Lebih memeranjatkan apabila situasi tersebut telah berlaku hampir 40 tahun yang lalu dan sepanjang tempoh itu juga, masyarakat Islam yang menunaikan solat di situ telah berpandu kepada arah kiblat yang terpesong sebanyak 33 darjah.

Bukan itu sahaja, situasi yang sama turut berlaku di sebuah masjid di negara ini apabila sebuah akhbar pada tahun 2013 melaporkan Masjid Al-Ehsan Bukit Baru yang terletak di Melaka mempunyai kiblat yang terpesong sebanyak 10 sentimeter sejak digunakan 70 tahun yang lalu.

Malah berdasarkan dapatan yang diperoleh daripada Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor, daripada setiap 1,000 buah rumah yang dikunjungi, hanya 20 peratus kediaman yang mempunyai arah kiblat yang tepat.

Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 144, menghadap kiblat merupakan salah satu syarat sah solat.

Justeru, memahami situasi yang membelenggu masyarakat Muslim di negara ini, Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor mengambil inisiatif untuk menawarkan perkhidmatan penetapan arah kiblat di kediaman individu menerusi program yang dinamakan sebagai Qibla Project.

Menurut setiausahanya, Abdul Latip Ibrahim, menerusi perkhidmatan tersebut, individu kini tidak perlu lagi berasa ragu-ragu dengan ketepatan arah kiblat di kediaman masing-masing.

“Masyarakat Islam terdahulu menentukan arah kiblat menggunakan panduan bintang, matahari dan arah mata angin.

“Bagaimanapun, seiring dengan peredaran zaman, kaedah tersebut tidak lagi dipraktikkan. Masyarakat kini lebih suka menggunakan kompas kerana penggunaannya yang mudah dan ringkas selain aplikasi-aplikasi penentuan arah kiblat di telefon pintar, kebanyakannya mempunyai konsep yang sama seperti kompas,” jelasnya.

Data Matahari

Menurutnya lagi, penggunaan kompas dalam menentukan arah kiblat pada hari ini tidak begitu relevan dan praktikal memandangkan tarikan magnet besi yang terdapat pada struktur kediaman masing-masing menyebabkan arah yang ditunjukkan pada jarum kompas sering berubah-ubah.

“Keadaan tersebut menyebabkan individu mendapat arah kiblat yang tidak tepat.

“Tahukah anda, jika terpesong satu darjah dari arah yang tepat di Malaysia, kiblat anda akan tersasar 122 kilometer dari arah Kaabah.

“Justeru, bagi mendapatkan arah yang benar-benar tepat saya lihat kita perlu menggunakan kaedah yang tepat iaitu menggunakan data matahari” jelasnya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai Qibla Project, menurut Abdul Latip lagi, program yang dijalankan oleh Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor ini sebenarnya baru sahaja diperkenalkan kepada umum tahun lalu sebaik mendapat kelulusan daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Menariknya, Qibla Project merupakan perkhidmatan menentukan kiblat menggunakan data matahari yang pertama di Malaysia.

“Kerja-kerja penetapan arah kiblat ini adalah di bawah seliaan Jabatan Mufti Negeri.

“Kebiasaannya, Jabatan Mufti melakukan kerja-kerja penetapan arah kiblat di tempat-tempat awam seperti hospital, surau hentian rehat dan rawat, masjid dan lain-lain lagi.

“Bagaimanapun, terdapat permintaan yang begitu meluas daripada individu luar yang kini mempunyai kesedaran tinggi terhadap arah kiblat di kediaman masing-masing. Disebabkan tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi pada waktu itu, kami terpaksa menolak.

“Sehingga ke satu tahap, penolakan tersebut telah mengundang perasaan kecewa sesetengah pihak,” ujarnya.

Justeru, Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor berasa terpanggil untuk membantu masyarakat mendapatkan arah yang tepat di kediaman masing-masing dengan caj RM50 sahaja.

“Fokus utama kita adalah mahu membantu individu mendapatkan ketepatan arah kiblat ketika menunaikan solat dan juga ibadah-ibadah sunat lain yang digalakkan menghadap kiblat, termasuk tidur mengiring ke arah kiblat.

“Jadi ketepatan arah kiblat membuatkan mereka tidak akan berasa ragu-ragu dan mampu menjalankan tuntutan sebagai seorang Muslim dengan sempurna,” jelasnya.

Biarpun perkhidmatan itu kini ditawarkan di sekitar Selangor sahaja, namun menurut Abdul Latip lagi, ia kini mula mendapat permintaan yang meluas di luar negeri tersebut.

Bacaan azimut

Dalam pada itu, menurut salah seorang ahli persatuan, Mohd. Stauban Uzair Ahmad Najdi, kerja-kerja penetapan arah kiblat mengambil masa sekurang-kurangnya 30 minit.

“Kami menggunakan benang yang diikat pada pemberat untuk mendapatkan bayang daripada matahari. Jika tiada bayang di dalam rumah, maka kami akan menanda bayang di luar rumah.

“Dari situ, kami akan mendapatkan bacaan azimut bayang-bayang matahari iaitu arah mengufuk suatu titik di langit dari suatu titik di bumi menggunakan aplikasi kompas matahari yang dicipta oleh salah seorang ahli persatuan kami iaitu Sukiman Sangat.

“Laser kemudian digunakan untuk mendapatkan garisan lurus bayang matahari ke dalam bahagian rumah. Seterusnya, bukaan azimut kiblat dibuat dan kami akan melekatkan penanda arah kiblat di siling kediaman,” jelasnya.

Biarpun begitu, menurut Stauban lagi, kerja-kerja penandaan ini tidak boleh dilakukan apabila cuaca mendung, hujan atau pada waktu malam kerana ketiadaan cahaya matahari untuk proses pengukuran.

“Sejak dihebahkan melalui pautan bit.ly/qiblaproject tahun lalu, kira-kira 4,000 isi rumah telah memohon.

“Sehingga ke hari ini, perkhidmatan ini berjaya dimanfaatkan kepada lebih 3,000 kediaman,” jelasnya.

Dalam pada itu menurut seorang pengguna, Razila Rashid, 40, perasaan ragu-ragu tentang penetapan arah kiblat di kediaman yang baru dihuni setahun lalu menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menggunakan khidmat Qibla Project.

“Setiap kali ingin menunaikan solat saya sering tertanya-tanya adakah arah kiblat yang terdapat di rumah ini benar-benar betul.

“Kebetulan saya terlihat perkhidmatan yang ditawarkan oleh Persatuan Ahli Falak Selangor dan kemudian menggunakan khidmat mereka,” jelasnya.

Qibla Project guna data matahari untuk tentukan kiblat di rumah yang lebih tepat dan praktikal berbanding penggunaan kompas atau aplikasi yang dimuat naik dalam telefon pintar.