“Boleh dikatakan kami hanya kaya dengan hutang. Saban bulan saya dan suami ibarat bergolok gadai bagi memenuhi impian keluarga yang kian berkembang termasuk membeli sebuah rumah berharga RM520,000 yang dekat dengan tempat kerja.

“Saya melihat tidak banyak inisiatif disediakan untuk golongan M40 berbeza dengan kumpulan B40 yang mempunyai banyak program sokongan dan skim bantuan seperti perumahan untuk mereka.

“Bukan tidak bersyukur dengan kehidupan sekarang atau menuding jari menyalahkan sesiapa, cuma ada ketikanya realiti yang ditempuhi agak mencabar buat kami,” itu luahan seorang peserta Persidangan Gaji Kehidupan Wajar dan Realiti Miskin Bandar di ibu kota baru-baru ini.

Ia dianjurkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) bagi mengupas kefahaman mengenai kemiskinan dan gaji wajar dalam konteks urbanisasi, global dan Islam.

Timbalan Pengerusi Ikim, Datuk Zakaria Hashim berkata, individu tergolong dalam kelompok miskin bandar ialah mereka yang hidup tertekan dan serba kekurangan di kawasan bandar.

Sebahagiannya menerima gaji melebihi gaji minimum namun kos sara hidup yang tinggi menyebabkan mereka hidup dalam keadaan tersepit walaupun tinggal dalam kawasan pembangunan yang pesat.

“Justeru, elemen yang dikirakan dalam gaji kehidupan wajar perlu dijadikan panduan dalam usaha mengeluarkan kumpulan ini daripada kelompok miskin bandar.

Gaya hidup

“Islam sentiasa mementingkan keadilan sosial dan keseimbangan ekonomi di antara anggota masyarakat. Justeru, keperluan asas kepada kumpulan ini tidak boleh diberikan secara tangkap muat sahaja,” katanya.

Pakar Ekonomi, Jabatan Monetari, Bank Negara Malaysia, Farina Adam Khong menjelaskan, pada praktiknya, gaji kehidupan wajar berbeza daripada gaji minimum dalam beberapa aspek.

Dari segi kemampuan mencapai taraf hidup tertentu, gaji kehidupan wajar bukan sekadar memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian, dan tempat berlindung.

Malah ia dapat memenuhi gaya hidup melebihi tahap minimum yang boleh diterima oleh masyarakat, termasuk perbelanjaan membeli alat teknologi terkini atau melancong.

“Dari segi sosial, tahap minimum yang boleh diterima termasuk mampu menziarahi keluarga dan rakan semasa musim perayaan, berupaya membeli hadiah sekali-sekala untuk ahli keluarga, misalnya semasa sambutan hari jadi. Ia nampak kecil tetapi memberi impak tersendiri.

“Selain membolehkan pekerja mendapat taraf hidup yang minimum yang boleh diterima, gaji kehidupan wajar boleh memberi kesan positif kepada ekonomi yang lebih meluas. Ini termasuk pengurangan dalam kadar pusing ganti pekerja dan peningkatan semangat dan produktiviti pekerja,” ulasnya.

Begitupun, beliau menegaskan, pemberian gaji seharusnya melihat kepada pertumbuhan produktiviti. Jika kedua aspek itu tidak selari ia akan menyebabkan inflasi.

Ini kerana, peningkatan atau penambahbaikan produktiviti akan menghasilkan output nilai lebih tinggi bagi membolehkan majikan mampu membayar gaji wajar kepada pekerja mereka.

Pendidikan kewangan

Sementara itu, pensyarah Jabatan Ekonomi, Kulliyah Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof. Madya Dr. Mohd. Nahar Mohd. Arshad berkata, pendidikan kewangan amat penting terutamanya dalam konteks masyarakat Malaysia yang kebanyakannya terjebak dengan hutang.

Menurutnya, prinsip paling mudah dipraktikkan ialah peraturan satu per tiga iaitu satu per tiga bahagian gaji masing-masing dipecahkan kepada perbelanjaan biasa, komitmen hutang dan satu per tiga terakhir untuk simpanan dan pelaburan.

Dalam pada itu tambahnya, dalam konteks Malaysia, kerajaan perlu mempunyai dasar konsisten mengenai pemberian gaji minimum. Iaitu peningkatan gaji minimum mungkin boleh disemak dan ditetapkan dari satu tahun ke tahun atau dua tahun sekali bagi melihat jangkaan perubahan atau kenaikan.

“Misalnya, setiap tahun sekiranya berlaku kenaikan RM50 atau RM100 ia akan memberi peluang kepada majikan untuk bersedia pada kenaikan yang telah dijangkakan. Ia sebenarnya merupakan kaedah yang telah diamalkan oleh negara maju,” jelasnya.

Persidangan tersebut turut dibarisi moderator, Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (Emas) Ikim, Muhammad Hisyam Mohamad, Pegawai Penyelidik Kanan Emas Ikim, Nur Syahidah Abdul Jalil dan Felo Kanan Emas Ikim, Siti Fatimah Abdul Rahman.