“Pada waktu pagi pula, saya perlu membersihkan kesan muntah pada kereta sebelum ke tempat kerja,” ujar Dora Garai, seorang penduduk di daerah ketujuh ibu kota Hungary iaitu Budapest.

Budapest dikatakan lebih menarik untuk dikunjungi pelancong berbanding Prague. Malah, kebanyakan penduduk tempatan bersetuju sektor pelancongan di bandar itu sedang berkembang pesat berbanding bandar-bandar lain.

Seorang ahli akademik Universiti Corvinus, Budapest, Melanie Kay Smith berkata kepada AFP, menerusi kajian yang dijalankan oleh pelajarnya ke atas beratus pelancong yang hadir, rata-ratanya memaklumkan nilai minuman keras dan kos berparti yang rendah menyebabkan mereka sering ke bandar berkenaan.

Malah, harga tempat tinggal yang berpatutan juga membuatkan lebih ramai pelancong ingin ke kawasan itu.

“Kami mendapat pelbagai kemudahan dengan harga yang rendah apabila ke sini. Harga minuman keras di sini hanya sekitar 1.50 euro (RM7.30) manakala tempahan pangsapuri melalui Airbnb, kami hanya perlu membayar 30 euro (RM146) untuk satu malam,” kata seorang pelancong, Danes.

Selain itu, kelab malam yang beroperasi sepanjang hari serta spa yang menawarkan pelbagai perkhidmatan menarik membuatkan golongan kaya dari Eropah Utara menjadikan Budapest sebagai destinasi yang wajib dikunjungi. Budapest turut terkenal dengan spa wap panas semula jadinya.

Menurut badan penyelidikan pasaran paling menyeluruh di dunia terhadap produk pengguna, industri komersial, trend demografi dan gaya hidup pengguna iaitu Euromonitor, saban tahun ketibaan pelancong ke negara itu meningkat dua kali ganda sejak 2009.

Pada 2017 sahaja, 3.5 juta kehadiran pelancong dicatatkan dengan Budapest satu-satunya bandar yang berkembang paling cepat.

Gangguan

Pada musim sejuk pula, kawasan kejiranan dipenuhi pelbagai pengangkutan awam seperti teksi dan beca, pelancong tidak kisah dengan cuaca asalkan mereka dapat berpesta.

Kajian Corvinus pula menganggarkan sebanyak 800 bar dan restoran wujud sejak lima tahun lalu.

“Sudahkah anda bersedia untuk berpesta? Jika anda tidak selesa, anda boleh bergerak keluar. Kami tidak mahu mengganggu anda,” tempelak seorang pemuda melalui pembesar suara kepada orang awam.

Walaupun tiada data rasmi dicatatkan, kajian Corvinus memaklumkan kira-kira 300 penduduk memberitahu bahawa mereka sedang mempertimbangkan untuk berpindah kerana tidak tahan dengan bunyi bising, pembuangan sampah di merata-rata tempat serta bau hancing.

“Kenapa penduduk harus berpindah sedangkan mereka (pelancong) hanya ke sini untuk beberapa hari,” ujar Garai yang telah menubuhkan sebuah komuniti di Facebook bagi menyuarakan hasrat penduduk yang mahukan Datuk Bandar melakukan sesuatu supaya tidak mengganggu ketenteraman orang tempatan.

Mereka mahukan kelab malam ditutup pada tengah malam, bukan pada pukul enam pagi. Sementara itu, Dewan Bandaraya harus membuat zon pesta supaya pelancong-pelancong berkenaan tidak mengganggu kawasan kejiranan. 
– AFP