SELEPAS melihat beberapa contoh cenderamata yang dihasilkan menggunakan tepung penaik di rak pameran, Izzatul Najwa Razali, 17, teruja untuk menghasilkannya.

Tanpa menunggu lama, dia terus memuat turun sekeping gambar daripada telefon pintarnya ke sebuah komputer yang telah tersedia di situ sebelum mencetak gambar berkenaan di atas sekeping kertas khas.

Dia kemudiannya mengambil sekeping papan lapis nipis yang sudah siap dipotong dan terus menampal gambar tersebut di atasnya.

“Saya ingin mengabadikan gambar ini di atas papan lapis yang akan disaluti resin seperti yang terdapat pada rak pameran di situ,” katanya sambil menunjukkan tangannya ke arah rak yang menempatkan pelbagai contoh cenderamata.

Jelas pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang, Langkawi, Kedah itu, ia merupakan pengalaman pertamanya menggunakan resin bagi menghasilkan cenderamata.

Bukan dia seorang, malah ramai lagi rakan sekolahnya hadir ke bengkel eksplorasi epoksi resin berkenaan dan mempelajari cara menghasilkan cenderamata menggunakan resin tersebut.

Bengkel eksplorasi epoksi resin itu merupakan sebahagian daripada bengkel seni dan karnival mini yang dilaksanakan sempena perasmian program Knowledge [email protected] Buku yang berlangsung di Kampung Buku, Langkawi baru-baru ini.

Ia disempurnakan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Rashidi Hasbullah.

Turut hadir ialah barisan Ahli Lembaga Amanah Balai Seni Negara (BSN) diketuai Datuk Seri Farid Ridzuan selain Ketua Pengarah, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Tan Sri Norliza Rofli; Ketua Pengarah, Perpustakaan Negara, Datuk Nafisah Ahmad dan Ketua Pengarah, Jabatan Muzium Negara, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.

Selain bengkel tersebut, beberapa aktiviti lain turut diadakan termasuklah bengkel pensel warna, seni tali leher, seramik, demonstrasi mewarna batik, masakan tradisional, pertandingan mewarna, sudut buku jalanan dan kelas pementasan jikey yang merupakan persembahan tradisional masyarakat Melayu Langkawi.

Manfaat

Program tersebut merupakan satu usaha proaktif yang dilaksanakan oleh BSN bagi mengembalikan kegemilangan Kampung Buku yang pernah menjadi lokasi tarikan pelancong di pulau pelancongan itu suatu masa dahulu.

Setelah sekian lama dibiarkan tanpa sebarang aktiviti, BSN telah diberi tanggungjawab oleh kementerian itu untuk merencana program kesenian dan kebudayaan di situ menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak.

Antara yang turut terlibat dalam menghidupkan semula Kampung Buku ialah Jabatan Muzium Negara, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Perpustakaan Negara dan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Malaysia.

Antara pengunjung yang turut meraih manfaat daripada usaha tersebut, Nor Nazila Abdul Mutalib, 26, yang merupakan anak jati Langkawi.

Dia yang sudah lama tidak berkunjung ke situ berkata, penjenamaan semula Kampung Buku kepada Knowledge [email protected] Buku seoleh-oleh telah memberi nafas baharu kepada lokasi tersebut setelah sekian lama dibiarkan sepi.

“Seingat saya, Kampung Buku telah diwujudkan sejak kira-kira 20 tahun lalu, tetapi ia hanya berperanan sebagai daya tarikan pelancong buat seketika sebelum dibiarkan sepi tanpa sebarang acara.

Jana ekonomi

“Kini, saya begitu seronok apabila ada pihak yang kembali menghidupkan semula Kampung Buku dengan pelbagai acara telah dirancang dan akan dilaksanakan.

“Saya sangat berharap usaha ini berterusan agar kawasan ini kembali menjadi lokasi tumpuan pelancong sama ada dari dalam atau luar negara, sekali gus mampu menjana semula ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya.

Ketika berkunjung ke situ, Nor Nazila yang hadir bersama keluarganya turut berpeluang mempelajari kaedah membuat cenderamata berasaskan lukisan batik pada kain bersama anak-anaknya.

Sementara itu, Ketua Pengarah BSN, Prof. Datuk Dr. Mohamad Najib Ahmad Dawa berkata, usaha menghidupkan semula Kampung Buku bukan sahaja untuk menarik pelancong ke lokasi berkenaan, tetapi juga sebagai cara meningkatkan ekonomi penduduk kampung di sekitarnya menerusi penghasilan pelbagai bentuk cenderamata.

Malah katanya, bersesuaian dengan nama baharunya selepas penjenamaan semula iaitu Knowledge [email protected] Buku, ia merupakan satu program pemindahan pengetahuan dan kemahiran daripada pelbagai pihak kepada penduduk setempat dan pengunjung.

“Selain ingin menghidupkan semula Kampung Buku, kita juga mahu penduduk kampung di sekitar kawasan ini mempelajari ilmu dan kemahiran baharu terutamanya menghasilkan cenderamata.

“Menerusi pelbagai bengkel seni yang telah dirancang dan akan dilaksanakan di sini, mereka bukan sahaja boleh mempelajarinya secara percuma, tetapi juga boleh mengambil peluang untuk menghasilkan cenderamata khususnya beridentitikan pulau pelancongan itu dalam skala yang lebih banyak untuk dijual kepada pengunjung.

Hujung minggu

“Ia secara tidak langsung mempelbagaikan bentuk cenderamata yang boleh ditawarkan kepada pelancong, sekali gus mampu menjana pendapatan kepada mereka,” katanya.

Jelas Mohd. Najib lagi, pihaknya telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak dan agensi menerusi strategi lautan biru kebangsaan (NBOS) untuk menjayakan program tersebut dengan pelbagai program telah dirancang sehingga akhir tahun ini.

Katanya, sebagai permulaan, BSN akan menjadi peneraju kepada pelaksanaan program dan aktiviti di situ yang akan dilaksanakan setiap hujung minggu pertama setiap bulan, manakala pihak dan agensi lain akan melaksanakan aktiviti sokongan.

Tambah beliau, penjenamaan semula Kampung Buku itu diharapkan dapat mencapai matlamat Motec untuk melaksanakan program pemindahan pengetahuan dan kemahiran menerusi program NBOS seperti yang telah diuar-uarkan oleh kerajaan.

Bagi Nazirah Abdul Wahid, 18, dari Kampung Kenyum, Langkawi, kunjungannya ke situ merupakan permulaan kepada usahanya untuk mempelajari seni lukisan daripada pelukis berpengalaman yang didatangkan khas oleh BSN.

Katanya, dia akan terus berkunjung ke situ setiap kali program berlangsung bagi mengutip sebanyak mungkin ilmu untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang pelukis.

“Saya harap suatu hari nanti, saya mampu menjadi seorang pelukis yang terkenal dan menjadikannya sebagai satu kerjaya,” katanya.