sudah terjadi.

“Disebabkan rasa bersalah yang menghantui diri, saya kini sukar untuk tidur malam dek teringatkan peristiwa tersebut,” jelasnya.

Mengimbau kembali detik yang berlaku tiga tahun lalu itu, menurut anak kedua daripada tiga orang adik-beradik ini lagi, sebelum adiknya diceraikan oleh suaminya, dia sering mereka-reka cerita untuk memisahkan mereka.

Keadaan tersebut dilakukan oleh Taufik bahana cemburu yang meluap-luap apabila melihat adik iparnya, Saiful, 30, menjadi anak lelaki kesayangan ibu bapanya.

“Saya merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. Status tersebut menyebabkan saya menjadi anak kesayangan ibu dan bapa.

“Sejak kecil lagi saya sudah terbiasa menjadi perhatian dan dimanjakan oleh ibu bapa. Kakak dan Minah pula langsung tidak mencemburui perhatian yang diberikan kepada saya.

“Biarpun sudah bekerja, saya mengambil keputusan untuk mencari pekerjaan di sekitar Seremban, Negeri Sembilan bagi membolehkan saya menetap di rumah orang tua,” jelasnya.

Menantu kesayangan

Menurut Taufik lagi, Minah berkahwin dengan Saiful, yang merupakan seorang pegawai di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur kira-kira empat tahun lalu.

Kehadiran Saiful begitu disenangi keluarga. Malah Saiful menjadi menantu kesayangan ibu dan bapa Taufik.

Apa sahaja yang dilakukan oleh Saiful pasti dipuji oleh kedua-dua orang tuanya. Disebabkan itu, Taufik mula berasa tersisih apabila tidak lagi menjadi tumpuan orang tuanya.

Genap setahun berkahwin, Minah disahkan hamil. Disebabkan itu merupakan cucu sulung keluarga, ibu bapanya meminta agar Minah berpantang di kediaman mereka.

Cerita Taufik, pada waktu itu, otaknya kembali ligat berputar. Pelbagai helah dilakukan untuk menjauhkan ibu bapanya daripada dibayangi Saiful.

“Ketika Minah berpantang di rumah, saya sering melakukan provokasi dengan menunjukkan kepadanya kes-kes kecurangan dan penceraian suami isteri yang tular di laman sosial.

“Disebabkan suaminya tinggal bersendirian selepas Minah berpantang di rumah keluarga, saya mula menghasutnya supaya mencurigai suaminya, Tidak sampai dua minggu, Minah mula termakan hasutan saya.

“Dakwa Minah, Saiful mula berubah kerana sudah tidak lagi berulang-alik ke rumah orang tuanya seperti ketika dia bersalin dahulu,” jelasnya.

Tidak cukup dengan itu, Taufik turut ‘mencucuk’ ibunya. Bagaimanapun akui Taufik, ibunya langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi.

Sebaliknya, ibu menyebelahi Saiful dan mendakwa adik iparnya itu mungkin kepenatan kerana terpaksa berulang-alik dari tempat kerja.

Suntingan gambar

“Bengang dengan respons yang diterima, saya tergamak melakukan teknik suntingan terhadap gambar Saiful. Biarpun ia hanyalah suntingan, namun, gambar tersebut kelihatan benar-benar seperti Saiful sedang bercumbu dengan seorang wanita.

“Ketika saya menunjukkan gambar tersebut kepada Minah, dia meraung dengan kuat. Ibu pula turut percaya dengan gambar tersebut,” jelasnya.

Menurut Taufik lagi, sangkanya, keluarganya akan memanggil Saiful untuk berunding, tetapi, lain pula jadinya apabila ibu bapanya mendesak Saiful untuk menceraikan Minah.

“Situasi di kediaman kami pada waktu itu sangat tegang. Saya pula hanya diam membisu.

“Dengan tidak rela, Saiful akhirnya menceraikan Minah dengan talak satu,” jelasnya.

Menurut Taufik lagi, bermula saat itu, Milah mula menunjukkan tanda-tanda kemurungan. Dia bukan sahaja tidak menguruskan diri sendiri, malah mengabaikan anak yang masih kecil.

“Saya mula menyesal dengan perbuatan saya.

“Disebabkan tidak mahu adik dan anak saudara menderita, saya memanggil Saiful ke rumah dan membuat pengakuan di hadapan keluarga.

“Mereka begitu terkejut dan memarahi tindakan yang dilakukan. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana Saiful dan Minah kembali rujuk sebagai suami isteri selepas itu,” jelasnya.

Biarpun begitu, menurut Taufik lagi, dia masih lagi dibayangi perasaan bersalah apabila insiden tersebut menyebabkan Minah mengalami kemurungan sehingga ke hari ini dan hubungan mereka sekeluarga mulai renggang.

Perasaan tersisih dan cemburu kerana sikap ibu bapa yang begitu melebih-lebihkan adik ipar menyebabkan Taufik nekad melakukan pelbagai helah untuk menghancurkan perkahwinan adik kandungnya.