Meskipun sedikit terbatas dari segi kandungan yang lebih banyak dihidangkan dengan putaran lagu-lagu, ironi penyiaran radio juga mempunyai bahagian dalam persembahan drama.

Hakikatnya, drama radio mula wujud di Malaysia sekitar zaman 1960-an ketika masyarakat masih belum mampu memiliki kotak televisyen di rumah. Hanya radio menjadi penghubung kepada dunia luar untuk mengetahui berita semasa selain platform mendapatkan hiburan.

Antara drama radio satu masa dahulu yang popular dalam kalangan peminat adalah Fajar Di Bumi Permata dan Kebun Pak Awang.

Masih hidup sehingga kini meskipun tidak semeriah dahulu kerana kebangkitan dunia televisyen dan platform atas talian, namun drama radio masih mempunyai peminat tersendiri.

Hal itu dapat dibuktikan oleh stesen Radio Klasik Nasional yang masih berdiri selaku salah sebuah stesen yang berpegang kepada penyiaran drama radio sejak dahulu.

Orang muda

Mengikut profil, Radio Klasik melalui banyak fasa perubahan jenama. Ia bermula dengan jenama Radio Irama Melayu Asli (RIMA) yang dilancarkan pada tahun 1998 serentak dengan penukaran format nama Radio RTM.

Pada 2004, RIMA ditukar kepada Klasik FM Menggamit Memori selari dengan penjenamaan semula yang dilakukan Radio RTM kepada 33 buah stesen radio miliknya.

Namun pada 2006, Klasik FM bergabung dengan Nasional FM menjadi Klasik Nasional dengan menyiarkan lagu Melayu klasik lewat 1940-an hingga awal 1990-an. Walau bagaimanapun, pada 2012, Klasik Nasional diubah sepenuhnya menjadi Radio Klasik sehingga kini.

Menurut Penerbit Eksekutifnya, Zuraidah Mohd. Nor, era demi era telah ditempuhi Radio Klasik dan seiring perkembangan terkini, ia tidak ketinggalan dengan strategi untuk menambat hati pendengar baharu iaitu kelompok golongan muda.

Kata Zuraidah, antara elemen pembaharuan yang disuntik Radio Klasik adalah menyelitkan untaian lagu dari zaman lewat 1990-an hingga awal 2000 supaya menjadi pembuka jalan untuk orang muda mendekati stesen radio itu.

“Selain ada meletakkan lagu-lagu malar segar yang dekat dengan jiwa orang muda, sekarang sebuah slot program di Radio Klasik iaitu Adila (Aku, Dia dan Lagu) bakal disiarkan di kaca televisyen tidak lama lagi dalam bentuk telemovie,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menjadi antara salah satu stesen radio awam yang memiliki rating tinggi bagi program khas seperti drama dan Adila, Zuraidah menyifatkan ia sebagai saluran nasihat kepada pendengar.

Memberi contoh, drama radio di Radio Klasik banyak mengetengahkan konsep isu dan kepincangan yang berlaku dalam kalangan masyarakat seperti rasuah dan alam semula jadi.

“Banyak isu kami bawa dalam drama radio tetapi teguran yang diberi tidaklah secara nyata sebaliknya berkias dan bertempat agar tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

“Di Radio Klasik ada beberapa jenis drama antaranya purba yang kaya dengan elemen tradisional seperti kisah raja-raja, inang dan dayang. Di situ jugalah pendengar dapat menambah ilmu apa perbezaan inang dan dayang yang mungkin ramai tidak tahu,” katanya.

Tapisan

Stesen Kool FM pula antara radio baharu dan swasta yang berani menyahut cabaran menyiarkan drama radio, namun ia tidak terikat dengan konsep berat sebaliknya lebih bersifat santai.

Pun begitu, dalam memperjuangkan konsep santai, drama di Kool FM pernah dikritik kerana terlepas perkataan yang kasar dan tidak sesuai untuk dijadikan bahan kepada pendengar.

Maklum akan perkara itu, Ketua Program Kool FM, Nik Azura Nik Mahmood bagaimanapun menjelaskan, pada awalnya penggunaan dialog-dialog seperti itu lebih kepada kesesuaian babak agar ia kedengaran santai.

“Kalau diikutkan, kami sebolehnya mahu buat drama radio yang tidak terikat dengan skrip formal. Namun, kami ambil setiap maklum balas daripada pendengar yang sensitif dengan perkara ini.

“Sedar akan perkara yang telah terjadi, kami kini lebih berhati-hati dalam menyiarkan sebarang dialog agar tidak menimbulkan kejadian sama,” katanya.

Drama radio Kool FM yang diberi nama Dramatik Kool mula bersiaran sejak dua tahun lalu, seusia dengan penubuhan stesen radio tersebut.

Tulang belakang yang menjayakan program itu adalah penulis skrip Siti Zuraidah Mat Isa yang pernah memenangi Anugerah Drama Radio Pilihan, Terima Kasih Ex pada malam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) tahun lepas.

Usia program yang masih setahun jagung menuntut cabaran tersendiri untuk dihadapi Siti Zuraidah. Katanya, antara cabarannya adalah perlu menepati tempoh masa drama bersiaran.

“Drama cuma bersiaran selama empat minit setiap hari. Jadi dalam tempoh itu, kami perlu lengkapkan episod yang disiarkan pada hari tersebut. Ia nampak seperti singkat dan mudah tetapi agak sukar sebenarnya kerana perlu bersaing dengan masa,” jelasnya.

Asah lakonan

Sementara itu menurut pelakon veteran popular Datuk Jalaluddin Hassan yang aktif dengan banyak drama radio, menyifatkan ia sebagai medium terbaik kepada pelakon untuk mendalami ilmu lakonan dengan berkesan.

Hal ini kerana menurut Jalaluddin ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini, drama radio lebih sukar untuk dilakukan jika dibandingkan dengan drama di kaca televisyen kerana ia menuntut seseorang pelakon menyalurkan segenap ruang emosi hanya menerusi lontaran suara.

“Orang sering menganggap drama di radio mudah. Hakikatnya, inilah kerja paling sukar untuk semua pelakon. Sebab kami perlu menzahirkan lakonan dengan sempurna tanpa ada apa-apa di sekeliling. Hanya ditemani sebatang mikrofon dan selembar kertas skrip, dari situ kami perlu mencipta imaginasi sendiri untuk menjayakan karakter yang diberikan.

“Benar atau tidak kata saya, mana-mana pelakon yang hebat di layar kaca televisyen sekali pun akan berasa janggal jika berlakon drama radio. Sebab prosesnya jauh berbeza dengan cara kerja untuk siaran televisyen,” ujarnya.

Ironi, di radiolah tempat Jalaluddin memulakan kariernya dalam industri seni sekitar era 1980-an. Ceritanya, pada waktu itu beliau masih baharu dalam industri tetapi pihak penerbit telah memberi kepercayaan untuknya membintangi drama radio di samping penyanyi Rahimah Rahim dan Ramlah Ram.

Biarpun kini terkenal sebagai pelakon popular yang kerap muncul di kaca televisyen mahu pun layar lebar, akui Jalaluddin jiwanya masih setia dengan drama radio.

Sehingga kini, Jalaluddin masih aktif berlakon drama radio jika dipanggil oleh penerbit terutamanya daripada RTM.

“Jika tidak dibayar sekali pun, saya tetap akan pergi. Ia bukan soal bayaran tetapi kerinduan terhadap bidang ini tidak pernah hilang kerana radio menjadi medium saya mempelajari banyak hal tentang lakonan,” katanya yang popular dengan drama radio Nilam Satria.

Popular

Bagi pelakon Fauziah Nawi pula, melihat kepada perkembangan drama radio dari zaman dahulu hingga sekarang, beliau mengakui ia telah melalui fasa berbeza seiring dengan peredaran masa.

Namun itu tidak bermakna drama radio terus hilang dari radar dunia penyiaran. Masih aktif dengan lakonan drama radio, Fauziah mempunyai pandangan sama dengan Jalaluddin.

“Kalau dahulu saya banyak berlakon di stesen radio awam. Bagaimanapun sekarang sudah ada stesen swasta yang mengambil langkah serupa seperti Kool FM. Secara jujur, saya sangat teruja dengan peluang yang hadir seperti ini kerana di sinilah kami belajar perkara baharu terutamanya dari segi teknikal,” katanya.

Namun, pelakon berusia 65 tahun itu meluahkan perasaan kecewa apabila drama radio yang dilihat sebagai kelas lakonan terbaik dalam kalangan pelakon pada zaman dahulu, kini dipandang enteng oleh generasi baharu.

Hal ini kerana ada sesetengah artis yang tidak menyedari tentang kelebihan drama radio selain enggan menerima tawaran disebabkan mengambil kira soal bayaran dan populariti yang tidak seberapa berbanding televisyen.

“Tolonglah jangan fikir soal wang sahaja. Sebab dengan cara beginilah ia mampu menjadi nilai tambah kepada seseorang pelakon. Terkadang saya pelik mengapa orang tidak mahu mengambil peluang baik sebegini.

“Kalau betul anak seni, jangan berkira soal bayaran. Mentaliti seperti ini sangat tidak bagus. Di kaca televisyen kalian boleh dapat populariti, tetapi itu sahaja tidak cukup. Lakonan itu sangat luas dan bukan sekadar tentang hafal skrip. Ia lebih daripada itu.

“Di radiolah kita dapat belajar tentang emosi, penghayatan karakter secara menyeluruh, intonasi suara mengikut suasana dan keadaan serta banyak lagi. Jadi jangan pandang rendah terhadap drama radio,” tegasnya.

Sementara itu, pelakon Beto Kusyairy pula melihat peranannya selaku pelakon sebagai penyampai maklumat kepada masyarakat tentang bidang itu apabila masih ada yang belum cakna dengan keistimewaan drama radio.

Kata Beto, pernah sekali dia menerima kenyataan dangkal daripada rakan artis sendiri yang mempertikai kesanggupannya berlakon drama radio.

“Ada orang bertanya kepada saya kenapa masih buat drama radio? Nadanya seakan memperlekeh dan memandang rendah terhadap drama radio hanya kerana ia disiarkan di radio tanpa ada bentuk visual.

“Walhal hakikatnya menerusi drama radiolah kelas lakonan terbaik saya kerana di situ saya belajar bereksperimen dengan suara dan intonasi lebih-lebih lagi apabila berlakon dalam slot cerita klasik.

“Sedikit pun tiada rasa kecewa atau marah, sebaliknya saya ambil perkara itu sebagai sesuatu yang positif. Pada masa itulah saya memainkan dan memberitahu keadaan sebenar bahawa drama radio sangat bagus kepada pelakon,” ceritanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Pernah mencipta populariti luar biasa suatu ketika dahulu, drama radio masih mempunyai kelompok pengikut tersendiri pada masa kini.