Realiti yang berlaku pada hari ini adalah sebaliknya, institusi keluarga berdepan situasi kritikal dalam menjamin penghasilan serta kelangsungan modal insan negara.

Ia berikutan cabaran globalisasi mahupun pembangunan pesat ekonomi pesat sedikit sebanyak mengancam pengukuhan kesejahteraan keluarga yang turut menjadi polemik global.

Situasi itu membimbangkan kerajaan malah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail semasa merasmikan Seminar Sekeluarga Tolak Pornografi (SToP) pada Julai lepas turut menyentuh mengenai kesejahteraan kekeluargaan yang semakin goyah.

Kuasa keluarga

Semestinya, isu itu tidak boleh dipandang ringan apatah lagi statistik Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan terdapat seramai 4,992 orang anak tidak sah taraf dilahirkan remaja berusia 18 tahun ke bawah pada 2017.

Sehingga Jun 2018, bilangan anak tidak sah taraf dilahirkan remaja berusia bawah 18 tahun adalah seramai 1,664 orang sementara bagi kes pembuangan anak damit pula sebanyak 120 kes buang anak damit direkodkan sepanjang 2017.

Mengulas mengenai perkara ini, Perunding Psikologi Keluarga, Bina Bahagia Services, Suzana Ghazali berkata, institusi keluarga yang longgar memudahkan golongan muda tersebut terpengaruh dengan aktiviti negatif.

“Keruntuhan institusi kekeluargaan dengan ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja sehingga mengabaikan kasih sayang dan pendidikan agama, kemerosotan dari segi asuhan dan bimbingan untuk anak-anak dilihat sebagai salah satu puncanya selain pengaruh rakan sebaya.

“Anak yang rasa dirinya dihargai oleh ibu bapa biarpun ilmu agama kurang, pasti akan menghindarkan diri daripada melakukan pelbagai aktiviti tidak sihat sebab mahu menjaga air muka ibu bapa mereka,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Berpengalaman lebih 20 tahun dalam profesion perunding psikologi keluarga, beliau yang juga seorang peguam syarie berkata, masalah berlaku apabila anak berasa kehadiran diri mereka tidak dihargai.

Mereka juga berbangga dengan peri laku tidak bermoral tersebut kerana dapat menarik perhatian orang tua serta menyalahkan ibu bapa atas apa yang menimpa ke atas diri.

“Kita harus ingat kuasa dan potensi keluarga dalam memerangi gejala sosial yang melanda remaja adalah lebih besar dan lebih bermakna daripada segala kekuatan semua agensi penguatkuasaan yang digabungkan untuk menangani masalah sosial,” katanya.

Kaum bapa

Berdasarkan pengamatan Suzana sepanjang menawarkan perkhidmatan perunding psikologi keluarga, beliau mendapati majoriti ibu bapa hari ini belum bersedia dan tidak memahami akan tugas mahupun tanggungjawab yang dipikul sebaik dikurniakan cahaya mata.

“Situasi sudah banyak berubah. Sekarang bukan sahaja bapa bekerja tetapi ibu juga bekerja bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Disebabkan itu, ibu bapa perlu sentiasa menambah dan melengkapkan diri mereka dengan kemahiran tambahan bagi menghadapi perubahan institusi keluarga serta memastikan anak tidak terasa terabai,” ujarnya.

Mengulas mengenai pengukuhan kemahiran keibubapaan, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah, berkata hasil kajian yang dilakukan agensi ini mendapati tidak ramai ibu bapa yang berminat untuk menyertai kursus keibubapaan.

Paling menyedihkan adalah penyertaan kaum bapa yang kurang menunjukkan komitmen menghadiri kursus.

Berdasarkan penemuan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima, 2014, hanya 38.2 peratus lelaki pernah berkahwin menghadiri kursus atau ceramah berkaitan kekeluargaan (selain daripada Kursus Pra Perkahwinan) di Malaysia.

“Kita mendapati punca mengapa tidak ramai kaum bapa menyertai kursus disebabkan mereka beranggapan mendidik anak merupakan tugas kaum ibu selain faktor ego. Disebabkan itu, LPPKN mengambil inisiatif untuk mula menawarkan kursus khas hanya untuk kaum bapa mulai 2019.

“Mereka tidak boleh lagi memandang remeh kepentingan kemahiran tambahan mendidik anak mereka apatah lagi kita berada dalam dunia siber dan ke arah Industri 4.0,” katanya.
– Bernama