Siapa sangka, walaupun kanak-kanak itu hanya bertubuh kecil, namun Lola berjaya melakukan pendakian dengan memanjat kesemua 15 puncak di pergunungan tersebut yang setiap satunya berketinggian 915 meter hanya dalam tempoh 21.5 jam.

Kejayaan itu lantas menjadikan Lola sebagai kanak-kanak pertama yang berjaya mendaki semua puncak di Welsh 3,000.

“Saya terasa seperti bermimpi dan semua ini tidak akan dapat dicapai tanpa dorongan daripada ibu dan ayah,” ujarnya.

Lola melakukan pendakian bersama ayahnya, Gary House, 38, sekitar penghujung Mei lalu dan tiba di titik puncak gunung iaitu di Foel Fras dua hari kemudian.

104,000 langkah

Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, namun Gary mengakui anaknya itu langsung tidak menunjukkan rasa gentar, sebaliknya Lola semakin bersemangat untuk meneruskan misi tersebut sehingga ke penghujung cabaran.

“Sebenarnya, misi ini dilakukan bagi mengumpul wang untuk didermakan kepada Rumah Orang-Orang Tua Forest Holme Hospice yang terletak di Poole, England.

“Hasrat tersebut timbul selepas kami berasa terhutang budi dengan rumah kebajikan tersebut kerana menjaga mendiang datuk dan nenek Lola dengan baik sebelum mereka meninggal dunia,” jelasnya.

Menceritakan lebih lanjut, Gary menjelaskan, sebelum melakukan misi pendakian bersama anaknya itu, dia pernah mendaki gunung tersebut bersama beberapa orang rakan lain.

Bagaimanapun, pendakian itu dihentikan separuh jalan kerana mereka tidak mampu untuk meneruskannya kerana kepenatan.

Katanya lagi, biarpun gagal pada cubaan pertama untuk menawan puncak Welsh 3,000, Gary tetap bersemangat untuk meneruskan pendakian bersama anak perempuannya itu.

Jelas Gary, walaupun laluannya agak sukar dan mencabar mental dan fizikal, dia yakin anak Lola mampu melaksanakan cabaran itu.

“Naluri saya kuat mengatakan Lola mampu melakukan misi ini.

“Walaupun mengambil masa hampir dua hari, namun kejayaan tersebut berjaya membuatkan saya tersentuh dan berbangga kerana dikurniakan seorang anak yang bersemangat kental,” jelasnya.

Dalam misi tersebut, Lola berjaya mendaki pergunungan tersebut dengan jumlah lebih 104,000 langkah.

Menurut Gary, pada awal pendakian, mereka diuji dengan cuaca buruk dan kilat sabung menyabung di sepanjang perjalanan.

Binatang buas

Sangkanya, Lola akan menangis ketakutan dan meminta untuk menghentikan misi pendakian tersebut.

Bagaimanapun, perkara sebaliknya pula berlaku, Lola dengan penuh bersemangat meminta Gary untuk meneruskan misi tersebut hingga selesai.

“Apabila hari mula gelap, kami berkhemah di sekitar kawasan Snowden dan meneruskan semula perjalanan keesokan harinya.

“Pada hari kedua, kami diuji dengan kehadiran binatang buas di sekitar kawasan Crib-Goch.

“Saya terpaksa berjaga-jaga dan sentiasa memerhatikan Lola setiap masa kerana bimbang serangan daripada binatang buas,” jelasnya.

Cerita Gary, disebabkan bimbang keselamatan anaknya itu, lelaki yang bekerja sebagai pemaju hartanah tersebut nekad menghentikan pendakian. Bagaimanapun, hasrat itu dihalang oleh Lola yang tetap mahu meneruskannya.

Walaupun berdepan dengan detik-detik mendebarkan, namun Gary dan Lola berbangga kerana berjaya ke puncak dan turun dengan selamat.

“Saya berbangga dengan semangat dan keberanian yang ada dalam diri Lola.

“Lola kelihatan begitu letih dan berehat hampir seminggu di rumah selepas selesai pendakian.

“Saya bersyukur kerana Lola langsung tidak mengalami kecederaan serius melainkan masalah kekejangan kaki,” jelasnya.

Menurut Gary lagi, dia kini merancang untuk menawan Gunung Ben Nevis di Scotland pula.