Pihak polis Malaysia melalui ke­nyataan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Se­nior Asisten Komisioner, Fadzil Ahmat membe­ritahu, Jong-nam dipercayai telah diserkup dengan kain yang mengan­dungi cecair kemungkinan beracun.

Selepas diserkup dengan kain yang mempunyai sejenis cairan beracun dari arah belakang, mang­sa telah meronta-ronta meminta tolong dan terus mendapatkan bantuan penyambut tetamu di KLIA2 kerana matanya berasa pedih, namun mangsa mening­gal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Berdasarkan analisis awal oleh Pusat Analisis Senjata Kimia, Jabatan Kimia Malaysia, Jong-nam percayai dibunuh de­ngan menggunakan sejenis ce­­cair ki­­mia iaitu Ethly S-2 Dii­­sopropylaminoethyl Methyl­phosponothiolate atau VX Nerve Agent (agen saraf VX) yang dikategorikan sebagai senjata ki­mia dalam Akta Konven­syen Senjata Kimia Malaysia 2005 dan Konvensyen Senjata Kimia 1997.

Bertitik tolak daripada insiden tersebut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Bahagian Persenjataan dalam Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi PDRM telah menubuhkan unit khas dikenali sebagai Chemical, Biological, Radiological, Nutclear dan Explosive (CBRNe) sebagai langkah berdepan dengan ancaman melibatkan penggunaan agen bahan kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan.

Ancaman baharu

Menurut Penolong Pengarah Persenjataan, Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi PDRM, Asisten Komisioner Mohammad Rafee Abu Bakar, unit CBRNe merupakan satu unit baharu yang ditubuhkan dan berpangkalan di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

“Unit CBRNe terdiri daripada kekuatan tiga skuadron dengan setiap skuadron mempunyai lima anggota.

“Mereka terdiri daripada se­orang pegawai berpangkat Asisten Superitendan, seorang Inspektor dan tiga pegawai rendah polis se­perti Sub-Inspektor, Sarjan Mejar dan Koperal,” ujar Mohammad Rafee.

Mohammad Rafee yang ditemui kru Panorama di Pu­sat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, Kuala Lumpur baru-baru ini memberitahu, salah satu sebab unit CBRNe ditubuhkan kerana memi­kirkan ancaman serangan melibatkan agen kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan yang boleh berlaku pada masa akan datang.

Kata Mohammad Rafee, pada masa akan datang, negara turut berdepan dengan ancaman se­rangan menggunakan bahan ki­­mia, biologi, radiologi dan nuk­lear (CBRN) selain serangan menggunakan senjata lain seperti bom.

“Kalau kita lihat secara glo­bal, ancaman menggunakan bahan kimia telah berlaku seperti ­pem­bunuhan ke atas Jong-nam,” ujar­nya.

Berbicara lebih lanjut, Mo­hammad Rafee memberitahu, ba­dan beruniform lain seperti bomba dan Ang­katan Tentera Malaysia (ATM) juga memiliki unit serupa seperti CBRNe iaitu CBRN.

Cuma yang membezakan, bomba tidak mempunyai bahagian pemusnah bom­ atau explosive yang me­libatkan bahan peledak.

Sebagai satu unit baharu, CBRNe berhasrat untuk mewujudkan pa­sukan itu yang lengkap di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurut Pegawai Turus Persenjataan, Deputi Superin­tendan Rayner Jaunis, buat masa ini unit CBRNe cuma ditempatkan di Bukit Aman untuk menangani ancaman agen CBRNE di seluruh negara.

“Untuk memantapkan lagi pergerakan anggota dalam unit CBRNe, setiap pegawai dan anggota telah diberi latihan serta kursus dengan penglibatan agensi lain,” kata Rayner.

Kelengkapan dan latihan

Antara kursus yang dihadiri pegawai dan anggota unit CBRNe adalah latihan bersama Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) di bawah Kementerian Luar Negara.

Selain itu, anggota unit CBRNe turut menjalani latihan bersama pihak bomba selain dengan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di samping latihan di luar negara seperti di Sepanyol, Sri Lanka dan Croatia.

Dari segi kelengkapan, unit CBRNe turut mempunyai kenderaan robotik multifungsi kawalan jauh buatan Croatia, alat pengesan Chemical Detector AP4C serta Radiolo­gical Detector jenis polimaster yang berupaya untuk mengesan kehadiran agen-agen ki­mia, bio­logi, radioaktif dan bahan letupan.

Sama seperti persediaan untuk memusnahkan bom, unit CBRNe juga mempunyai sut khas yang dipanggil Personal Protective Equipment (PPE) Level A berwarna jingga dan sut CBRN berwarna hitam.

Menurut Inspektor Persenjataan (CBRNe) Skuadron 2, Inspektor Suparman Abbas Rauf, PPE Level A merupakan sut perlindungan tahap tertinggi yang digunakan kerana ia kedap udara dan menggunakan bekalan udara sendiri dalam bentuk tong gas (Self Contained Breathing Apparatus) yang digunakan oleh operator untuk ancaman yang melibatkan kehadiran agen tidak diketahui (unknown).

Setiap tong yang digunakan itu pula mampu membekalkan oksigen antara 30 sehingga 45 minit bergantung kepada bagaimana operator itu mengawal perasaan dan pernafasan mereka.

“Sut PPE Level A ini mempunyai jangka hayat antara enam hingga tujuh tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun,” ujar Suparman.

Bagi sut CBRN, ia diperbuat daripada material karbon aktif dan hanya menggunakan topeng kese­lamatan daripada jenama Avon C50.

Menjelaskan lebih lanjut, Suparman memberitahu, ancaman dalam bentuk kimia itu boleh datang dalam pelbagai bentuk sama ada cecair, gas atau pepejal.

Cabaran besar

Menurut Suparman, sifat kimia itu sendiri tidak boleh dilihat de­ngan mata kasar, namun keha­diran agen kimia itu boleh dikesan dengan menggunakan peralatan Chemical Detector AP4C atau Radiological Detector.

“Apabila terdapat kesan agen ki­mia atau radioaktif, alat pengesan itu akan mengeluarkan isyarat sama ada dalam bentuk nyalaan lampu, audio, visual atau bunyi,” ujarnya.

Tambahnya lagi, unit CBRNe hanya mampu mengenal pasti ancaman kimia yang didaftarkan di bawah Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW), iaitu agen-agen kimia yang selalu digunakan oleh penyerang di seluruh dunia.

Antara agen kimia yang didaftarkan di bawah OPCW dan hanya boleh dikesan menggunakan peralatan pengesan ialah Nerve Agent, Blood Agent, Blister Agent, Chocking Agent dan Incapacitating Agent.

Setiap agen kimia tersebut sebenarnya mempunyai finger print tersendiri dan ia boleh dikesan termasuk untuk mengetahui jumlah kepekatannya oleh memori pada alat pengesan.

Lokasi yang tercemar akan dibahagikan kepada tiga zon iaitu hot zone, warm zone serta cold zone dan ia perlu dilalui oleh anggota bertugas ketika masuk atau keluar daripada lokasi tersebut.

Hot zone merupakan kawasan yang telah dikenal pasti mempunyai tahap bacaan agen CBRN tertinggi dan ia perlu dikawal dengan baik oleh anggota dengan memindahkan orang ramai ke tempat yang lebih selamat.

Warm zone pula adalah kawasan yang dibuat dalam bentuk laluan khas dan perlu dilalui oleh anggota bersama peralatan yang dibawa untuk dinyahcemarkan selepas keluar daripada kawasan hot zone.

Cold zone pula adalah kawasan selamat yang menem­patkan unit bantuan lain seperti pihak hospital untuk memberikan rawatan jika berlaku sebarang kecemasan.