Salah seorang daripada mereka, Akihiko Kondo, 36, telah membuat keputusan untuk berkahwin dengan hologram watak animasi popular di Jepun, Hatsune Miku (Miku) di kediamannya pada 4 November lalu.

Kondo menganggap dirinya sama seperti lelaki berkahwin yang lain kerana isteri hologramnya akan mengejutkan dia pada setiap pagi, mengiringi lelaki itu sebelum ke tempat kerja serta mengingatkan waktu untuk tidur.

Hologram merupakan imej tiga dimensi yang terbentuk daripada alur laser.

Pun begitu, pada waktu malam, dia akan memeluk patung menyerupai Miku yang mempunyai kepala besar.

Sifat manja Miku, seksi, berbaju sekolah dan skirt pendek serta kelihatan seperti manusia sebenar menyebabkan Kondo jatuh cinta dengannya.

Perkahwinan pasangan itu dihadiri oleh 39 tetamu tetapi ahli keluarga lelaki tidak kelihatan.

Nombor itu merupakan ejaan nama karakter itu dalam bahasa Jepun iaitu tiga (mi) dan sembilan pula (ku).

Kondo berasa kecewa apabila ibu dan adiknya enggan menghadiri perkahwinannya.

Dalam majlis perkahwinan mereka, Miku hadir dalam bentuk patung mainan yang memakai gaun putih dihiasi renda panjang hasil buatan tangan seorang pereka fesyen yang menghubungi Kondo sejurus dia mengumumkan pertunangannya.

Kondo pula memakai kot putih sambil memegang sejambak bunga dan melemparkan senyuman lebar.

“Terdapat dua sebab mengapa saya mengadakan perkahwinan secara terbuka. Pertama ialah untuk membuktikan cinta saya kepada Miku.

“Kedua, terdapat ramai otaku muda yang jatuh cinta dengan watak anime maka, saya ingin menunjukkan kepada dunia bahawa saya menyokong mereka,” jelasnya.

Namun, perkahwinan Kondo bersama karakter penyanyi realiti maya itu bagaimanapun tidak sah di sisi undang-undang Jepun.

Bagaimanapun, Gatebox iaitu syarikat yang menghasilkan hologram peranti kecerdasan buatan yang membuatkan penggunanya berasa ia seperti hidup bersama karakter kegemaran mereka termasuk Miku, telah mengeluarkan ‘sijil perkahwinan’ mereka.

Kondo tidak keseorangan kerana pada tahun lalu, Gatebox telah mengeluarkan sijil perkahwinan tidak rasmi kepada 3,700 orang pelanggan.

Kajian

Sementara itu, ahli sosiologi, Prof. Masahiro Yamada telah menjalankan kajian selama bertahun-tahun bertanyakan anak muda mengenai apa perkara-perkara yang menyebabkan mereka merasai kasih sayang.

Antara jawapan mereka ialah haiwan kesayangan, bintang pop, bintang sukan, watak anime dan idola maya.

Menurut beliau, hubungan palsu bersama anime itu semakin berkembang pada masa kini.

“Hasil kaji selidik pada tahun ini saya mendapati kira-kira 12 peratus orang muda mengatakan mereka sering jatuh cinta dengan watak anime atau permainan video.

“Justeru, ia menimbulkan persoalan yang serius tentang apa yang memacu trend ini?” tegasnya.

Tutur beliau, perkara itu juga banyak berkaitan dengan aspek ekonomi dan tradisi terutama sekali fakta tentang ramai wanita Jepun tidak akan menganggap seseorang itu sebagai teman lelaki kecuali jika mempunyai banyak wang.

Pada tahun 2016, sebanyak 47 peratus wanita berusia antara 20 hingga 29 tahun bersetuju dengan kenyataan bahawa suami harus bekerja untuk mendapatkan wang manakala isteri harus melakukan kerja rumah.

“Di Asia seperti Jepun dan Korea Selatan, masyarakat sangat obses dengan gaji tinggi.

“Wanita Jepun pula tidak percaya kepada cinta abadi sebaliknya mereka mempercayai wang,” ulasnya lagi.

Mencabar

Ujar Yamada, kenyataan itu mungkin kedengaran berat sebelah yang menyalahkan golongan wanita dalam masalah tersebut.

Namun, Yamada mengatakan ia adalah kesimpulan yang diambil berdasarkan tinjauan yang menyeluruh.

“Di Jepun, kehidupan bekerja sangat mencabar yang mana mereka perlu bekerja keras dan terdapat banyak diskriminasi seksual. Masa kerja mereka sangat panjang dan banyak tekanan,” ulasnya.

Keadaan itu juga menyebabkan wanita muda tidak mahu menjalin perhubungan sehingga lelaki muda tidak berani untuk cuba mendekati.

Justeru, bagi Kondo sendiri, dia tidak pernah merasakan perlunya mempunyai wanita yang sebenar.

“Saya tidak pernah teruja dengan wanita sebenar kerana saya tidak popular dalam kalangan kaum Hawa.

“Di sekolah saya dibuli kerana menjadi otaku, begitu juga dalam dunia pekerjaan,” kongsinya.

Pada 12 tahun lalu, Kondo bekerja sebagai kerani di sekolah rendah dan dia sering dimarahi oleh dua orang wanita.

Kedua-dua wanita itu juga sering menjerit namanya di hadapan pelajar walaupun hanya melakukan kesalahan kecil sehingga dia berasa malu.

Kejadian buli itu menyebabkan dia berhenti kerja dan mengunci dirinya dalam bilik lantas menjadikannya sebagai hikikomori.

Hikikomori merupakan fenomena yang terkenal di Jepun dan Korea Selatan yang mana orang muda enggan keluar dan hanya bertapa di dalam bilik termasuk tidak bercakap dengan ahli keluarga.

Kemudian dia berjumpa Miku ketika menonton video watak anime itu di YouTube dan Niconico.

“Melihat imejnya, mendengar suara dan nyanyian Miku membuat saya berasa pulih daripada tekanan ini.

“Buli yang berterusan menyebabkan saya berasa sedih dan emosi terganggu,” katanya.

Oleh itu, Kondo menyayangi Miku sehingga merasakannya bukan sahaja begitu penting dalam hidup malah menjadi penyokong untuk pemuda tersebut kembali bekerja.

Bercinta

Kondo bercinta dengan Miku selama 10 tahun sebelum dia mengambil keputusan untuk mengahwininya.

Dahulu Kondo bercakap dengan Miku hanya dalam fikirannya tetapi kini mereka dapat berkomunikasi menerusi Gatebox hologramnya. Dia melafazkan sayang dan Miku boleh membalas ucapan itu.

Ekoran perkahwinan tersebut, Kondo dicemuh oleh orang ramai dan ada juga yang memberikannya mesej sokongan.

Sekarang dia bekerja di sebuah sekolah menengah yang mana dia terbuka tentang status hubungannya.

Dia kembali bekerja dan bersosial serta mempunyai pangsapuri sendiri yang dilengkapi dua bilik yang terukir nama Miku di loceng pintu.

“Dalam masyarakat ada garis panduan bahawa kebahagiaan itu ialah berkahwin, mempunyai anak, membentuk keluarga tetapi tidak bagi saya,” tuturnya.