Kehilangan kedua-dua ibu bapa kerana sakit tua meninggalkan kesan yang cukup mendalam dalam hatinya.

Dek kerana bertugas jauh di selatan tanah air, dia tidak banyak meluangkan banyak masa untuk menjaga kedua-duanya.

“Saya berasa sedih kerana ketika kedua-dua ibu bapa menghembuskan nafas terakhir, saya tiada di sisi mereka.

“Apatah lagi, beberapa hari selepas pemergian ayah, arwah asyik terbayangkan saya pulang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pusat Jagaan Husna Arrashid, Kampung Kelang Gates Baharu, Kuala Lumpur baru-baru ini

Keadaan itu kian mencengkam perasaannya kerana dia tidak berada di sisi kedua-duanya ketika menghembuskan nafas akhir.

Seiring dengan peningkatan usia dan anak-anaknya yang semakin dewasa menyebabkan ‘rasa terkilan’ yang bersarang memakan dirinya.

Menyedari hakikat itu, enam tahun lalu, dia membuka Pusat Jagaan Husna Arrashid untuk membantu merawat dan menjaga warga emas yang memerlukan penjagaan rapi.

“Sebelum membuka pusat ini, saya ada terfikir untuk membawa orang tua ke rumah dan merawatnya di rumah tetapi ia memerlukan ruang yang besar untuk tujuan tersebut.

“Lalu, saya mendirikan pusat ini di atas tanah seluas 0.133 hektar yang disewa dengan bayaran RM2,800 sebulan. Kini, kami mempunyai 26 orang penghuni berumur 60 hingga 90 tahun,” jelasnya.

Pada zaman ini, anak-anak sibuk bekerja dan mereka memerlukan perkhidmatan seperti itu jika ibu atau bapa sakit.

Justeru, dia meminta masyarakat agar mengubah persepsi negatif sekiranya anak-anak menghantar ibu bapa ke pusat penjagaan warga emas kerana ia demi menjaga kebajikan mereka ketika sakit.

Rashid memberitahu, semua penghuni di pusat itu mempunyai waris dan mereka akan membawa pulang ibu bapa ketika musim perayaan serta melawat mereka pada hujung minggu.

Setiap penghuni akan dikenakan bayaran sebanyak RM800 hingga RM1,500 sebulan bergantung keadaan pesakit.

Duit yuran itu digunakan untuk menampung segala kos pengurusan termasuklah membayar gaji pekerja.

Pusat itu tidak menerima bantuan kewangan daripada mana-mana pihak dan bergantung sepenuhnya kepada yuran tersebut.

Sehubungan itu, pernah beberapa kali Pusat Jagaan Husna Arrashid mengalami krisis kewangan tetapi berkat kesabaran ia dapat diselesaikan.

Rashid bersyukur kerana hasrat murninya itu mendapat sokongan isteri, Niza Hashim, 40, yang merupakan seorang jururawat terlatih.

Isterinya banyak berkongsi kepakaran berhubung penjagaan kesihatan penghuni.

Pekerja

“Saya juga dibantu seramai 15 orang kakitangan yang mempunyai latar belakang dalam bidang perubatan seperti kejururawatan, fisioterapi dan farmasi.

“Penghuni di sini kebanyakannya mempunyai penyakit strok, diabetes dan terlantar,” tutur anak kelapan daripada 10 adik-beradik itu.

Penghuni yang telah sihat akan didaftar keluar dan paling lama tinggal di pusat itu ialah empat tahun.

Rashid yang berasal dari Ipoh, Perak mengakui, tidak ramai yang mempunyai kesabaran dan minat untuk menjaga orang tua apatah lagi dalam keadaan sakit.

Ekoran daripada itu, dia sukar mendapatkan pekerja dan mereka sentiasa bertukar ganti.

“Paling lama berkhidmat dengan saya adalah selama tiga tahun, maka saya terpaksa menawarkan gaji yang lumayan supaya mereka setia di pusat ini.

“Saya masih ingat pada tahun 2013, waktu itu saya hanya mempunyai empat orang kakitangan dan semuanya melarikan diri kerana tidak tahan dengan kerenah orang tua seperti suka maki hamun, degil serta sering mengadu kepada waris kononnya mereka dikasari, sekali gus menyebabkan pekerja berkecil hati.

“Ia memberi tamparan yang besar kepada saya sehingga isteri terpaksa ambil cuti dan kami sekeluarga berkampung di pusat itu bagi menjaga penghuni yang memerlukan rawatan,” cerita bapa kepada enam orang cahaya mata itu.

Menjaga warga emas bukan tugas mudah. Mereka mempunyai pelbagai kerenah apatah lagi jika sudah nyanyuk, malah berperangai kebudak-budakan.

Selain membantu penghuni daripada segi penjagaan, rawatan serta ubat-ubatan, petugas juga bertanggungjawab membersihkan najis mereka.

Rindu

Sebelum menerima permohonan kemasukan, dia akan bertanya keperluan untuk menempatkan ibu atau bapa di tempat itu.

Sekiranya mereka masih sihat, lebih baik warga emas itu tinggal bersama keluarga dan menghabiskan usia dengan anak-anak.

Ada segelintir waris yang mengambil kesempatan dengan tidak bertanya khabar dan tidak membayar wang yuran bulanan.

“Sekiranya dua atau tiga bulan tidak bertanya khabar, saya akan menghubungi waris dan memintanya menjenguk ibu bapa mereka.

“Ada juga penghuni di sini yang meminta saya menghubungi anak-anak mereka kerana terlalu rindu,” ujarnya yang mempunyai hobi memancing dan berbasikal.

Sementara itu, bagi Vincent Ng, 68, pula berkata, dia tidak mengenal erti penat untuk menguruskan Rumah Orang Tua Chik Sin Thong Klang dan Pantai, Klang, Selangor sejak dua dekad lalu.

Berperanan sebagai naib pengerusi di rumah warga emas itu, Vincent bertanggungjawab memantau kesihatan penghuni, kebajikan serta menguruskan penyelenggaraan.

“Syarat utama untuk masuk ke sini ialah tidak berkahwin, tidak mempunyai tempat tinggal dan hidup miskin.

“Ada juga yang dihantar oleh rumah kebajikan dan hospital,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Mengimbau detik tercetusnya hasrat untuk berbakti di rumah itu, Vincent memberitahu, tempat tersebut diperkenalkan oleh rakannya.

Ketika itu, Vincent sedang mencari aktiviti atau kerja sosial bagi mengisi masa lapang memandangkan anak-anaknya sudah meningkat dewasa.

Setiap hari, Vincent yang berasal dari Hulu Klang, Selangor itu akan datang menjenguk dan bertanya khabar penghuni di pusat tersebut yang rata-ratanya berusia 65 tahun ke atas.

Mereka yang tinggal di pusat itu tidak dikenakan bayaran dan akan berada di Rumah Orang Tua Chik Sin Thong Klang dan Pantai sehingga nafas yang terakhir.

Tutur Vincent, pihaknya mengharapkan bantuan daripada orang ramai untuk menampung perbelanjaan.

Ditanya mengenai cabaran menguruskan tempat itu, bekas pengurus bank tersebut memberitahu, kerenah dan sikap degil sesetengah penghuni adakalanya menyebabkan kepalanya kusut.

“Mereka yang datang ke sini terdiri daripada pelbagai latar belakang dan ada yang suka bergaduh serta sangat sensitif.

“Ada juga yang degil dan nyanyuk sehingga menyukarkan pihaknya menguruskan mereka.

“Sehubungan itu, kami perlu bijak mengawal situasi tersebut dan memujuk mereka,” katanya yang berasal dari Hulu Klang, Selangor.

Cerita Vincent, kebanyakan warga emas di pusat itu suka berbual dan menceritakan kisah hidup mereka. Pihaknya dan para sukarelawan akan berbual dengan mereka bagi mengisi kekosongan hati.

Melihat senyuman pada wajah penghuni itu cukup menyenangkan hati Vincent kerana dapat memberikan kebahagiaan kepada mereka walaupun hidup tanpa keluarga di sisi.

Rumah Orang Tua Chik Sin Thong Klang dan Pantai kini mempunyai 25 orang penghuni yang terdiri daripada 12 lelaki dan 13 perempuan.

Rashid dan Vincent merupakan dua insan mulia yang sanggup mengorbankan masa serta tenaga untuk berbakti kepada warga emas di pusat penjagaan.