Bahkan, isu tersebut juga bukan suatu perkara asing bagi masyarakat di negara ini.

Biarpun pelbagai inisiatif dilakukan pihak kerajaan bagi menangani isu tersebut, masyarakat tempatan masih lagi melihat isu itu sebagai perkara enteng.

Ia jelas dibuktikan apabila Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendedahkan 60 peratus rakyat di negara ini masih tidak tahu membuang sampah dengan betul ke dalam tong sampah.

Lebih malang lagi, peratusan itu tidak termasuk kebolehan rakyat dalam mengasingkan sampah.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, budaya membuang sampah ke dalam tong sampah masih tipis dalam kalangan rakyat Malaysia menyebabkan kementeriannya perlu merancang program-program pendidikan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

Disebabkan itu, kerajaan terpaksa memberi fokus dalam mendidik rakyat untuk membuang sampah dengan betul dan pada masa sama memberikan perhatian terhadap perancangan sisa pengurusan sisa pepejal.

Jelasnya, masyarakat perlu diingatkan semua sampah perlu dibuang ke dalam tong sampah dan bukan di kawasan sekitar tong.

Menurut Penasihat Bahagian Alam Sekitar, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof. Ahmad Ismail, isu pembuangan sampah bukan pada tempatnya tidak wajar lagi berlaku pada hari ini.

“Walaupun pendidikan sudah banyak diberikan di sekolah namun, masyarakat kita masih belum dapat menghayati budaya jangan membuang sampah di merata-rata tempat.

“Bagi mengatasi masalah ini, semua pihak perlu berganding bahu dalam menganjurkan kempen besar-besaran serta meningkatkan penguatkuasaan tentang tabiat membuang sampah.

“Selain itu, papan notis di lebuh raya juga boleh digunakan sebagai kempen kesedaran seperti mengingatkan orang ramai supaya jangan membuang sampah di merata-rata tempat di samping kempen anti rasuah yang sedia ada,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mendidik

Selain itu, kata Ahmad, kempen seperti poster dan video pendek mengenai amalan pembuangan sampah yang betul perlu diedarkan bagi mendidik masyarakat secara berterusan.

Tambahnya, poster itu juga boleh ditampal di setiap bilik darjah dalam kawasan sekolah dan guru pula boleh memainkan peranan untuk memberi peringatan kepada murid setiap beberapa minit.

Dari situ, murid-murid akan membawa pulang pesanan itu dan disampaikan kepada ahli keluarga lain.

Jelasnya, sekiranya kaedah itu berjalan dengan baik, dianggarkan setiap hari, seramai 10 juta individu akan mendapat mesej tentang jangan membuang sampah merata-rata.

Ahmad juga menyeru semua menteri untuk memberikan komitmen berkenaan isu pengurusan sampah terutamanya plastik.

Bahkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, kementerian tertentu perlu mendedahkan kos pengurusan sisi pepejal yang nyata membebankan negara.

Sementara itu, aktivis alam sekitar, Amlir Ayat berkata, masalah pembuangan sampah bukan pada tempatnya boleh diatasi sekiranya masyarakat membudayakan amalan membuang sampah ke tempat sewajarnya dari rumah.

Jelasnya, membudayakan amalan tersebut tidak sukar sekiranya dilakukan dari peringkat akar umbi.

“Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik generasi muda membuang sampah ke dalam tong sampah dan mereka menjadi suri teladan dan contoh terbaik kepada anak-anak khususnya berkaitan pengurusan sampah,” ujarnya.

Jelas Amlir, sekiranya ibu bapa bersikap acuh tidak acuh dalam mendidik anak-anak tentang kepentingan pembuangan sampah di tempatnya, ia akan memberi impak negatif terhadap masa depan negara.