Percaturannya tidak pernah silap biarpun pada awalnya, beliau hanya mahu bereksperimentasi. Secara asasnya, pokok strawberi memang agak sukar hidup di tanah kering dan berpasir.

Daripada dua anak pokok yang dibeli sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) di Muara Tuang, Kota Samarahan penghujung tahun 2015, kini beliau sudah mempunyai 7,000 pokok strawberi.

“Pemandangannya nanti mesti lagi cantik kerana ada warna hijau daripada pokok dan warna merah buah strawberi.

“Sekarang ini belum musim berbuah tetapi tunggulah sekitar penghujung tahun nanti, pasti akan berbuah lebat sama seperti yang saya tanam di rumah sebelum ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di kampung berkenaan.

Kampung Jaya Bakti di Matang terletak dalam zon perkampungan dengan jarak sekitar 35 kilometer ke bandar raya Kuching. Kampung ini menjadi batu sempadan antara daerah Kuching dengan Lundu.

Majoriti penduduk Kampung Jaya Bakti bekerja sebagai nelayan kerana lokasi kampung itu yang berdekatan dengan sungai dan laut. Malah, ia juga menjadi laluan penghubung ke Pekan Lundu dengan menaiki feri dari Rambungan.

Bercerita mengenai ladang yang diberi nama Jentayu Strawberry Farm, ia mula diusahakannya pada penghujung tahun lalu hasil idea arwah isterinya, Hasnah Pauzul yang teruja selepas melihat pokok strawberi yang ditanam di rumah mereka tiga tahun lalu berbuah.

“Saya bermula dengan hanya menanam empat pokok di rumah yang dibeli dengan harga RM30 setiap satu.

“Entah macam mana, pokok itu hidup subur sehingga berbuah. Malah, ia telah menarik perhatian kawan-kawan sehingga ada yang sanggup datang ke rumah semata-mata mahu melihat sendiri pokok strawberi ini hidup subur,” katanya menceritakan detik permulaan penanaman strawberi.

Sejak itu, arwah isterinya mencadangkan agar mengusahakan ladang strawberi di tanah seluas 0.4 hektar yang terletak kira-kira 50 meter di depan rumah mereka.

Namun, ketentuan takdir merubah segalanya apabila impian isterinya untuk melihat ladang itu tidak kesampaian apabila Hasnah meninggal dunia awal tahun ini akibat kanser rahim.

Berbekalkan semangat bagi memenuhi impian arwah isterinya, Muhammad Hossen meneruskan usaha membuka ladang strawberi tersebut.

Bermodalkan RM100,000 hasil simpanan sendiri selain pinjaman bank, impian untuk memiliki sebuah ladang strawberi direalisasikan pada penghujung tahun 2017.

 

Penjagaan

“Ladang ini dalam proses akhir untuk siap sepenuhnya, hanya tinggal dewan besar yang boleh digunakan untuk majlis perkahwinan atau apa sahaja acara yang belum siap.

“Alhamdulillah, sejak mula dibuka kepada orang ramai kira-kira sebulan lalu, lebih 500 pengunjung sudah datang ke sini,” jelasnya.

Kini katanya, ladang itu mempunyai 7,000 pokok strawberi yang tumbuh menghijau dan sedang dalam proses mengeluarkan buah.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu menjelaskan, meskipun saiz buahnya lebih kecil berbanding di Cameron Highlands, Pahang, namun rasanya lebih manis.

Tambahnya lagi, disebabkan cuaca di Kuching agak panas, kaedah penjagaan pokok sangat penting.

Pokok-pokok strawberi akan dibiarkan menerima cahaya matahari dari pukul 7 pagi sehingga 11 pagi sahaja sebelum ditutup dengan kain jaring bagi meminimumkan pencahayaan terhadap pokok itu.

Setiap pokok juga perlu menerima air yang cukup untuk memastikan tanah dalam pasu sentiasa lembap.

Tambahan pula, akarnya perlu sejuk supaya ia dapat berfungsi dengan baik dalam memastikan kualiti rasa pada buah itu terjamin.

“Dalam sehari, saya akan menyiram sebanyak dua kali iaitu pagi dan petang menggunakan kaedah sistem drip,” katanya.

Bagaimanapun, ketika ini, Jentayu Strawberry Farm tidak menjual buah-buah strawberi tersebut kepada pengunjung. Bagaimanapun, pihaknya ada menjual pokok-pokok strawberi untuk ditanam di rumah. Mengulas lanjut, Muhammad Hossen memberitahu, tujuan asal dia membuka ladang strawberi tersebut adalah untuk menggalakkan penduduk kampung dan mereka yang tinggal di sekitar Kuching menanam pokok strawberi.

Katanya, beliau mahukan penduduk kampung bersama-sama mengusahakan ladang strawberi sekali gus menjadikan Kampung Jaya Bakti sebagai lokasi pelancongan setaraf dengan Cameron Highlands.

Beliau berhasrat untuk menjadi pembekal anak-anak pokok strawberi dan mengimpikan sebuah perkampungan strawberi jika ia ditanam secara beramai-ramai oleh penduduk kampung.

 

Produk pelancongan

“Apabila kampung ini menjadi seperti di Cameron Highlands, kita boleh berbangga dengan pencapaian ini kerana kemampuan penduduk mengusahakan ladang strawberi yang boleh dijadikan sebagai salah satu tempat pelancongan baharu di Sarawak,” ujarnya.

Selain mengusahakan strawberi, beliau turut mengusahakan tanaman buah tin. Ketika ditemui, abang kepada Hossen iaitu, Zamhari Ediwi, 74, memberitahu, pokok buah tin itu dibeli pada harga sekitar RM300 sepokok.

“Setakat ini, sudah ada 600 pokok buah tin yang juga hidup subur di ditanam di sini,” katanya.

Mereka juga menjual produk-produk berasaskan strawberi seperti aiskrim, strawberi celup coklat dan nasi lemak sambal strawberi.

Anak sulung Muhammad Hossen, Ahmad Hishamudin, 42, berkata, semua produk ini dijual pada waktu hujung minggu, cuti kelepasan am dan cuti persekolahan.

“Semua produk ini adalah buatan sendiri yang dibuat di rumah sebelum dijual di kedai yang terdapat di ladang.

“Harga bagi sebatang aiskrim Malaysia ialah RM1.50, strawberi celup coklat RM3.50 manakala nasi lemak sambal strawberi berharga RM3," ujarnya.

Jentayu Strawberry Farm menjadi perintis kepada pembentukan kampung pelancongan terbaharu berasaskan produk strawberi 
di Sarawak.