Ia berasal dari Australia dan pertama kali dijumpai oleh John Gould di habitat terbesarnya iaitu di padang Sabana, Australia Utara.

Burung pipit dengan warna bulu yang berbeza pada setiap bahagian tubuh itu memiliki corak dan warna bulu yang sangat menarik, sekali gus menyebabkan ia digilai oleh peminat burung.

Bagi mendapatkan warna dan corak bulu berlainan, ia boleh dikacukkan dengan burung Gould Amadin lain yang mempunyai warna dan corak berbeza.

Pasangan induk mampu hidup sehingga mencapai usia belasan tahun manakala umur matang untuk dibiakkan ialah antara lapan bulan hingga tujuh tahun.

Burung Gould Amadin suka membuat sarang di tempat yang gelap, tertutup dan tersembunyi seperti lubang pada pokok ataupun kotak kayu yang ditebuk lubang.

Seperti spesies burung pipit lain, haiwan itu suka hidup berkelompok atau secara berpasangan. Oleh itu, sebaiknya disediakan sangkar yang berukuran agak besar jika ingin memeliharanya.

Ia makan biji-bijian yang kering dan mengandung sedikit air.

Secara umum, Gould Amadin jantan mempunyai bulu dada yang warna lebih terang berbanding bulu burung betina yang gelap dan agak kusam.

Daripada aspek pembiakan, Gould Amadin betina bertelur sebanyak empat hingga lapan biji pada satu-satu masa dan akan mulai mengeram setelah telur keempat diletakkan dalam sarangnya.

Proses pengeraman berlangsung selama 16 hari sebelum ia menetas. Setelah berumur 22 hingga 25 hari, anak-anak burung itu mula keluar daripada sarangnya, namun mereka tetap mendapatkan suapan makanan daripada kedua-dua ibu bapanya selama sebulan.

Menariknya, burung cantik itu jarang tidur pada waktu siang. Namun, jika tidur, kebiasaannya ia akan mengangkat salah satu kaki.