Jika berada di luar rumah terlalu lama juga akan menyebabkan bulu mata digenangi salji seolah-olah sedang memakai maskara berwarna putih.

Mungkin kedengaran mustahil untuk manusia membina penempatan di kawasan dengan suhu purata melebihi -50 darjah Celsius seperti itu. Namun hakikatnya, lebih 500 orang merupakan penduduk tetap di sebuah kampung yang dikenali sebagai Oymyakon dan terletak di sebuah lembah dengan nama yang sama di kaki pergunungan Khrebet.

Pada awalnya iaitu kira-kira tahun 1920-an, kawasan itu hanya menjadi persinggahan para pengembala rusa suku kaum nomad untuk memberi minum haiwan mereka di sebuah kolam air panas yang tidak pernah membeku.

Namun, pemerintah Soviet pada ketika itu mengarahkan suku kaum nomad tersebut untuk menetap terus di kawasan itu agar mudah diawasi. Mereka juga boleh mengembangkan budaya dan teknologi di bandar itu.

Sebagai rekod, Oymyakon pernah mencapai suhu hingga -71°C pada tahun 1924. Angka itu merupakan suhu tersejuk untuk sebuah kawasan yang menjadi tempat tinggal manusia di Bumi dan hanya kurang satu darjah Celsius sahaja daripada persekitaran yang membenarkan manusia hidup iaitu -72 darjah Celsius.

Hakikatnya, pada musim sejuk setiap tahun penduduk di kawasan terpencil di Rusia itu hanya menjangkakan purata suhu terendah sehingga -50 darjah Celsius dan masih mampu untuk meneruskan kehidupan harian seperti biasa seperti bekerja, ke sekolah dan membeli-belah di kedai tunggal di kampung itu.

Ekstrem

Namun, suhu terkini yang dicatatkan pada pertengahan Januari tahun ini meningkat ekstrem sehingga mencecah -62 darjah Celsius dan telah menyebabkan termometer digital yang dipasang di monumen era Komunis itu rosak.

Selain itu, kampung yang terletak kira-kira 750 meter dari paras laut itu juga mempunyai waktu siang yang pendek pada musim sejuk iaitu selama tiga jam sahaja.

Ironinya, bandar sejuk Oymyakon merupakan terjemahan kepada frasa air yang tidak pernah membeku. Ia merujuk kepada sebuah sumber air panas yang terletak tidak jauh dari lokasi kampung tersebut.

Tertarik dengan suhu ekstrem yang dicatatkan kampung yang terletak di wilayah Yakutia, Rusia itu, seorang jurugambar dari New Zealand, Amos Chapple, 36, telah membuat perjalanan menaiki kereta selama dua hari dari pusat bandar Yakutsk yang jaraknya sejauh 927 kilometer menuju ke Oymyakon bagi melihat sendiri kehidupan masyarakat di kampung tersejuk di dunia itu.

Dia memberitahu, cuaca pada masa itu sangat sejuk. Jalan-jalan di kampung itu pula sunyi sepi dan sesekali hanya kelibat beberapa orang dengan wajah berbingkai ais dan berpakaian tebal kelihatan berjalan pantas menuju ke destinasi masing-masing.

“Saya sangka penduduk setempat sudah terbiasa dengan cuaca musim sejuk sebegitu kerana mereka tetap menjalani kehidupan seperti biasa. Rupa-rupanya, mereka juga tidak tahan dengan cuaca sejuk melampau.

“Saya masih ingat melihat seorang wanita mengambil sosej beku untuk dijual kepada pelanggan. Selepas menerima wang bayaran, dia cepat-cepat menggesel tangan bagi menghangatkannya,” ujarnya.

Sukar didekati

Jelas Chapple, pada awalnya dia berpendapat kampung Oymyakon itu seperti sebuah kawasan terbiar tetapi hakikatnya suasana sangat meriah terutama di dalam rumah penduduk.

“Saya tidak dialu-alukan di sana. Jadi, teman yang ada pada masa itu hanyalah anjing dan orang-orang mabuk di jalanan.

“Mereka orang yang gasar dan sukar didekati. Saya berharap mereka dapat menerima kehadiran saya dengan terbuka, namun ia tidak berlaku sama sekali,” luahnya kesal.

Seorang lagi pelancong, Stefizini Yaroba, 37, memberitahu, bibirnya membeku malah, air liur juga mengeras dengan cepat dek kedinginan yang dirasai.

“Pulang ke tempat penginapan selepas beberapa ketika berjalan di luar membuatkan saya kepenatan seolah-olah baru sahaja menempuh perjalanan panjang menaiki kapal terbang. Ia sangat memenatkan.

“Kedinginan di kawasan asing ini membuatkan seluruh tubuh mudah mengalami kekejangan. Malah, ada masanya saya risau jika ia akan mematikan saraf,” tuturnya dalam tawa sambil menceritakan pengalamannya mengunjungi kampung tersebut pada penghujung tahun lepas.

Kesukaran hidup di Oymyakon tidak lain adalah suhu dinginnya yang seolah-olah mampu membekukan segalanya.

Pengebumian

Penduduk yang rata-rata bekerja sebagai pengembala rusa, pemburu dan nelayan ikan air sejuk juga membiarkan kenderaan mereka dihidupkan sepanjang hari kerana khuatir enjin sukar dihidupkan dalam keadaan cuaca yang dingin itu.

Masalah turut dialami ketika ingin melakukan proses pengebumian. Persekitaran membeku membuatkan proses tersebut memakan masa sehingga tiga hari kerana perlu mencari tanah terlebih dulu sebelum mula menggali.

Kemudiannya, batu panas ditempatkan di sekeliling liang lahad yang sedang digali dan proses itu diulangi beberapa kali hingga lubang tersebut cukup dalam.

Walaupun sudah hampir menginjak usia satu kurun, kehidupan di Oymyakon masih sangat sederhana. Sebahagian besar rumah masih menggunakan arang batu dan kayu sebagai pemanas manakala tandas masih berada di luar rumah.

Disebabkan tidak ada pokok yang mengeluarkan hasil tumbuh di Oymyakon, maka penduduk terpaksa menjadikan daging rusa dan kuda sebagai sumber makanan utama.

Biarpun begitu, penduduk tidak mengalami kekurangan nutrien walaupun hanya memakan daging kerana mengamalkan pengambilan susu rusa dan kuda yang kaya dengan mikronutrien.

Kampung Oymyakon mendapat namanya daripada sebuah kawasan air panas yang tidak pernah membeku dan menjadi sumber minuman binatang gembala.