Muhammad Sabri Zulkifli tidak kekok berjalan di celah-celah orang ramai yang kebanyakannya berpakaian serba moden. Dia dan kumpulannya daripada Aktivis Busana Melayu hampir setiap minggu berbusana Melayu lengkap bagi membudayakan kembali pemakaian tradisi orang Melayu itu.

Lagak mereka umpama seorang pendekar yang kuat semangat kemelayuannya.

“Saya mula berjinak-jinak berbusana Melayu sejak tahun 2008. Daripada hanya memakainya pada acara tertentu, kini saya memakai busana Melayu setiap minggu ketika solat Jumaat.

“Saya memiliki 13 tanjak, beberapa aksesori, bengkung (2) dan keris (3) dengan kesemuanya bernilai lebih RM8,000. Rasa bangga menyarung pakaian lambang orang Melayu ini membuatkan saya tidak kisah dengan kritikan dan kutukan orang ramai,” katanya memiliki perniagaan pencetakan dan grafik di Kajang, Selangor ketika ditemui K2 baru-baru ini.

Aktivis Busana Melayu ditubuhkan pada Ogos 2011 oleh lima orang sahabat, namun mula aktif setahun kemudian dengan mengadakan aktiviti berjalan santai di sekitar ibu kota dengan memakai sepersalinan busana Melayu serba lengkap atau pakaian patut Melayu.

Misi mereka adalah untuk memartabatkan pemakaian busana tradisional Melayu ke peringkat tertinggi, memelihara adab dan adat pemakaian, memberi pemahaman kepada masyarakat tentang tingginya nilai budaya warisan Melayu serta merevolusikan pemakaian tanjak bersesuaian dengan kemajuan dengan memelihara pantang-larangnya.

Perjuangan

Busana Melayu lengkap bermaksud memakai tanjak, baju Melayu teluk belanga, baju kutang iaitu baju seperti singlet, seluar mengan, potongan Cina atau gunting Aceh, bersamping dan bengkung. Selain itu, terdapat pakaian paling lengkap dikenali sebagai busaneka iaitu menggayakan persalinan itu bersama aksesori seperti pontoh yang dipakai pada lengan.

Perjuangan tanpa mengenal lelah dan putus asa itu kian membuahkan hasil apabila semakin ramai masyarakat Melayu di negara ini tampil di khalayak dengan berbusana lengkap.

Ia sampai kemuncaknya bulan Syawal lalu apabila pemakaian busana Melayu antara pilihan ramai jejaka ketika berkunjung di rumah rakan dan saudara-mara termasuk solat sunat Aidilfitri. Tidak kurang juga memakainya ketika menghadiri jamuan hari raya.

Disebabkan perkembangan positif tersebut, Aktivis Busana Melayu ingin menekankan adap dan pantang-larang dalam pemakaian busana Melayu, sekali gus mengangkat kembali pakaian tradisi orang Melayu itu.

Presidennya, Shahrul Fadzly Mohd. Zainal, 33, berkata, kempen pertama yang diadakannya adalah pada 8 April 2012 dengan keluar berjalan-jalan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

“Kami bermula dengan lima orang menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) dari Amcorp Mall, Petaling Jaya ke Bukit Bintang. Kami bersiar-siar di beberapa buah kompleks beli-belah bagi memperkenalkan busana Melayu yang begitu asing dalam kalangan masyarakat. Program ini kami namakan Anak Melayu Keluar Jalan-Jalan.

Tumpuan

“Gelagat kami menjadi tumpuan ramai termasuk pelancong asing yang tidak melepaskan peluang bergambar. Mereka berasa pelik melihat pakaian kami. Bulan berikutnya, jumlah kami meningkat kepada 25 orang,” katanya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Ketika ditemui di Semenyih, Selangor baru-baru ini, Shahrul Fadzly yang berpakaian busana Melayu lengkap bersama aksesori ternyata tegas dengan prinsipnya dalam mempertahankan pakaian tradisi itu termasuk mengutamakan larangan pemakaiannya.

Katanya, di alam Melayu, pemakaian tanjak atau busana dalam kalangan rakyat ada larangan tertentu seperti tidak boleh berwarna kuning zafran, kuning gading dan putih susu.

“Larangan pakaian kuning zafran yang seakan-akan warna kuning pakaian sami Buddha ini selari dengan hadis Riwayat Muslim yang menyatakan: bahawasanya Abdullah bin Amru bin al-As berkata: Rasulullah saw pernah melihat aku memakai dua potong pakaian yang dicelup warna kuning, lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya ini (pakaian berwarna kuning) adalah pakaian orang-orang kafir, maka janganlah kamu memakainya,” jelas bapa kepada tiga orang anak itu. 

Bagi posisi kepala kain samping pula, bahagian samping berbunga penuh turut membawa maksud tertentu.

Antaranya, kepala kain di hadapan bermaksud anak teruna atau dara, kepala kain sebelah kanan membelit ke belakang bermaksud lelaki dan berkahwin, kepala kain sebelah kiri membelit ke belakang bermaksud perempuan berkahwin, kepala kain sebelah kanan membelit ke hadapan bermaksud duda serta kepala kain sebelah kiri membelit ke hadapan bermaksud janda.

Sejarah

Samping yang dipakai bawah paras lutut pula membawa maksud lelaki berkahwin, lelaki duda pula perlu memakai samping di paras lutut, manakala lelaki bujang memakai samping di atas lutut.

Meskipun, pada peringkat awalnya berdepan kutukan orang ramai, Shahrul Fadzly tidak pernah luntur semangatnya bahkan gigih memperkenalkan pemakaian busana Melayu lengkap dalam kalangan persatuan silat.

Usahanya membuahkan hasil apabila Program Rumah Terbuka Anak Melayu & Kempen Revolusi serta Transformasi Tanjak yang diadakan di Ladang Alam Warisan, Seri Menanti, Negeri Sembilan pada 8 September 2012 mendapat sambutan luar biasa dengan dihadiri kira-kira 3,000 pengunjung yang sebahagian besarnya memakai busana Melayu lengkap berkeris dan tanjak.

“Program ini mencatat sejarah tersendiri apabila dicatatkan di dalam Malaysia Book of Records. Tanjak Solok Timbo dipilih menjadi ikon kempen ini sebagai simbolik perasmian yang diadakan di Negeri Sembilan. Tanjak ini diperbuat daripada kain broked sulam bersaiz 20 x 20 kaki persegi dengan menggunakan tikar mengkuang sebagai pelapik di bahagian dalam tanjak,” katanya yang juga guru Penchak Pukulan 13.

Shahrul Fadzly menyasarkan lebih ramai orang Melayu memakai tanjak sebagai hiasan tutup kepala.

Sementara itu, Edie Zahari Ahmad Aris, 43, mula memakai busana Melayu pada tahun 2000.

“Saya sudah boleh mengikat tanjak sendiri yang dipelajari daripada rakan-rakan yang mempunyai minat berbusana Melayu. Rasa bangga menyarung busana Melayu ini membuatkan saya tidak kisah apa yang dikatakan orang sekeliling.

“Diharapkan busana Melayu ini akan terus menarik perhatian orang Melayu, sekali gus kembali menyarungnya tidak kira pada majlis tertentu atau sebagai pakaian harian,” katanya yang merupakan jurutera audio.

Menurut Naib Presiden kumpulan itu, Mohd. Saufi Azmi, 37, keahlian Aktivis Busana Melayu dibuka kepada umum dan mereka yang berminat untuk turut serta boleh melayari Facebook Aktivis Busana Melayu.