Sementara menunggu mereka menyempurnakan solat, pandangan kami tertumpu pada gantungan kertas-kertas kecil yang diletakkan pada bahagian tingkap bilik tersebut.

Tatkala membaca isi yang terkandung pada kertas putih itu, hati kami mula tercuit sayu. Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan segunung cita-cita yang ditanam oleh anak-anak kurang bernasib baik yang tinggal di sekitar Chow Kit.

Biarpun tidak mempunyai peluang untuk menuntut ilmu di sekolah seperti kanak-kanak lain, namun mereka tidak pernah kenal erti putus asa. Sebaliknya, kanak-kanak ini menjadikan BJCK sebagai platform untuk menimba ilmu bagi memastikan impian yang dipasang itu berjaya direalisasikan suatu hari nanti.

Disebabkan itu, tidak hairanlah jika setiap hari, ruang berkeluasan kira-kira 120 meter persegi ini akan dipenuhi dengan tubuh kecil yang dahagakan ilmu.

“Ini merupakan antara rutin harian yang dilalui oleh anak-anak Chow Kit yang belajar di sekolah ini.

“Setiap hari, kami akan mengumpulkan sukarelawan untuk mendidik mereka sama seperti pelajar-pelajar di sekolah harian lain. Selain akademik, kami turut lengkapkan mereka dengan pengisian rohani yang mana pelajar-pelajar ini akan bersolat secara berjemaah setiap kali tiba waktunya,” ujar Siti Rahayu Baharin, 37, yang merupakan pengasas BJCK.

Menceritakan lebih lanjut mengenai BJCK, menurut wanita yang lebih mesra dipanggil sebagai Cikgu Ayu ini lagi, BJCK ditubuhkan sekitar penghujung 2015 bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di sekitar Chow Kit untuk mendapatkan kesamarataan pendidikan secara percuma.

“Dahulu saya sering melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan untuk membantu golongan kurang bernasib baik di sini. Saya lihat kebanyakan bantuan yang dihulurkan lebih kepada makanan dan pakaian sahaja.

“Melihatkan kanak-kanak marginal ini yang terbiar dan memerlukan pendidikan, kami mengambil inisiatif untuk menubuhkan BJCK bagi memastikan tiada satu pun antara anak-anak ini tercicir dalam pelajaran.

“Dari pemerhatian kami, biarpun mereka ini kurang berpengetahuan, namun minat dan semangat yang ditunjukkan untuk mendalami ilmu sangat tinggi,” jelasnya.

Menurut Cikgu Ayu lagi, bermula dengan mengajar di atas hamparan yang dibentangkan kaki lima serta bersuluhkan lampu-lampu jalan, pertubuhan tersebut kemudian mula berpindah di sebuah ruang yang lebih selesa dan selamat sekitar tahun 2017.

Pendidikan percuma

Sebaik tikar sejadah dikemaskan, mereka mula mengambil fail peribadi masing-masing dan duduk mengikut kumpulan kecil yang ditetapkan sebelum meneruskan sesi pembelajaran.

Kesungguhan mereka untuk menuntut ilmu dapat dilihat apabila masing-masing begitu tekun mendengar dan menyalin setiap bait perkataan yang keluar daripada mulut guru-guru dan sukarelawan bertugas.

Menurut Cikgu Ayu lagi, di BJCK, mereka menawarkan pendidikan secara harian kepada kanak-kanak dari usia tujuh sehingga 18 tahun. Setakat ini, sekolah yang beroperasi dari pukul 12 tengah hari hingga 6.30 petang ini mempunyai kira-kira 47 orang pelajar.

“Dahulu BJCK ini ditubuhkan hanya sebagai pusat bimbingan kanak-kanak di sekitar Chow Kit. Bagaimanapun pada tahun 2017, kami mula menubuhkan sebuah sekolah selepas melihat adanya keperluan untuk anak-anak ini.

“Ini kerana kebanyakan mereka di sini tidak mempunyai sijil kelahiran akibat masalah kerakyatan dan faktor kemiskinan. Rata-rata ibu bapa mereka bekerja dengan bayaran gaji harian yang sangat kecil.

“Keadaan tersebut menyukarkan mereka untuk ke sekolah atas kekangan kewangan.

“Di sini, mereka boleh mendapatkan pendidikan sama seperti kanak-kanak lain di luar sana,” jelasnya.

Biarpun konsep yang diketengahkan sama seperti kebanyakan sekolah sedia ada seperti ujian bulanan dan peperiksaan, namun apa yang membezakan BJCK ialah silibus yang diajar kepada kanak-kanak tersebut.

“Tahap perkembangan akademik anak-anak ini berbeza antara satu sama lain. Ada antara mereka yang tidak pernah ke sekolah walaupun sudah berumur 16 tahun.

“Justeru subjek yang diajar perlu bersesuaian dan lebih ringan supaya mudah untuk difahami.

“Silibus yang diperkenalkan kepada kanak-kanak ini rata-ratanya relevan dengan peperiksaan International General Certificate of Secondary Education. Ini merupakan satu-satunya peperiksaan yang boleh diduduki oleh anak-anak ini,” jelasnya.

Cungkil bakat

Selain pendidikan, kewujudan BJCK ini turut memberi ruang buat kanak-kanak Chow Kit untuk mencungkil dan mengembangkan bakat terpendam yang dimiliki.

Buktinya, beberapa orang pelajar di sekolah tersebut berjaya dipilih untuk berlakon di dalam teater berjudul Mona ke Daerah M yang dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka pertengahan Disember lalu.

Lebih membanggakan, mereka turut terpilih untuk membuat persembahan Choral Speaking yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam sebuah pertandingan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Pencapaian yang digapai oleh anak-anak Chow Kit ini merupakan satu kebanggaan buat guru-guru yang secara sukarela mencurah bakti di situ.

Bagi seorang guru yang mengajar di Sekolah Dalam Hospital di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Mohd. Adli Abu Hanafiah, 32, peluang untuk menjadi salah seorang tutor bagi anak-anak kurang bernasib baik itu disifatkan sebagai peluang yang sangat berharga sepanjang kariernya.

“Kami di sini tidak mengharapkan lebih daripada kanak-kanak ini kerana sedar perkembangan mereka berbeza. Tambahan pula sebelum ini ramai yang tercicir dan tidak pernah ke sekolah.

“Apabila melihat pencapaian mereka pada hari ini, ia sudah cukup membuatkan kami gembira. Bayangkan daripada tidak tahu mengeja dan mengira, mereka kini boleh membaca,” jelasnya.

Sementara itu menurut tutor Matematik, Nurul Atikah Yusri, 25, pengalaman menyumbang bakti kepada anak-anak Chow Kit disifatkan sebagai tanggungjawab yang perlu digalas dengan sempurna.

“Mereka ini sebenarnya mahu belajar tetapi tidak tahu dari mana hendak bermula.

“Jadi itu merupakan tugas kami sebagai pendidik untuk membimbing mereka. Apa yang pasti, keinginan mereka untuk belajar dan mendalami ilmu yang tinggi membuatkan kami begitu tersentuh dan semakin bersemangat untuk mendidik,” jelasnya.