Menurut laporan yang diterbitkan oleh akhbar Diário de Notícias pada tahun 1980, kanak-kanak malang yang dilahirkan pada 6 Julai 1970 di sebuah ladang di Tabua, ­Coimbra, Portugal itu dikurung di dalam reban ayam oleh ibunya yang mengalami masalah mental.

Ibu kepada kanak-kanak yang digelar Chicken Girl itu mengambil keputusan sedemikian rupa kerana tidak dapat menerima Isabel sebagai anaknya.

Keadaan tersebut menyebabkan Isabel terpaksa menghabiskan zaman keriangannya sebagai seorang kanak-kanak di dalam reban tersebut selama lapan tahun dan bergantung hidup dengan makanan yang sama dimakan oleh ayam seperti biji-bijian, daun kubis dan apa sahaja sisa makanan yang diberi ibunya.

Bantuan profesional

Sekitar tahun 1974, kisah hidup Isabel mula diketahui oleh masyarakat di Tabua. Biarpun begitu, mereka hanya diam membisu dan tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Pada tahun 1976, salah seorang ibu saudaranya membuat aduan mengenai kekejaman yang dilakukan terhadap Isabel.

Isabel kemudian dibawa ke hospital untuk menjalani peperiksaan lanjut. Disebabkan doktor mendapati dia mengalami kecacatan teruk dan berperwatakan seperti haiwan, mereka enggan menerimanya untuk dirawat di hospital sakit jiwa.

Disebabkan tiada pilihan, ibu saudaranya terpaksa mengembali­kan Isabel ke pangkuan keluarga.

Bagaimanapun, seorang jururawat di Hospital Torres Vedras yang kasihan melihat keadaan Isabel tampil dan meminta kebenaran untuk memberikan rawatan kepada kanak-kanak malang itu.

Menurut jururawat yang dikenali sebagai Maria Catarina itu, dia me­rawat kanak-kanak malang itu di rumahnya selama 15 hari.

“Sukar untuk membayangkan jika ada individu yang mampu bertahan dikurung dalam reban ayam. Lebih-lebih lagi bagi seorang kanak-kanak yang memerlukan kasih ­sayang.

“Sepanjang 15 hari memantau kelakuannya, saya dapati dia memerlukan bantuan pakar. Ini ke­rana, kesan tinggal di dalam reban ayam selama lapan tahun memberi impak buruk terhadap perkem­bangan mental dan fizikalnya,” jelasnya.

Keadaan Isabel yang kritikal dan memerlukan rawatan segera menyebabkan juruteknik di hospital tersebut, Maria Bichao mengambil keputusan untuk mendedahkan kisah hidup kanak-kanak itu kepada pihak media.

Biologi asas

Selepas kisahnya tersebar dan hangat diperkatakan oleh masyarakat Portugal, Isabel kemudian dihantar untuk menjalani ra­watan pemulihan di Pusat Penja­gaan Mental Kanak-Kanak Lisbon.

Sejak dari saat itu, Isabel dikawal rapi bagi mengelakkan wajahnya dirakam oleh pihak media sehingga ke hari ini.

Ketua pengarah pusat tersebut, Jaso dos Santos berkata, kanak-kanak itu sebenarnya mengalami masalah kekurangan intelektual yang berkemungkinan besar dise­bab­kan oleh pengabaian kebajikan dan sosial.

“Tingkah laku Isabel berada pada tahap biologi asas iaitu tindak balas primer haiwan atau manusia.

“Walaupun kadangkala dia berada dalam keadaan sangat sedih dan takut, namun Isabel tidak dapat menangis atau menonjolkan ekspresi sedihnya itu kepada orang ramai.

“Lebih menyedihkan apabila Isabel berkelakuan seperti ayam iaitu bergerak dengan langkah yang sangat kecil dan sentiasa mengepak-ngepakkan tangannya seperti se­ekor ayam. Dia juga tidak bercakap dan hanya memuncungkan mulutnya sebagai bahasa isyarat,” jelasnya.

Ujar Santos, disebabkan kanak-kanak itu kekurangan nutrien, Isabel turut mempunyai masalah pertumbuhan yang teruk. Pada usia sepuluh tahun, dia mempunyai tahap pemikiran seperti kanak-kanak berusia dua tahun.

Selepas dirawat oleh pakar, Isabel mula dapat bergerak secara normal, namun menjadi kurang agresif pada umur 27 tahun.

“Walaupun dia kini masih lagi gagal bercakap pada usia 48 tahun, namun dia sangat pintar dan mampu menyesuaikan diri dengan persekitarannya,” kata Jaso.