Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang merupakan sebuah agensi di bawah kerajaan tidak hanya mensyaratkan kewajipan mematuhi syariah tetapi turut memastikan aspek kesucian dan keselamatan. Situasi itu membolehkan Malaysia kini berada di barisan hadapan dalam industri halal.

Persijilan halal negara juga mendapat pengiktirafan di peringkat global dan dinobatkan sebagai negara Islam terbaik dalam kalangan 73 buah negara yang berjaya membangunkan ekonomi mereka.

Sebenarnya amat penting bagi semua pengguna Islam untuk mengetahui badan-badan yang diiktiraf di seluruh negara.

Ini dapat mengelakkan pengguna daripada berasa ragu-ragu untuk membeli barangan atau memasuki premis-premis tertentu ketika berada di luar negara.

Pengetahuan mengenai logo-logo badan Islam yang diiktiraf di luar negara juga penting agar pengguna tidak keliru.

Piawaian

Baru-baru ini sebuah Persidangan Halal Antarabangsa Malaysia (MyHA) 2018 dianjurkan di Hotel Le Meridien, Putrajaya. Ia merupakan sebuah program yang dinamakan Konvensyen Badan-Badan Persijilan Halal (HCBC).

Program yang masuk edisi kesembilan itu dianjurkan untuk memberikan kefahaman mengenai keperluan mempunyai satu persijilan halal sebagai penanda aras terbaik dunia.

Salah seorang panel forum, Setiausaha Agung, Pertubuhan Standardisasi Majlis Kerjasama Negara-Negara Arab Teluk (GSO), Nabil A. Molla tidak menafikan untuk menetapkan piawaian untuk persijilan halal di seluruh dunia sangat sukar kerana setiap negara mempunyai piawaian dan protokol halal masing-masing yang telah diguna pakai sejak dahulu lagi.

“Perkara itu yang menjadi satu masalah kerana setiap negara mempunyai pandangan dan pegangan mazhab yang berbeza-beza. Ini berkaitan hukum agama, jadi agak sukar untuk disatukan.

“Bagaimanapun, jika syarat persijilan halal itu tidak boleh diseragamkan, kami cuba untuk menjadikan ia hampir sama kerana tujuan utama adalah memastikan ia halal lagi bersih,” katanya.

Pada forum itu, Nabil turut berkongsi latar belakang pertubuhan dan pelaksanaan GSO atau dikenali sebagai Pertubuhan Standard Majlis Kerjasama Negara-Negara Arab Teluk yang merupakan organisasi standard bagi negara anggota Majlis Kerjasama Teluk dan Yemen.

Katanya, antara badan agensi standard halal di bawah naungan GSO ialah Pihak Berkuasa Emirates untuk Standardisasi dan Metrologi (Esma); Pertubuhan Standard, Metrologi dan Kualiti Saudi (Saso) dan Pertubuhan Kawalan Kualiti, Metrologi dan Standardisasi Yemen (Ysmo).

“GSO beribu pejabat di Riyadh dan terdapat beberapa cawangan di Jeddah. Pembukaan cawangan itu adalah antara usaha GSO untuk memperkasakan produk dan perkhidmatan halal di negara-negara yang menjadi rakan strategik.

“Kami mempunyai Ahli Majlis GSO yang terdiri daripada menteri-menteri berwibawa yang bertanggungjawab mengawal dan menguruskan hal ehwal pertubuhan serta mengamalkan dasar umum pertubuhan. Ia juga tidak boleh mempunyai kepentingan peribadi,” katanya.

Dalam pada itu, Nabil memberitahu, perkara penting yang harus ditangani kini adalah mengenai badan-badan agensi halal yang menggunakan sijil halal sebagai kepentingan perniagaan.

Jelasnya, tindakan itu ibarat menggunakan agama dalam mengejar perniagaan.

“Tidak salah berniaga tetapi harus mempunyai matlamat yang betul dan tujuan untuk menyebarkan agama,” katanya.

Cabaran

Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Strategi Sijil Halal Agama, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Munir Hussain berkata, segala yang berkaitan dengan industri halal perlu ditambah baik agar ia seiring dengan kepesatan perubahan dunia, baik dari aspek penawaran produk dan perkhidmatan, teknologi, gaya hidup mahupun standard, tanpa berkompromi terhadap aspek-aspek syarak.

“Industri halal sentiasa mempunyai cabaran tersendiri tetapi ia juga berevolusi dengan kesedaran, penerimaan dan pemahaman masyarakat dunia.

“Walaupun hanya 15 peratus daripada jumlah penduduk Singapura beragama Islam, MUIS akan memainkan peranan yang penting untuk memastikan kelangsungan pendidikan Islam di negara itu,” katanya.

MUIS memperkenalkan Sistem Pengurusan Kualiti Halal (HalMQ) yang berdasarkan satu set keperluan halal mengikut standard antarabangsa bermula pada 1 Mac 2008.

Objektif logo halal tersebut adalah bagi meningkatkan pematuhan halal menerusi pendekatan yang sistematik, meningkatkan daya saing syarikat yang memiliki logo halal dan memenuhi keperluan pengguna Muslim selain diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Selain itu, Munir berpendapat, agensi yang mempunyai kepentingan sendiri dalam menggunakan sijil halal sekadar untuk melepaskan syarat perniagaan adalah tidak wajar.

“Perbuatan hanya mementingkan keuntungan dan tidak melakukan audit mengikut syariah Islam adalah satu tindakan yang patut dihapuskan kerana ia mencemarkan Islam itu sendiri,” ujarnya.