KETIKA melalui batas yang menempatkan deretan pokok belimbing madu di kebun buah-buahan milik syarikat Richzone Global Resources Enterprise (Richzone) di Kampung Pasir, Semenyih, Selangor, sepasang anak mata Rosul Mustakim, 47, ligat memerhatikan dahan yang mengeluarkan putik buah tersebut.

Tanpa berlengah, dia terus membuang putik memenuhi dahan dan membiarkan satu sahaja untuk terus membesar.

Seperti rutin hariannya di kebun tersebut, dia akan mengambil surat khabar lama yang telah dipotong dan terus membalut putik tersebut yang sudah mencapai saiz kira-kira seinci sebelum mengikatnya menggunakan seutas dawai.

“Kebiasaannya, ramai yang membiarkan sahaja putik buah belimbing memenuhi dahan dan tangkai bagi menggambarkan betapa subur dan lebatnya pokok tersebut berbuah.

“Bagaimanapun, amalan di kebun yang diusahakan secara komersial agak berbeza. Jika satu tangkai mempunyai banyak putik, kami akan membuang putik yang bersaiz kecil dan membiarkan satu sahaja untuk dibalut.

“Ia bagi membolehkan buah tersebut mendapat sebanyak mungkin nutrien dan zat agar buah yang akan dituai nanti berkualiti dan mempunyai rasa yang manis,” katanya yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia.

Sementara itu, di satu sudut berhampiran pejabat operasi kebun tersebut, isteri Rosul, Siti Muawanah Muari, 44, bersama tiga lagi pekerja tekun membuka balutan kertas yang masih membaluti buah belimbing matang untuk dibersihkan dan disusun di dalam satu bakul lain.

Walaupun tugas mereka kelihatan mudah, tetapi ia memerlukan penelitian yang tinggi bagi memastikan buah belimbing madu yang benar-benar berkualiti dan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh pemborong sahaja akan diambil, manakala yang lainnya disisihkan.

Tidak terurus

Menurut pengusaha ladang tersebut, Hood Abdul Aziz, 45, ladang seluas kira-kira enam hektar itu merupakan tanah milik Jabatan Pertanian Negeri Selangor yang terletak di dalam kawasan projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Semenyih.

“Sebelum ini, ladang ini telah diusahakan oleh individu lain tetapi disebabkan terdapat beberapa masalah, ia ditinggalkan dalam keadaan tidak terurus.

“Disebabkan minat yang mendalam dalam bidang pertanian, saya dengan seorang lagi rakan telah berbincang dengan Jabatan Pertanian bagi menyewa kebun ini untuk diusahakan.

“Alhamdulillah, kami telah dibenarkan meneruskan operasi pada tahun 2016,” kata lulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.

Disebabkan kebun buah belimbing madu tersebut diambil alih dalam keadaan tidak terurus, maka dia terpaksa mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM100,000 untuk membaik pulih keseluruhan kawasan kebun selain menggaji empat orang pekerja yang mahir dalam pertanian terutama tanaman belimbing.

Tambahnya, walaupun terpaksa mengeluarkan modal yang besar untuk memulakan operasi, namun beliau berpuas hati kerana kebun miliknya itu telah mengeluarkan hasil sepertimana yang dikehendaki.

Ambil risiko

“Malah, saya bernasib baik kerana ketika mengambil alih kebun ini, kira-kira 700 pokok belimbing madu yang ditanam oleh pengusaha sebelum ini telah mengeluarkan buah.

“Jadi, saya tidak perlu menunggu lama untuk meraih hasil daripadanya,” katanya yang turut terlibat dalam menjalankan perniagaan secara online selain memiliki premis barangan runcit bagi menambah pendapatan.

Dalam pada itu, Mohd. Khairi Kassim, 47, yang merupakan rakan kongsi dalam syarikat Richzone memberitahu, beliau sanggup mengambil risiko dengan meninggalkan kerjayanya dalam bidang teknologi maklumat di sebuah syarikat perbankan terkemuka di negara ini yang sememangnya menjanjikan pendapatan lumayan bagi menceburi bidang pertanian.

Katanya, tindakannya itu berbaloi apabila kebun yang diusahakan sejak tiga tahun lalu mampu mengeluarkan kira-kira setan metrik buah belimbing madu daripada varieti B12 setiap kali kutipan buah dilakukan.

Dalam masa seminggu pula katanya, pekerjanya akan mengutip buah belimbing yang sudah matang sebanyak tiga hingga empat kali, bergantung kepada jumlah buah yang ada selain permintaan daripada pemborong.

Bagaimanapun kata beliau, pada masa ini syarikatnya menghadapi kesukaran untuk melaksanakan operasi mengutip buah secara optimum kerana jumlah pekerja yang terhad.

“Pada masa kini, kami hanya mampu mengeluarkan kira-kira 10 tan metrik buah belimbing madu dalam masa sebulan.

“Jika jumlah pekerja mencukupi dan tugas mengutip buah dilakukan secara optimum, kami mampu memasarkan kira-kira 20 tan metrik sebulan,” katanya.

Tambah Mohd. Khairi, bagi menambah pendapatan dan hasil daripada kebun tersebut, beliau juga menanam pokok nangka madu, kelapa dan sayur-sayuran selain turut menternak lebah kelulut untuk menghasilkan madu.

Aktiviti menternak lebah kelulut dilakukan di kebun berkenaan memandangkan pokok buah belimbing madu di situ mengeluarkan bunga yang banyak sepanjang masa, sekali gus menjadi makanan kepada lebah untuk menghasilkan madu.

Pada masa ini katanya, terdapat kira-kira 100 buah log atau tong yang dijadikan sarang lebah kelulut diletakkan di kebun tersebut dan pada satu-satu masa, ia mampu menghasilkan kira-kira 20 hingga 30 kilogram madu sebulan.

“Saya merancang untuk menambah sarang lebah kelulut ini kepada 150 log dalam masa terdekat ini bagi meningkatkan pengeluaran madu kelulut.

“Selain menggunakan kesempatan daripada bunga pokok buah belimbing secara optimum, ia juga mampu memberi pendapatan tambahan kepada syarikat,” katanya.

Menurutnya syarikatnya kini mampu meraih pendapatan kasar antara RM20,000 hingga RM30,000 sebulan hasil penjualan belimbing madu dan madu kelulut.

Dengan kepelbagaian aktiviti yang dilaksanakan di situ, kebun buah belimbing madu yang diusahakan syarikat Richzone turut diangkat menjadi antara kebun contoh oleh Jabatan Pertanian Negeri Selangor.

Belimbing madu

Buah belimbing madu mempunyai rasa yang manis dan kurang serat berbanding belimbing lain.

Bunga pokok belimbing madu sering menerima kehadiran lebah kelulut kerana mengandungi madu yang banyak.

Buah belimbing perlu dibalut bagi mengelak ia diserang serangga perosak.

Rosul memetik buah belimbing madu yang matang untuk dikumpul dan digredkan.