Namun, ia sebenarnya satu kisah benar kehidupan sekumpulan buaya kerdil benua Afrika yang menjadikan suasana gelap di dalam gua sebagai habitat mereka.

“Kami berjaya menemui spesies buaya mutasi kerana haiwan itu mempunyai haplotype yang berbeza berbanding buaya lain.

“Dietnya juga sangat berbeza dan ia merupakan sejenis spesies buaya yang mampu mengadaptasi dengan kehidupan di bawah tanah,” kata Dr. Richard Oslisly. Oslisly merupakan individu pertama yang menemui buaya gua itu kira-kira sedekad lalu.

Sebagai seorang ahli arkeologi yang menjalankan kajian mengenai prasejarah Gabon, Oslisly telah memasuki Gua Abanda untuk mencari tanda-tanda kehidupan manusia seperti lukisan pada batu atau sebarang ukiran pada dinding gua.

Secara tidak sengaja, beliau menemui sekumpulan buaya yang sedang berkeliaran di satu sudut yang dipenuhi dengan air.

Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 2010, beliau kembali memasuki gua tersebut bersama saintis gua, Olovier Testa dan pakar buaya, Matthew Shirley.

Mereka menangkap seekor buaya dan membawa haiwan itu keluar dari gua. Apa yang menghairankan ialah warna reptilia itu bukanlah kelabu seperti spesies buaya kerdil Afrika yang lain tetapi kulitnya berwarna oren terutamanya pada perut.

Pasukan tersebut turut menemui kira-kira 30 ekor buaya gua lain yang hidup di populasi berkenaan dengan 10 daripadanya juga berwarna oren.

Mereka percaya telah menemui bukti yang menunjukkan bahawa buaya kerdil oren yang tinggal di dalam gua di Gabon mungkin telah berkembang menjadi spesies baharu.

Para pengkaji itu juga yakin buaya yang masih kecil mampu keluar dan masuk ke gua tersebut menerusi lubang-lubang kecil yang ada tetapi apabila sudah mencapai usia dewasa, haiwan berkenaan terpaksa menghabiskan sepanjang kehidupannya di dalam guna tanpa mendapat sebarang pancaran matahari.

“Haiwan tersebut seolah-olah terperangkap di dalam penjara mereka sendiri dan hanya memakan kelawar yang tinggal di gua tersebut serta cengkerik yang merayap di dinding-dinding gua untuk terus hidup,” kata Oslisly.

Dari semasa ke semasa, buaya yang lebih besar akan mula bertukar warna menjadi oren.

Berdasarkan teori para pengkaji, perubahan warna itu berlaku disebabkan oleh reptilia tersebut terlalu banyak menghabiskan masa dengan berendam di dalam air yang mengandungi campuran alkali dan najis kelawar yang bertindak melunturkan warna asal kulit buaya gua.

Buaya merupakan spesies ectotherms yang bermaksud ia memerlukan haba untuk terus hidup dan membiak.

Genetik

Namun, Oslisly berkata, keadaan buaya gua tidak berbeza dengan buaya yang tinggal di luar kerana kedua-duanya memburu dalam gelap.

Namun, buaya kerdil Afrika lebih dominan kerana ia tinggal dalam persekitaran gelap sepanjang masa selain suhu air gua pula sekitar 22 darjah Celsius.

Buaya kerdil Afrika yang ditemui di barat dan tengah Afrika merupakan antara spesies buaya terkecil di dunia.

Haiwan itu mampu membesar sehingga dua meter panjang tetapi kebanyakan saiz buaya yang ditemui berukuran kurang 1.5 meter.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, para penyelidik membayangkan terdapat tiga spesies yang berbeza di rantau itu, tidak termasuk buaya gua yang berwarna oren tersebut.

Apa yang menarik ialah bukti genetik hingga saat ini menunjukkan bahawa buaya gua mungkin terpecah daripada spesies yang asal.

Salah satunya ialah spesies haplotypes. Ia mempunyai genetik yang ditemui pada buaya gua dewasa yang tidak dikesan pada buaya kerdil lain yang tinggal di luar kawasan gua.

“Buaya yang tinggal di dalam Gua Abanda seolah-olah terasing dan tidak mempunyai genetik daripada kumpulan buaya kerdil Afrika yang lain,” kata Oslisly lagi.

Data yang diperoleh menunjukkan gua itu terpisah daripada dunia luar selama beribu tahun.

Asid deoksiribonukleik (DNA) yang diambil daripada buaya gua itu mula meninggalkan tanda tanya terutamanya tentang lokasi haiwan-haiwan tersebut membiak.

Buaya yang bersaiz lebih kecil mungkin dapat keluar untuk membiak di luar kawasan gua.

Sarang

Namun, bagi buaya yang lebih besar, ia akan terus terkurung. Persoalannya, adakah haiwan-haiwan itu membina sarang di dalam gua untuk bertelur?

Buaya kerdil Afrika biasanya memerlukan sarang yang diperbuat daripada daun-daun untuk menutup telur mereka tetapi disebabkan tiada daun di dalam gua, bagaimana haiwan tersebut membina sarang?

Para penyelidik percaya bahawa buaya itu mungkin menggunakan sepenuhnya ruang di gua tersebut untuk tujuan-tujuan tertentu termasuklah memastikan kelawar dan cengkerik yang menjadi makanan utama tidak diganggu oleh pemangsa serta penceroboh termasuk manusia.

“Kami sangat beruntung kerana penduduk tempatan terlalu takut untuk masuk ke dalam gua itu,’ kata Oslisly.

Seperti haiwan lain di Afrika, perdagangan daging haram telah menyebabkan populasi buaya semakin terancam.

Daging buaya kerdil sememangnya mempunyai nilai yang tinggi dalam pasaran tempatan. Spesies haiwan itu mudah ditangkap kerana saiznya yang kecil serta kurang agresif berbanding spesies buaya lain.

Reptilia itu kini dikategorikan sebagai haiwan yang terdedah dengan ancaman dan dimasukkan dalam Senarai Merah oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN).

Ketika kembali ke gua itu tiga tahun lalu, pasukan tersebut menemui petak gua baharu. Mereka kemudiannya mendokumentasikan bahawa buaya oren dan buaya gua masih berkeliaran dalam kegelapan pada musim hujan.

Kini, Oslisly dan rakan-rakannya berusaha menjadikan gua tersebut sebagai santuari buaya kerdil bagi memelihara spesies unik itu.

Spesies buaya kerdil berwarna oren yang ditemui hidup 
di dalam Gua Abanda di Gabon dipercayai sebagai spesies mutasi kerana memiliki genetik berbeza daripada buaya kerdil lain.