Ia memandangkan perkampungan yang terletak kira-kira 70 kilometer dari ibu kota Tokyo itu menghadap Lautan Pasifik.

Keadaan panas dan berangin tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh Tetsuya Masaki untuk melakukan kerja-kerja pengeringan daging paus.

Paus yang ditangkap itu adalah paus Minke atau Rorqual Kecil yang merupakan mamalia laut jenis paus balin.

Daging paus yang dihiris nipis disusun dengan teliti oleh lelaki berusia 32 tahun itu di atas bingkai-bingkai kayu berjaring.

Proses pengeringan tersebut dilakukan bagi menghasilkan jerky iaitu hirisan daging paus kering bersalut garam bagi membolehkan ia disimpan lebih lama.

Masaki merupakan salah seorang daripada puluhan pekerja di kilang Gaibo Hogei yang terlibat dalam industri pemprosesan daging paus.

“Ikan paus merupakan sebahagian daripada kehidupan masyarakat di Minamiboso. Saya mengakui jumlah paus yang diproses semakin berkurang.

“Namun, ia masih diperlukan oleh penduduk di sini terutamanya ketika musim panas. Daging paus sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada pengusaha restoran susyi tempatan,” katanya kepada AFP baru-baru ini.

Kilang Gaibo Hoge sentiasa menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong yang ingin melihat dengan lebih dekat proses melapah daging paus.

Daging paus yang dilapah digunakan bagi memenuhi permintaan restoran serta dijadikan sumber minyak bagi lampu, sabun dan baja.

Bulan lalu, Jepun telah memutuskan untuk menarik diri daripada Suruhanjaya Pemburuan Paus Antarabangsa (IWC). Pengunduran itu mula berkuat kuasa pada 30 Jun ini.

Komersial

IWC ditubuhkan pada tahun 1946 bagi memulihara dan menguruskan populasi ikan paus di seluruh dunia. Suruhanjaya berkenaan juga telah memperkenalkan moratorium penangkapan ikan paus komersial pada 1986.

Tindakan berkenaan membuka pintu seluasnya kepada negara Matahari Terbit itu menyambung semula aktiviti pemburuan ikan paus secara komersial sebagai sebahagian daripada warisan kebudayaannya.

Jurucakap kerajaan Jepun, Yoshihide Suga berkata, pemburuan paus komersial akan dilakukan di perairan Jepun.

“Kami tidak akan memburu paus di perairan Antartika atau Hemisfera Selatan,” katanya.

Keputusan itu disambut baik oleh Presiden Gaibo Hogei, Yoshinori Shoji, 57, yang menganggap langkah menarik diri daripada IWC sangat tepat meskipun sudah terlambat.

Setiap tahun, kilang milik Shoji memproses sekurang-kurangnya 26 ekor paus gergasi yang tidak dilindungi oleh IWC, namun tertakluk kepada kuota domestik Jepun.

“Kami telah bersiap sedia untuk meneruskan pemburuan ikan paus secara komersial selepas penarikan diri Jepun daripada IWC,” katanya.

Menurut sejarah, masyarakat Jepun telah memburu ikan paus sejak berabad-abad lamanya. Ia bagi mendapatkan sumber protein selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Menjelang tahun 1947, daging paus telah menguasai pasaran Jepun sebanyak 50 peratus berbanding daging-daging lain. Kini, jumlahnya hanya 0.1 peratus.

Malah, daging paus telah disenaraikan dalam program pemakanan di sekolah kerana dipercayai mampu meningkatkan nutrien penting kanak-kanak.

Hasil daripada desakan beberapa negara Barat, Jepun akhirnya telah menyertai IWC pada tahun 1987.

Selaras dengan penyertaan dalam IWC, misi pemburuan paus secara komersial telah dihentikan sepenuhnya oleh Jepun.

Meskipun telah bersetuju dengan perjanjian IWC, namun Tokyo tetap dikritik disebabkan isu penangkapan beratus-ratus paus setiap tahun kononnya untuk tujuan penyelidikan.

Ia bermaksud, paus hanya ditangkap untuk tujuan penyelidikan saintifik dan dagingnya kemudian boleh dijual untuk dimakan.

Jepun telah menangkap antara 200 hingga 1,200 paus setiap tahun.

Dianggarkan sebanyak 333 ekor ikan paus dibunuh sewaktu ekspedisi selama empat bulan dijalankan oleh Jepun yang berakhir Mac tahun lalu. Menurut laporan IWC, 122 daripadanya ialah ikan paus bunting.

Kebanyakan isi ikan paus yang ditangkap oleh para penyelidik Jepun berakhir di atas meja makan malam.

Kaji selidik

Sementara itu, hasil kaji selidik oleh stesen televisyen tempatan, NHK menunjukkan 53 peratus orang menyokong langkah Jepun keluar dari IWC manakala 37 peratus menentang.

Seorang suri rumah, Sadae Nakamura, 67, berkata, tindakan negara berkenaan keluar daripada IWC adalah sebahagian permainan pemimpin politik tempatan.

“Saya tidak tahu membezakan antara daging paus penyelidikan dan komersial. Ini semua berlaku atas dasar politik. Ia melangkaui keputusan orang seperti saya,” katanya.

Kebanyakan ahli parlimen Parti Demokrat Liberal pimpinan Perdana Menteri, Shinzo Abe merupakan penyokong kuat kepada dasar pemburuan ikan paus.

Malah, Abe sendiri berasal dari kawasan yang popular dengan aktiviti memburu ikan paus. Abe berpendapat bahawa paus merupakan sebahagian daripada tradisi masyarakat Jepun.

Penarikan diri daripada IWC membolehkan nelayan tempatan menangkap ikan paus sekali gus memberi peluang kepada generasi baharu menikmatinya.

Penarikan diri Jepun telah mendapat kritikan hebat daripada negara-negara yang melindungi spesies mamalia berkenaan iaitu Australia, New Zealand dan Kanada.

Kecewa

Kerajaan Australia menerusi Menteri Alam Sekitar, Melissa Price mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sangat kecewa dengan Jepun dan mendesak negara berkenaan menimbang semula penarikan diri tersebut.

“Australia sentiasa tegas dalam menentang semua bentuk perdagangan ikan meskipun untuk tujuan saintifik,” katanya.

Turut senada ialah New Zealand yang menggesa Jepun kekal dalam IWC menerusi desakan oleh Menteri Luar Negeri, Winston Peters.

“Amalan memakan daging ikan sudah ketinggalan zaman dan tidak perlu diteruskan. Kami terus berharap Jepun akan kembali ke IWC dan menghentikan penangkapan ikan paus,” jelasnya.

Tindakan Tokyo itu turut mendapat kecaman daripada kumpulan pencinta alam, Persatuan Antarabangsa Humane yang menganggap Jepun bakal menjadi lanun paus.

Pada masa sama, kumpulan berkenaan menyuarakan kebimbangan terhadap sumber kewangan IWC memandangkan Jepun merupakan penyumbang terbesar kepada suruhanjaya itu.

Pengarah Eksekutif Greenpeace Jepun, Sam Annesley menegaskan, keputusan Tokyo bertentangan dengan masyarakat antarabangsa.

“Tokyo telah lama mengeksploitasi ikan paus atas dasar penyelidikan. Kini, mereka cuba membuktikan jumlah ikan paus cukup banyak untuk pemburuan komersial,” katanya.

Tindakan Jepun menarik diri daripada Suruhanjaya Pemburuan Paus Antarabangsa bakal membuka ruang kepada nelayan untuk memburu ikan paus secara komersial, namun ia mendapat tentangan masyarakat antarabangsa.