Pemain memperoleh markah dengan memukul sebiji bola putih kecil buatan plastik atau kayu ke dalam gawang pasukan lawan menggunakan sebatang kayu pemukul yang berpemegang panjang.

Lazimnya, itu yang diketahui oleh kebanyakan orang apabila disebut tentang polo. Namun di Afghanistan, sukan tradisional Buzkashi itu agak unik.

Ia membawa maksud menyeret kambing dalam bahasa Parsi memerlukan penunggang kuda merebut bangkai kambing seberat 50 kilogram.

Pemain kemudiannya perlu menjatuhkan bangkai tanpa kepala itu ke dalam sebuah lingkaran yang disebut Lingkaran Keadilan bagi memperoleh markah.

Seperti penunggangnya, kuda yang digunakan perlu dilatih menjadi berani, kuat dan pantas untuk bersaing dalam pertandingan lasak yang menjadi kegemaran lelaki terutama di utara Afghanistan.

Presiden Persatuan Buzkashi Wilayah Balkh, Mohammad Sharif Salahi berkata, hanya satu daripada 100 kuda berpeluang beraksi dalam Buzkashi.

Menurut Mohammad Sharif yang mewarisi perniagaan kuda berusia 100 tahun milik keluarganya, harga kuda berbeza mengikut jenis, kekuatan dan daya tahan ketika berdepan lawan.

“Sebagai contoh, kuda jantan jenis Jeneral Dostum boleh mencecah harga AS$17,704 (RM70,000) manakala sesetengah Marshal Fahim pula sehingga AS$25,292 (RM100,000) seekor,” katanya merujuk kepada kedua-dua jenis kuda tersebut yang mendapat nama bersempena pemimpin perang Uzbekistan yang kini tinggal dalam buangan di Turki dan bekas Presiden Afghanistan, Mohammad Qasim Fahim.

“Kuda-kuda ini dilatih untuk menghormati dan berkelakuan baik, namun jika tersalah langkah, ia mungkin membahayakan penunggang dan kuda lain.

Wilayah Balkh yang terletak di utara Afghanistan itu mempunyai lebih 150 orang pemilik kuda dengan sesetengahnya memiliki lebih daripada 400 ekor kuda.

Jumlah tersebut memadai bagi menampung sehingga 500 hingga 2,000 ekor kuda yang diperlukan bagi setiap acara pertandingan.

Sementara itu, seorang pemilik kuda, Rais Moqim menyifatkan keupayaan memiliki kuda mahal untuk pertandingan tersebut sebagai lambang kemewahan dan kekuasaan kepada pemilik.

“Semua lelaki yang berkemampuan mesti mempunyai kuda yang stabil dan penunggang untuk menghadapi peperangan ini.” katanya sambil duduk bersebelahan seekor kuda setinggi 1.9 meter.

Latihan

Dia yang merupakan seorang peniaga di Bandar Mazar-I-Sharif mempunyai 22 ekor kuda dengan setiap kuda memiliki pelatih masing-masing.

Dalam menghadapi musim Buzkashi bermula bulan November hingga akhir Mac setiap tahun, kuda akan dipaksa mengambil diet yang keras.

Setelah direhatkan sehingga gemuk dan mencapai berat maksimum sepanjang musim panas, kuda akan dilatih bersenam dengan pantas untuk membakar lemak dan kembali cergas.

Menurut Amir Khan, pelatih kuda untuk Salahi, kuda akan dilatih hingga empat jam sehari untuk menguatkan otot dua bulan sebelum musim bermula.

“Selesai latihan, kuda akan dibiarkan selama sejam sebelum dijamu dengan tujuh kilogram barli, 10 biji telur dipukul bersama segelas minyak bijan dan pisang.

“Kami memberi makan yang secukupnya supaya kuda-kuda bertenaga dan bersedia untuk Buzkashi,” katanya yang mempunyai rutin menyikat kuda setiap hari.

Dalam pada itu, pemain Buzkashi yang berasal dari Perancis, Louis Meunier berkata, setiap pembiak baka mempunyai cara dan kepercayaan masing-masing dalam memilih kuda.

“Kepercayaan itu berbeza. Di sini mungkin yang berwarna cerah atau chestnut dianggap bijak, namun di tempat lain kuda hitam dianggap terpantas,” ujarnya yang kini menetap di Jordan.

Berbeza dengan Habibullah, penunggang Buzkashi berusia 82 tahun dari Kabul itu berkata, dia tidak peduli sama ada ia berwarna putih atau hitam. Baginya, kuda itu sendiri harus mempunyai keberanian. – AFP