Membayangkan kehidupan yang lebih baik dengan mencari rezeki di Qatar mungkin bukan lagi suatu mimpi indah buat kira-kira dua juta tenaga buruh asing yang kebanyakannya datang dari negara miskin.

Dokumentari bertajuk Trapped in Qatar yang disiarkan stesen penyiaran awam Jerman, Westdeutscher Rundfunk Koln (WDR) menyingkap rahsia hitam di sebalik kemegahan negara tersebut yang selama ini menjadi impian pendatang asing untuk merubah nasib diri dan keluarga.

Kini ia seolah-olah menjadi ‘neraka’ buat segelintir buruh asing yang menjadi mangsa penganiayaan.

Dokumentari tersebut yang dibongkar oleh wartawan WDR, Benjamin Best secara sembunyi kerana bimbang bakal dihalang pihak berkuasa tempatan negara Teluk itu, malah dia bersama dengan beberapa orang kru produksi tidak mendedahkan identiti sebagai pengamal media sejurus tiba di ibu negara Qatar, Doha.

Qatar, sebuah negara yang terletak di bahagian timur laut Semenanjung Arab kini sedang giat membuat persiapan selepas terpilih menjadi tuan rumah bagi kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2022.

Di sana sini, kerja-kerja pembinaan infrastruktur dan stadium giat dibangunkan dengan kos menelan berbilion ringgit dengan kerahan membabitkan pekerja buruh asing dari Nepal, Bangladesh dan India.

Namun, di sebalik kemegahan dan keterujaan menjadi tuan rumah Piala Dunia, seramai 1,400 orang buruh asing terutamanya dari Nepal mati sejak 2014 dengan purata kira-kira 110 nyawa setahun kerana bekerja keras untuk menyiapkan infrastruktur sukan terulung dunia itu..

Mangsa eksploitasi

Bahkan, berdasarkan pendedahan yang dibuat oleh dokumentari Trapped in Qatar, kerajaan Nepal sebenarnya yakin angka kematian warganegaranya adalah lebih tinggi daripada itu.

Sebahagian besar daripada mereka mati sewaktu bekerja membina dan membaik pulih tujuh buah stadium yang bakal digunakan semasa Piala Dunia itu nanti.

Bahkan, laporan oleh Gabungan Kesatuan Sekerja Antarabangsa (ITUC) mengandaikan, jumlah korban tenaga buruh asing di negara terbabit boleh mencecah hingga 4,000 orang sebelum Piala Dunia.

Atas maklumat yang diperoleh, Best telah membuat tinjauan sendiri ke pasar Latia yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari pusat bandar Doha yang menjadi lokasi tumpuan bagi buruh-buruh asing itu berkumpul.

Situasi terdesak seakan memaksa seorang buruh dari Nepal, Dil Prasad untuk membuka mulut dan mengadu masalah sebenar yang dihadapi jutaan buruh asing di sana.

Menurut Prasad, keadaan yang menimpa dirinya serta 125 orang rakan yang lain umpama seperti berada di neraka. Tanpa belas kasihan, dia telah menjadi mangsa eksploitasi tenaga buruh di negara yang dicanang sebagai paling kaya di dunia itu.

“Setiap hari kami hanya makan roti dan air kosong kerana tidak mampu membeli makanan gara-gara tidak dibayar gaji oleh majikan sejak November tahun lalu,” kata Prasad yang dijanjikan gaji sebanyak kira-kira 1,395 Qatari Riyal (RM1,597) sebulan.

Tiada pampasan

Selepas beberapa bulan menunggu dengan penuh harapan, Prasad serta beberapa orang rakan sepakat untuk melakukan mogok bagi menuntut bayaran gaji tertunggak, namun siapa sangka, dia bersama beberapa buruh lain telah diberhentikan kerja dan disuruh mencari pekerjaan dengan majikan lain tanpa dibayar pampasan.

Lebih menyedihkan, buruh-buruh asing yang teraniaya itu telah membuat aduan di pejabat buruh tempatan, malah turut membuat aduan di pejabat kedutaan Nepal di sana gara-gara pasport mereka tidak dipulangkan majikan, namun hampa.

Seorang lagi pekerja buruh dari Nepal, Adi Gurung memberitahu, ramai rakan senegaranya meninggal dunia sama ada jatuh sakit atau kemalangan di tempat kerja semasa membina stadium dan mereka tidak dibayar pampasan langsung.

“Saya mempunyai isteri serta dua orang anak di Nepal dan sehingga kini sudah lapan bulan saya tidak dapat mengirimkan wang ke kampung kerana tidak dibayar gaji,” kata Gurung.

Punca kematian ribuan tenaga buruh warga Nepal itu berpunca akibat pelbagai situasi termasuklah dipaksa tinggal di asrama imigran yang terlalu sesak hingga 200 orang dalam satu kediaman, selain berdepan dengan cuaca panas mencecah 40 darjah Celsius. Ada dalam kalangan mereka mati sewaktu sedang tidur kerana sesak nafas.

Usaha menghalang

Punca kematian paling utama adalah disebabkan kemalangan yang rata-ratanya berlaku di tapak pembinaan stadium akibat terjatuh dan ditimpa objek pembinaan kerana faktor pengabaian aspek keselamatan terhadap para pekerja.

Seorang wartawan di Kathmandu, Dinesh Regimi yang pernah bermastautin di Qatar selama tiga tahun memberitahu, keadaan dan layanan terhadap buruh di negara tersebut tidak banyak berubah sehingga hari ini sejak Doha diumumkan sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022 hampir sedekad lalu.

“Saya pernah berada di negara itu (Qatar) dan melihat sendiri bagaimana saudara senegara saya sendiri bekerja keras sebagai buruh pembinaan dengan harapan dapat membantu keluarga di kampung.

“Namun hak mereka seperti gaji yang dijanjikan langsung tidak dibayar, malah mereka terpaksa tinggal di kediaman sempit tanpa kelengkapan keperluan asas yang mencukupi,” katanya kepada Arab News.

Pada tahun 2017, Regimi pernah berjumpa dengan keluarga salah seorang pekerja buruh yang maut akibat terjatuh sewaktu menyiapkan salah sebuah stadium yang bakal digunakan semasa Piala Dunia FIFA 2022 nanti.

Mangsa, Kishore Tamang dari wilayah Bara telah pergi ke Qatar pada 2015 dengan harapan untuk mencari rezeki membantu menyelesaikan hutang keluarga, namun dia meninggal dunia akibat kemalangan di tempat kerja dan tidak dibayar walau sesen pun pampasan oleh majikan.

Walaupun kerajaan Nepal berusaha menghalang rakyatnya daripada bekerja di Qatar, masih ramai yang berharap dapat mencari pekerjaan dengan gaji lebih baik di sana.

Pegawai Jabatan Imigresen Nepal memberitahu Arab News, pihaknya sedar tentang keadaan dan kepayahan yang menimpa warga mereka di Qatar, malah telah cuba untuk tidak menggalakkan rakyat mereka daripada mencari pekerjaan di negara terbabit.